Monday, August 23, 2010

Hosni promosi anak sebagai pengganti


MOHAMMED Adel, 10, memegang poster gambar Gamal Mubarak ketika membantu seorang lelaki menampal poster itu di dinding sebuah bangunan di Kaherah, semalam. - AP


KAHERAH 22 Ogos - Poster mempromosi anak lelaki Presiden Hosni Mubarak sebagai pemimpin akan datang tersebar di seluruh Mesir dalam kempen paling ketara untuk menyokong peralihan kuasa kontroversi daripada bapa kepada anak di negara ini.
Sejak sedekad lalu, Gamal Mubarak dipercayai dipersiapkan untuk menggantikan bapanya yang berusia 82 dan telah memerintah Mesir selama hampir 30 tahun.
Namun, cadangan peralihan kuasa daripada bapa kepada anak itu telah membangkitkan tentangan keras di kalangan ramai rakyat Mesir.
Malah sesetengah anggota parti pemerintah sendiri tidak yakin mengenai keupayaan Gamal, 46, kerana bekas eksekutif bank pelaburan itu tidak mempunyai ramai penyokong di peringkat akar umbi.
Poster itu menunjukkan penyokong Gamal dalam parti pemerintah sedang berusaha untuk menguatkan kedudukannya menerusi kempen paling terbuka setakat ini untuk menyokong pencalonannya.
Sesetengah poster tersebut yang memaparkan Gamal sebagai 'impian golongan miskin' muncul di sekitar Kaherah dan bandar lain sejak beberapa minggu lalu.
Penganjur kempen juga memungut tandatangan untuk petisyen katakan Ya untuk Gamal.
Parti Demokratik Kebangsaan yang memerintah menafikan parti itu ada kaitan dengan kempen pro-Gamal.
Namun, seorang pegawai parti mendedahkan, poster tersebut diedarkan bagi menguji populariti Gamal di kalangan rakyat. - AP

Lapan beranak berhimpit di rumah sempit dapat pembelaan


M. S. Mahadevan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada M. Vijayan yang daif tinggal di sebuah rumah yang layak digelar stor di Kampung Empat, Kubu, Kota Laksamana, Melaka, semalam.


MELAKA 22 Ogos - Sukar untuk dibayangkan dalam kepesatan pembangunan di negeri ini, masih ada keluarga daif tinggal di rumah yang layak bergelar stor.
Bagaikan tidak masuk akal, rumah yang menjadi tempat berteduh buat suami isteri, M. Vijayan, 38, dan S. Deivanai, 38, bersama enam anak mereka berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun itu, cuma seluas tiga meter panjang dan dua meter lebar.
Tidak dapat dibayangkan mereka sekeluarga tidur dalam keadaan berhimpit sejak mendiami rumah tersebut tiga bulan lalu.
Berbekalkan beberapa helai baju dan dua tilam usang, itulah liku-liku penuh cabaran yang dihadapi keluarga yang berasal dari Masai, Johor itu.
Lebih mengejutkan kehidupan lapan beranak yang hidup dalam keadaan daif itu bukannya di kawasan pedalaman, sebaliknya di tengah-tengah kesibukan bandar raya ini iaitu di Kampung Empat, Kubu, Kota Laksamana di sini.
Menurut Vijayan, episod duka keluarganya itu bermula apabila dia yang sebelum ini bekerja di Pulau Pinang ditipu seorang kenalan yang menjanjikan pekerjaan dengan sebuah syarikat perkapalan di negeri ini, Mei lalu.
"Ketika itu saya baru sahaja tamat kontrak sebagai pengawal keselamatan di Pulau Pinang dan terus bersetuju ke Melaka apabila kawan saya itu meyakinkan saya ada peluang kerja di sini.
"Setibanya di bandar raya ini, saya tidak dapat menghubungi rakan dan dia terus menghilangkan diri walaupun cuba menghubunginya melalui telefon bimbit.
"Saya sekeluarga terkapai-kapai dan buntu untuk mencari pekerjaan dan tempat tinggal dalam keadaan saya tidak mempunyai wang," katanya ketika di temui di sini hari ini.
Menurut Vijayan, secara kebetulan dia diperkenalkan oleh seorang rakan yang kemudiannya menawarkan rumah untuk disewa.
"Dengan keluasan rumah sebesar bilik tidur serta sewa yang murah sebanyak RM150, saya tidak berfikir panjang dan bersetuju untuk menyewa.
"Sejak itu, di rumah seluas tiga meter panjang dan dua meter lebar inilah kami lapan beranak berteduh daripada hujan dan panas," katanya.
Dia berkata, isterinya mendapat pekerjaan di sebuah kedai makan dengan gaji RM20 sehari dan anak lelaki berumur 10 tahun pula bekerja di sebuah bengkel dengan upah sebanyak RM20 sehari.
Tambahnya, anak perempuan sulungnya yang berusia 16 tahun dan 10 tahun juga terpaksa berhenti sekolah kerana terpaksa membantu keluarga dan menjaga adik-adik yang masih kecil berusia empat, tiga dan dua tahun.
Lebih menyukarkan keadaan menurut Vijayan, dia sehingga kini masih tidak mempunyai sumber pendapatan bulanan walaupun saban hari berusaha keras mencari pekerjaan.
"Kalau ada kerja pun, tempatnya terlalu jauh dari rumah dan memerlukan kenderaan untuk ke sana," katanya.
Nasib malang lapan beranak itu mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan pejabat Ketua Menteri yang mengunjungi keluarga itu.
Setiausaha Khas Ketua Menteri (Kebajikan dan Hal Ehwal Awam), M.S Mahadevan berkata, JKM akan menguruskan bantuan sebanyak RM450 sebulan kepada anak-anak Vijayan.
Bantuan segera sebanyak RM300 turut dihulurkan JKM kepada keluarga terbabit.
"Pejabat Ketua Menteri pula akan membantu Vijayan untuk mendapatkan pekerjaan tetap dan memindahkan mereka ke rumah yang lebih selesa serta luas," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MIC negeri berkata, parti itu akan menguruskan untuk mendapatkan rumah sewa untuk lapan beranak itu dalam tempoh tujuh hari.

Iran lancar pesawat pengebom kawalan jauh




2010/08/22

TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, hari ini melancarkan pesawat pengebom kawalan jauh pertama binaan sendiri yang digelar "duta kematian" kepada musuh Iran. 

Bercakap kepada sekumpulan pegawai, Ahmadinejad berkata: "Jet ini selain menjadi duta kematian kepada musuh kemanusiaan, mempunyai mesej keamanan dan persahabatan."Katanya, matlamat pesawat itu ialah untuk "memastikan musuh lumpuh di pangkalan mereka sendiri" dan menegaskan pembinaannya bagi tujuan pertahanan.Pesawat kawalan jauh sepanjang empat meter itu dinamakan Karrar iaitu penyerang dalam bahasa Farsi. Tiada butiran mengenai keupayaan pesawat itu diberikan. - AP 

Kerajaan kaji tabung DNA bendung buang bayi: Hishammuddin




2010/08/22

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keberkesanan mewujudkan tabung Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi setiap bayi yang baru dilahirkan dalam menangani kejadian isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebarang pendekatan baru boleh diwujudkan bagi menyelesaikan sesuatu kes jenayah selain membantu kes jenayah lain."Jika cadangan itu dilihat praktikal ia boleh diguna pakai sebagai salah satu daripada 55 inisiatif dalam menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian (Dalam Negeri) untuk mengurangkan kadar jenayah pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen menahan lapar "Countdown Famine 30 Hours" di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari ini.Kira-kira 8,000 orang dari kalangan Cina dan India menjayakan kempen menahan lapar selama 30 jam itu yang berakhir 4 petang hari ini. 

Hishammuddin berkata, demikian bagi mengulas cadangan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar semalam bahawa tabung berkenaan akan memudahkan polis mengenal pasti ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas pembuangan bayi di masa akan datang. 

Menteri itu berkata, usaha untuk menangani isu pembuangan bayi bukan seharusnya diletakkan di bahu Kementerian Dalam Negeri semata-mata, sebaliknya semua kementerian termasuk badan bukan kerajaan (NGO). 

Beliau berkata, sekiranya terdapat cadangan lain yang lebih praktikal, ianya boleh dipertimbangkan. 
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata sistem biometrik akan dilaksanakan di setiap pintu masuk negara mulai Oktober ini bagi membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan agar mereka yang dilarang memasuki negara ini dapat dikenal pasti. 

Beliau berkata, selain itu, pangkalan data majikan juga akan dilaksanakan bagi merekodkan segala maklumat berkaitan majikan supaya pengambilan dan pengurusan pekerja asing dapat dibuat dari semasa ke semasa, khususnya ketika majikan memohon untuk mengambil pekerja asing baru. 

Kempen hari ini yang dianjurkan oleh World Vision Malaysia, Sin Chew Daily dan HELP University College dengan kerjasama 8TV, MIX fm dan MY fm adalah bertujuan untuk merasai sendiri pengalaman tentang kesusahan dan keperitan yang dialami oleh golongan miskin 

"Isu kemiskinan tidak boleh diskriminasikan supaya gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan dan program sebegini membuktikan semangat 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama boleh menjadi kenyataan," katanya. - BERNAMA 

Khalid wajar buat laporan penemuan kamera elak spekulasi: Satim




2010/08/22

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang sehingga kini masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung penemuan kamera tersembunyi di pejabatnya menimbulkan pelbagai spekulasi. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Satim Diman, berkata rakyat Selangor masih menunggu bila Khalid akan membuat laporan polis menggenai penemuan kamera itu."Jika belum buat atau enggan membuat laporan polis maka akan timbul pelbagai spekulasi. Apakah ini satu sandiwara politik Tan Sri Khalid dan mengapa?" katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.Satim dalam kenyataan itu turut membuat andaian kemungkinan laporan polis tidak dibuat oleh Menteri Besar itu kerana khuatir siasatan polis akan membongkar identiti sebenar orang yang meletakkan kamera berkenaan. 

"Mungkin Tan Sri (Khalid) takut jika ada siasatan polis akan bongkar identiti sebenar orang yang meletak kamera ini sama ada musuh Elizabeth Wong (ADUN Bukit Lanjan) atau musuh Tan Sri Khalid sendiri yang tahu kegiatan dalam pejabat menteri besar atau motif peras ugut," katanya. 

Satim berkata, ini adalah kerana umum sedia maklum bahawa hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh keluar masuk daripada pejabat menteri besar, justeru itu adalah mustahil untuk orang luar meletak kamera tersebut. 

"Janganlah hendak menuding jari kepada orang lain. Hanya Tan Sri Khalid dan orang dalam sahaja yang tahu rahsia kegiatan dalam pejabat menteri besar," katanya yang berharap Khalid akan segera membuat laporan polis berhubung perkara itu. 
Dalam kejadian pada 10 Ogos lalu, Khalid terjumpa sebuah kamera tersembunyi di pejabatnya di tingkat 21, bangunan SUK di Shah Alam. 

Menteri Besar itu sebelum ini berkata beliau sedang mempertimbangkan bagi membuat laporan polis jika ada keperluan selepas melihat dahulu rakaman berkenaan. - BERNAMA 

Sunday, August 22, 2010

Polis Pulau Pinang tubuh pasukan khas siasat isu khutbah

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri Lim Guan Eng, dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis negeri sudah menerima dua laporan mengenai isu itu iaitu yang pertama dibuat di Balai Polis Butterworth dan satu lagi di Balai Polis Tasek Gelugor dalam daerah Seberang Perai Utara.
"Satu pasukan khas polis ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu dan sehingga kini 15 orang saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 4 A, Akta Hasutan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

"Pihak polis berharap siasatan terhadap isu itu akan dapat selesaikan minggu depan dan beberapa personaliti yang terbabit dengan kejadian itu akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kejadian pertama dipercayai berlaku pada bulan Jun di Masjid Jamek Padang Menora, sewaktu khutbah sembahyang Jumaat oleh seorang Khatib jemputan.

Katanya, dalam kejadian terbaru yang dipercayai berlaku pada 20 Ogos di Masjid Kubang Buaya, Butterworth, Khatib yang sama membacakan doa seperti berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang." "Beberapa kenyataan saksi yang dirakamkan oleh pihak polis telah mengesahkan kejadian itu memang berlaku dan kami terus dengan siasatan selanjutnya," katanya.

Selain itu, Ayub berkata beliau ingin memperingatkan kepada semua pihak supaya jangan menggunakan platform yang ada seperti ini untuk memecah-belahkan rakyat atau memecahkan perpaduan yang ada sekarang.

"Peranan yang sepatut dimainkan oleh masjid adalah untuk mengurangkan gejala sosial dan menyatu-padukan rakyat," katanya.

Khamis lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat yang dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong.-Bernama

Laksana apa saja elak buang bayi

KUALA LUMPUR: “Laksanakan apa saja asalkan dapat mengurangkan gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa hari ini,” kata Perunding motivasi dan psikologi, Dr Mohd Jantan sewaktu dihubungi mengenai kes buang bayi yang tiada kesudahan.
Menurutnya, paling penting adalah langkah pencegahan berkesan supaya remaja sedar betapa pentingnya menjaga maruah diri dan mengelak terjebak gejala sosial.

“Selain itu, ibu bapa sangat penting dalam membantu mencegah kegiatan tidak bermoral ini dengan memberi sokongan dan menerima seadanya keadaan anak mereka.

“Jika kita lihat, kebanyakan yang terlanjur adalah gadis masih bersekolah dan berusia belasan tahun. Mereka masih di bawah umur dan tidak tahu membuat keputusan.

“Waktu inilah peranan ibu bapa sangat penting untuk terus memberi sokongan, bukan memaki hamun supaya mereka tidak berasa terpinggir, sekali gus mengelak peningkatan kes buang bayi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bayar zakat guna dinar


KUALA LUMPUR - Warga kelantan yang bekerja di luar negeri itu digesa membayar zakat fitrah pada tahun ini di negeri sendiri dengan menggunakan dinar dan dirham. 

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, anak Kelantan di Lembah Klang sewajarnya membayar zakat di kampung halaman untuk tujuan membantu individu yang memerlukan di negeri itu. 

“Bayarlah zakat dengan dirham, tidak timbul isu dinar, dirham palsu seperti yang diperkatakan. 

“Kini untuk memastikan dinar palsu pun senang dengan kajian yang telah di lakukan oleh UIAM,“ katanya ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Persada di sini, semalam yang turut dihadiri bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah. 

Sementara itu, Tengku Razaleigh dalam reaksinya berhubung pelaksanaan sistem tersebut berkata, beliau menyambut baik langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan itu. 

“Dahulu pun ada pihak dari Sudan bertema saya untuk guna dinar di Kelantan. Namun, ketika itu tidak dapat dilaksanakan kerana takut mengelirukan pengguna. Oleh itu kalau nak guna dinar sekarang walaupun dalam jumlah yang kecil perlu ada penerangan tentang nilai emas,” katanya. 

Pada majlis berkenaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.

"Saya doakan Guan Eng diberi hidayah peluk Islam"



TAIPING – Penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disebut dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang bukan perkara baru. 

Perkara itu disahkan khatib, Zakaria Ahmad yang mengakui bukan pertama kali beliau membaca doa tersebut tetapi ianya dilakukan sejak dua tahun yang lalu. 

Menurutnya, doa yang disebut hanya menjuruskan supaya Allah memberikan hidayah kepada Guan Eng agar memeluk Islam. 

“Tiada sebarang motif dalam khutbah berkenaan. Ramai yang salah faham terhadap isu ini dan mempolitikkannya sehingga menjadi berita hangat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Menurutnya, isu berkenaan tidak patut dipolitikkan dan menyifatkan kontroversi yang timbul sebagai mainan politik semata-mata. 

"Saya terbuka dan bersedia menjawab serta menjelaskan perkara sebenar di sebalik isu hangat itu. Bagi meredakan keadaan ini, penjelasan di atas diharap dapat menerangkan perkara sebenar mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Kerajaan Buruh tumbang di Australia



JULIA GILLARD (kiri) dan Tony Abbott membuang undi masing-masing di pusat pengundian pada pilihan raya umum Australia semalam.


CANBERRA - Parti Buruh yang baru memerintah Australia sepenggal sejak 2007 lalu, semalam tewas tipis pada pilihan raya umum kebangsaan yang paling sengit dalam sejarah negara itu, namun lawannya, Perikatan Liberal gagal meraih majoriti mudah.
Sehingga pukul 11 malam tadi (waktu Malaysia), Buruh yang dipimpin Perdana Menteri, Julia Gillard sebagai wanita pertama mengetuai kerajaan sejak dua bulan lalu, hanya memenangi 70 kerusi manakala Liberal pimpinan Tony Abbott disahkan menerima 73 kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Australia mengesahkan Liberal berjaya mendahului tiga kerusi di depan Buruh dan jika ia berterusan, Parlimen Australia buat kali pertama dalam masa 70 tahun, akan tergantung tanpa pemenang.
Dewan Rendah Parlimen ada 150 kerusi dan parti bertanding perlu memperoleh sekurang-kurangnya 76 kerusi bagi membentuk majoriti mudah. Buruh pada 2007 memiliki 83 kerusi berbanding Liberal cuma 65 kerusi.
Tinjauan umum menunjukkan Liberal mungkin membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti kecil iaitu Nasional yang menang enam kerusi, Green (1) dan Bebas (4), seperti yang berlaku di Britain jika masih gagal meraih majoriti dua pertiga. - Agensi

Bahaya rasisme dijadikan modal perjuangan politik



2010/08/22



JIKA dilihat di internet nampaknya hubungan kaum seakan semakin buruk. Caci- mencaci serta kata-kata kesat menjadi kebiasaan.Di alam maya, seolah-olah tiada apa yang baik yang boleh dianggap sebagai modal harapan negara ini. Kita seakan menuju kehancuran dan perpecahan, berbalah di antara kaum dan antara satu sama lain.Mungkin keadaan sekarang tidaklah sebaik yang kita mahu, namun hubungan antara kaum bukanlah seteruk yang pernah dihadapi negara pada masa-masa dulu. 

Namun, kita tidaklah boleh menganggap keadaan kini tidak perlu dibaiki dan masalah antara kaum perlu diatasi. Demi masa depan negara, isu perkauman mestilah diatasi. 

Memanglah leceh hendak mengatasi masalah perkauman, ia kompleks dan sensitif. Tetapi apa boleh buat, ia mesti juga ditangani. 

Keadaan sekarang amat berbeza berbanding ketika negara kita muda dulu. Ketika itu ada juga masalah perkauman, malah lebih dahsyat lagi. 
Namun, kepemimpinan dulu berjaya menyatukan pelbagai parti yang mulanya berhaluan berbeza untuk bersatu dan melegakan keadaan yang hampir menjahanamkan negara. 

Kini apa yang dulunya sudah diterima, dipersoal. Apa yang dulu dibincang di bilik mesyuarat, kini dilaung-laungkan di luar. Kita kini juga terpaksa berubah dan tidak boleh lagi menggunakan cara dulu untuk menerangkan apa yang sudah termaktub. 

Contohnya, orang muda sekarang berbeza dari orang muda dulu. Mereka hidup di zaman serba boleh, mereka berfikiran global dan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai negara dan dunia. 

Mereka tidak boleh menghayati sejarah negara yang hanya fakta dalam buku teks. Malaysia mereka menuju ke hadapan dan bukannya menoleh ke belakang. 

Dan mereka adalah jumlah terbesar, kini dianggarkan lebih dua pertiga daripada jumlah penduduk. 

Dari apa yang diketahui, orang muda kini kurang semangat perkauman. Mereka selesa dengan semua. 1Malaysia memang sesuai dengan mereka berbanding orang yang lebih tua. 

Oleh kerana mereka ramai – dikatakan beberapa juta daripada pengundi – maka kumpulan ini menjadi tarikan ahli politik kerana mereka kumpulan mampu mengubah rupa bentuk politik negara. 

Jika orang lama berasakan masalah perkauman lumrah hidup di Malaysia, golongan muda pula bertanya kenapa ia perlu wujud sama sekali. 

Oleh itu, ada ahli politik mencari peluang melamar golongan muda dengan menjanjikan mereka berupaya mewakili generasi muda ini – segala cita, cita rasa dan kebimbangan mereka akan diambil kira. 

Ada ahli politik yang bertumpu kepada perkara yang negatif. Yang negatif itulah biji benih rasisme. 

Di Malaysia, hidup kita semuanya ditentukan oleh bangsa. Dari politik ke polisi dan ke ekonomi, semuanya mempunyai asas perkauman. Semuanya berpunca dari negara kita yang berbilang bangsa, yang dibentuk hasil kompromi dan muafakat. 

Tetapi apabila kita biarkan perkauman mendominasi hidup kita, maka ia akan menjadi musuh besar. Jika kita biarkan segala kata dan bisikan kita berbaur perkauman, maka sudah tentulah masalah perkauman akan menjadi kenyataan. 

Label rasis selalunya digunakan untuk merendahkan maruah seseorang di khalayak ramai serta untuk melenyapkan suara seseorang. Siapa yang mahu mendengar kata-kata seorang rasis, jauh sekali berkawan dengannya? 

Adakah kemungkinan orang yang menggelar orang lain rasis, sebenarnya dia sendiri mengamalkan sikap perkauman? 

Adakah seorang yang memperjuangkan sekolah jenis kebangsaan seorang rasis? Adakah seorang yang mahukan lebih hak Bumiputera di bidang ekonomi seorang yang rasis? Adakah orang yang mempersoalkan bilangan orang Cina di dalam angkatan tentera, atau kelebihan orang Melayu dalam perkhidmatan awam, rasis? 

Adakah Dasar Ekonomi Baru ataupun Model Baru Ekonomi, rasis? 

Adakah perkataan seperti meritokrasi, sama rata, keadilan, peluang, dominasi, rasuah, semua adalah kod untuk rasisme? 

Kini apa yang tersirat, ditempik dan dilaungkan. Internet membolehkan orang menggunakan hina dan nista, kata kesat dan durjana, tanpa perlu menunjukkan muka. 

Kita boleh salahkan ahli politik, bukan semua, tetapi ramai juga, yang mengambil peluang menjaja rasisme sebagai modal menarik sokongan. 

Ada yang menceritakan kehancuran yang akan dihadapi negara ataupun betapa rosaknya keadaan sekarang oleh kerana perkauman, namun di sebalik semua kenyataan ini ada agenda politik. 

Rasisme mudah diuja. Kata-kata seorang guru, lagu penyanyi rap, tulisan penulis pojok atau ucapan ahli politik boleh menjana rasisme. Kita seolah-olah mencari yang negatif untuk membuktikan orang lain tidak baik. 

Bolehkah kita katakan rasisme sebenarnya membawa untung di dalam politik? 
Rasisme selalunya menunjukkan keburukan kita. Jika kita katakan kita kesal dengan masalah perkauman, tetapi ada juga di antara kita yang cuba melebarkan lagi jurang perkauman sedia ada. 

Memanglah kita patut bimbang, tetapi adakah keadaan sekarang akan membawa kepada sengketa kaum? Rasanya tidak, namun kita perlu berwaspada dan memperbaiki apa yang ada sekarang. 

Rasanya kita boleh jangkakan rasisme akan bertambah dengan proses politik kita terutama bila kita menuju Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Apa boleh buat. Kita mengamalkan demokrasi dan orang boleh menjanjikan apa saja ketika berpolitik. 

Namun, ia menjadi bahaya jika rasisme dijadikan modal politik yang tidak dibendung dan berupaya menyelubungi hidup kita. 

Rasisme adalah senjata politik yang amat berkesan, namun ia juga boleh memakan tuan.

‘Banyak Malaysia’ dalam 1Malaysia!


Oleh- Tan Sri Abdullah Ahmad

Kita bukan sebangsa, sebahasa, sekebudayaan dan seagama. Yang ‘sama’ hanya kita, suka duka, tinggal setanah air. Di Amerika Syarikat (AS) pukul rata wujud dua kumpulan: 1Amerika yang menerima sebagai Amerikan tidak kira apa bahasa yang diguna (bertutur), Tuhan mana yang disembah dan berapa lama sudah berakar umbi di sana kerana Perlembagaan AS mengatasi segala-galanya. Pada 1Amerika, rakyat baru tidak kurang haknya dengan keturunan The Pilgrims yang berhijrah dari Plymouth, England ke Amerika Syarikat pada 1620. Pada 2Amerika pula, ‘pandatang baru’ berlainan kecuali mereka fasih bertutur Bahasa Inggeris (BI) longat Amerika, mengamal tradisi Judeo-Christian (kebudayaan Yahudi-Kristian), dan beragama Kristian mazhab Prostestant. Mereka juga menerima agama Yahudi dan Katholik. 2Amerika juga tuntut ‘pendatang baru’ segera diinegrasi dan lama kelamaan diasimilasikan. Sebab itulah timbul kontroversi besar pembinaan sebuah masjid dan pusat Islam berhampiran ‘Ground Zero’ di kotaraya New York. 

Di negara kita semenjak pentadbiran Najib Razak telah lahir 1Malaysia. Ada yang terpesona dan yang sinis pun ramai juga. Keadaan semasa dan bila PRU13 berlangsung akan menentukan siapa menang. Sebelum berbuka puasa dan selepas tarawikh, topik regular dan popular ialah politik...Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Di dalam satu majlis iftar, ramai meragui kesungguhan Pentadbiran Najib membela kepentingan, hak istimewa Melayu dan Islam. Lantas ‘seorang dalam’, kononnya dekat dengan Najib dengan lantang dan penuh keyakinan berkata: ‘PM arif dengan apa yang berlaku di padang dan sensitif dengan perasaan tidak puas hati dan kekecewaan pribumi. Segala-galanya akan diatasi nanti’. Tetamu di sebelah kiri kanan saya bergilir berbisik ‘we have heard it before haven’t we? ...kita telah dengar dulu. Actions speak louder than words...apa yang ditunggu ialah bukti dan segera!’ Saya takut, dikongsi oleh majoriti yang hadir di meja utama – bukan calang-calang orang – guruh saja besar tetapi hujan tak lebat, hanya hujan gerimis sahaja. Dikotomi atau pembahagian yang tidak nampak sama dan adil terutama dalam bidang ekonomi dan bisnes, perumahan dan lain-lain mesti ditangani secepat mungkin kalau mahu meyakini Pribumi yang tidak begitu yakin kini; dikotomi sudah lama wujud dan makin ketara. 

Sementara pribumi menikmati air hujan rintik-rintik, seorang bilionnaire Cina, Tan Sri Liew Kee Sin dengan berani menegaskan langsung pancit dakwaan Kongres Ekonomi Cina bahawa kononnya DEB tidak menguntungkan Cina. Tegas Liew Cina telah berkembang maju di bawah DEB selama 30 tahun. Dia memberi dalil-dalil: ‘Majalah Forbes, Injil/Bible orang kaya raya, Cina menguasai 37% permodalan dan ekuiti dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa berbanding hanya 7% dimiliki pribumi; 73% kekayaan dipunyai oleh 40 orang billionaire Malaysia, lapan dari sepuluh manusia terkaya di negara ini adalah Cina. Seorang Cina telah membina sebuah banglo berharga RM40 juta. Dari mana kekayaan ini datang kalau tidak kerana DEB?’ ujar Liew. Cerita penuh sila baca Malaysia Insider Ogos 14. Tegas Liew Cina harus jangan hanya pandai membolot dan menerima sahaja tetapi juga memberi balik! 

PRU13 akan berkisar antara status quo dengan sedikit reformasi atau 1Malaysia dan Malaysian Malaysia dan Membina Melalui Islam. Apa pun Najib buat, laku, beri dan anugerah ramai sudah membuat kesimpulan: majoriti pengundi Cina antara 70 – 80 peratus mungkin tinggi lagi tidak akan menyokong BN. Apa pun MCA laku, berlagak dan berlakon pengundi Cina tidak akan bergoyang! Harapan BN ialah pada undi pribumi dan India. Kekuatan pribumi berpecah tiga: UMNO, Pas dan PKR. Ketiga-tiga parti ini akan mengejar dan berebut 60% pengundi Pribumi. Pakatan Rakyat sudah ada ‘simpanan tetap’ pengundi Cina dan juga bukan kecil bilangan pengundi India. Kalau Pas dan PKR berjaya memikat antara 40 – 45 peratus pengundi Pribumi pembangkang berada didalam keadaan sedap. Kalaulah PR memenangi antara 10 – 20 kerusi pun dalam pilihan raya negeri Sarawak (dijangka akhir tahun) itu petanda tidak baik pada pergolakan politik di Semenanjung dan Sabah. Perubahan atau ‘swing’ antara 5 hingga 10 peratus undi popular dalam PRU13 jika keputusan 2008 tidak berganjak kepada pihak mana pun akan mengubah politik negara: kalau memihak kepada BN, BN akan kekal berkuasa dan kalau kepada PR, PR lah akan memerintah. Baik BN (UMNO terutamanya) dan PR khususnya parti Keadilan calon-calon yang ‘berwibawa, bersih dan taat setia tidak berbelah bagi’ akan membantu andai mereka menang. 

Najib dan Anwar – kedua-dua bukan ‘strong leaders’ seperti Dr Mahathir Mohamad tetapi mereka berpengalaman dan kedua-dua Machiavelli Melayu yang teruji! Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mesti mulai segera satu proses pembetulan, a corrective process dalam organisasi masing-masing. Proses ini bukan sahaja tidak dapat dielakkan lagi tetapi satu perkara yang wajib dilakukan kalau mereka mahu kepustusan yang diharapkan. Pemimpin dan menteri selepas PRU13 mesti terdiri dari mereka yang berpengetahuan, berakhlak tinggi dan mengerti dinamiks politik dan ekonomi; mempunyai pandangan realis dalam politik domestik, wilayah dan antarabangsa. Lagi baik kalau mereka juga media savvy. 

Sebagai latihan untuk bakal calon dan bakal menteri dan bagi meninjau bakat dan kemampuan mereka UMNO, Pas dan PKR cepat-cepatlah memobilasikan mereka yang terpilih dan jentera parti untuk mendaftarkan bakal pengundi yang di anggar berjumlah 4 juta belum berdaftar itu, sedihnya majoriti Pribumi terutama yang tinggal di bandar-bandar dan di ibu negara. Lazimnya mereka yang ditolong mendaftar sebagai pemilih menyokong parti yang mengambil initiatif itu. Tetapi tidak ada jaminan. Apa pun satu risiko yang baik. 

Najib dan Anwar kedua-dua pemidato tetapi dalam politik juga seperti dalam bidang lain great talkers tidak semestinya berkesan dan bijak terutamanya dalam pentadbiran. Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak bukan orators tetapi Tunku dan Tun Razak adalah pentadbir yang cemerlang terutama Tun Razak. Dasar-dasar mereka dilaksanakan segera dan dengan taat bagi menafaatkan rakyat. Bercakap dan bersyarah bukan seperti menulis dan mentadbir! Benar bagi pemimpin dan PM kebolehan berkomunikasi penting. Komunikator yang baik adalah satu plus, satu kelebihan. Tidak pandai atau tidak petah bermadah satu handikap, satu hambatan. Pada saya hasil (results) lebih penting dari kepetahan berpidato kerana tidak semua pemidato dapat melahirkan hasil! 

Apa pun jangan perkecilkan bakat pandai bercakap. Sebagai PM dia harus mampu memberi tunjuk arah matlamatnya, meyakini dan mengispirasikan rakyat dan para pentadbir.