KOTA TINGGI (Johor): Seorang kaki pancing menangis teresak-esak apabila objek yang disangka sampah terlekat pada tayar depan keretanya ketika hendak menurunkan bot di pelantar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di tebing Sungai Johor, pagi kelmarin, rupa-rupanya mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan.
Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, Encik Lim Kin Chee, 58 tahun, mengundurkan kereta Datsun Wagonnya ke gigi air apabila tayar depan keretanya tersekat.'Saya ingatkan sampah dan turun untuk membuangnya tetapi terkejut apabila mendapati objek itu mayat bayi lelaki baru dilahirkan dan masih bertali pusat.'Mayat itu tersembul keluar daripada beg plastik hitam di bawah tayar kereta. Hampir separuh tubuh bayi itu terhimpit di bawah tayar dan saya menangis kerana kesedihan melihat keadaan itu,' katanya.'Saya sedih, marah dan kecewa sikap individu yang tidak berperikemanusiaan kerana membuang zuriat sendiri.'Ketua Balai Polis Kota Tinggi, Ketua Inspektor Mohd Azizi Abd Razak, bersama pegawai dan anggotanya bergegas ke lokasi itu sebaik menerima panggilan telefon daripada Encik Lim.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Osman Muhammad Sebot, mengesahkan penemuan tersebut.'Kami meminta bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membantu siasatan dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi.'Setakat ini, siasatan masih berjalan dan tiada tangkapan dibuat. Keterangan Lim juga sudah diambil dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi 07-8837222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,' katanya. -- Harian Metro.
No comments:
Post a Comment