Monday, August 23, 2010

Khalid wajar buat laporan penemuan kamera elak spekulasi: Satim




2010/08/22

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang sehingga kini masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung penemuan kamera tersembunyi di pejabatnya menimbulkan pelbagai spekulasi. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Satim Diman, berkata rakyat Selangor masih menunggu bila Khalid akan membuat laporan polis menggenai penemuan kamera itu."Jika belum buat atau enggan membuat laporan polis maka akan timbul pelbagai spekulasi. Apakah ini satu sandiwara politik Tan Sri Khalid dan mengapa?" katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.Satim dalam kenyataan itu turut membuat andaian kemungkinan laporan polis tidak dibuat oleh Menteri Besar itu kerana khuatir siasatan polis akan membongkar identiti sebenar orang yang meletakkan kamera berkenaan. 

"Mungkin Tan Sri (Khalid) takut jika ada siasatan polis akan bongkar identiti sebenar orang yang meletak kamera ini sama ada musuh Elizabeth Wong (ADUN Bukit Lanjan) atau musuh Tan Sri Khalid sendiri yang tahu kegiatan dalam pejabat menteri besar atau motif peras ugut," katanya. 

Satim berkata, ini adalah kerana umum sedia maklum bahawa hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh keluar masuk daripada pejabat menteri besar, justeru itu adalah mustahil untuk orang luar meletak kamera tersebut. 

"Janganlah hendak menuding jari kepada orang lain. Hanya Tan Sri Khalid dan orang dalam sahaja yang tahu rahsia kegiatan dalam pejabat menteri besar," katanya yang berharap Khalid akan segera membuat laporan polis berhubung perkara itu. 
Dalam kejadian pada 10 Ogos lalu, Khalid terjumpa sebuah kamera tersembunyi di pejabatnya di tingkat 21, bangunan SUK di Shah Alam. 

Menteri Besar itu sebelum ini berkata beliau sedang mempertimbangkan bagi membuat laporan polis jika ada keperluan selepas melihat dahulu rakaman berkenaan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment