Saturday, March 16, 2013

Filipina dakwa 35 pengikut Jamalul Kiram



Manila: Kerajaan Filipina semalam, mengemukakan dakwaan jenayah terhadap 35 pengikut Jamalul Kiram III yang ditahan di Tawi-Tawi ketika cuba melarikan diri dari Sabah.

Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila de Lima, berkata mereka didakwa atas tuduhan memiliki senjata api.
“Saya yakin ada dakwaan lain ke atas mereka,” katanya merujuk aktiviti mereka ketika berada di Sabah.

De Lima berkata, pendakwaan dibuat selepas siasatan yang dilakukan ke atas mereka berakhir, kelmarin, lapor akhbar Manila Standard Today dan The Sunstar.

Katanya, mereka yang cuba lari daripada ditahan pasukan keselamatan Malaysia akan terus ditahan di markas tentera laut Panglima Sugala, Tawi-Tawi kecuali mahkamah memberi arahan lain.

Tiada peluang menang

Dalam taklimat media, jurucakap presiden, Edwin Lacierda, berkata kerajaan juga akan menganalisis mengapa pegawai perisikan gagal menghalang Jamalul Kiram daripada menghantar 200 pengikutnya ke Sabah, awal Februari lalu.
Mengulas lanjut, De Lima berpendapat Jamalul Kiram dan pengikutnya tiada peluang untuk menang tuntutan terhadap Sabah.

Katanya, Jamalul Kiram sudah diberi peluang untuk memanggil pulang pengikutnya dari Lahad Datu sebelum pertempuran meletus dengan tentera Malaysia, 1 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment