Tuesday, August 24, 2010

Pelajar IPTA menangis selepasdidakwa buang bayi


MELAKA 23 Ogos - Wad Bersalin di Hospital Melaka hari ini dikejutkan dengan tangisan seorang remaja berusia 21 tahun sehingga menarik perhatian pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di wad tersebut.
Kebanyakannya terpinga-pinga apabila mendengar pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Jasin itu menangis teresak-esak bagaikan tiada hentinya.
Keadaan meruntun jiwa itu terjadi sewaktu prosiding pendakwaan terhadap gadis tersebut yang dituduh membuang bayi, dijalankan di wad berkenaan yang sebelum itu telah diisytiharkan sebagai Mahkamah Majistret.
Pendakwaan terhadap gadis dari Permatang Duyong itu dibuat di wad tersebut berikutan tertuduh masih lagi mendapat rawatan di situ.
Tangisan tersebut turut menyebabkan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada pelajar itu terhenti sebanyak dua kali sehingga memaksa anggota polis dan kakitangan mahkamah menenangkan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit di dalam tandas perempuan Wad Kecemasan Hospital Melaka antara pukul 2.30 dan 3 pagi, 17 Ogos lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.
Majistret Mohd. Fairuz Johari menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Haslinda Abu Bakar dan Mahmoodah Abdul Latif.
Lima hari lalu, pelajar terbabit dan teman lelakinya ditahan polis ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka hingga membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan di tempat pengumpulan sampah di wad kecemasan hospital tersebut.

No comments:

Post a Comment