Kuala Lumpur: “Dia sebenarnya syok sendiri dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai daulat kerana sultan berdaulat hanyalah mereka yang mempunyai wilayah sendiri.
“Ini jelas menunjukkan Jamalul Kiram III hanya ingin mencari pengaruh untuk meluaskan kekuasaan tanpa berfikir siapa dirinya sebenar,” kata Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.
Menurut beliau, banyak persoalan timbul mengenai identiti sebenar Jamalul Kiram III dan kebanyakan penerangan mengenai statusnya hanya dapat diperoleh daripada media Filipina.
Katanya, kesultanan Sulu sebenarnya sudah tidak wujud atas beberapa faktor seperti tidak mempunyai wilayah sendiri dan kebanyakan mereka yang mengaku sebagai sultan hanya melakukannya untuk mendapatkan kuasa.
“Kajian menyeluruh masih belum dibuat untuk mengetahui asal-usul sebenar Jamalul Kiram III. Kalau dia iktiraf dirinya sebagai sultan sekali pun, ia tidak akan membawa sebarang kesan kerana dia tidak mempunyai rakyat, sebaliknya hanya ada pengikut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Wan Hashim berkata, berdasarkan perkembangan sekarang, mengaku sebagai sultan Sulu seakan-akan sudah menjadi perkara biasa kerana sesiapa saja boleh mendakwa sekiranya namanya ada kaitan dengan sejarah Kesultanan Sulu sebelum ini.
No comments:
Post a Comment