SUNGAI SIPUT 9 Mei - Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak menyangka, sikap anaknya yang beria-ia mengajaknya pulang ke rumah datuk baru-baru ini menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Kartika, 34, berkata, dia membawa anaknya Mohd. Azfar M. Afandi, 9, ke rumah bapanya di Resort Lang Buana, Kampung Jawang pada Sabtu lalu setelah diminta oleh arwah.
"Saya agak pelik dengan perubahan sikap Azfar kerana sebelum ini dia tidak begitu. Mungkin juga dia terlalu rindu dengan datuknya.
"Malah, sebelum ini saya bermimpi, anak saya tenggelam dalam satu lubang air dan saya tidak dapat menariknya keluar," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sungai Siput (HSS) di sini hari ini.
Anak sulung Kartika itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu dan mayatnya ditemui kira-kira satu kilometer dari resort tersebut awal pagi ini.
Kartika sudah berpisah dengan suaminya, Afandi Amir sejak dua tahun lalu dan kini tinggal dengan dua anaknya di Taman Anggerik dekat sini.
Sementara itu, abang Kartika, Mohamad Hatta, 37, berkata, semasa menyusuri sungai dengan bot bersama penduduk kampung kira-kira setengah jam, dia ternampak tubuh anak saudaranya terapung- apung, manakala separuh lagi badannya tersangkut pada kayu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawang selepas solat Zuhur.
No comments:
Post a Comment