Monday, August 23, 2010

Kerajaan kaji tabung DNA bendung buang bayi: Hishammuddin




2010/08/22

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keberkesanan mewujudkan tabung Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi setiap bayi yang baru dilahirkan dalam menangani kejadian isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebarang pendekatan baru boleh diwujudkan bagi menyelesaikan sesuatu kes jenayah selain membantu kes jenayah lain."Jika cadangan itu dilihat praktikal ia boleh diguna pakai sebagai salah satu daripada 55 inisiatif dalam menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian (Dalam Negeri) untuk mengurangkan kadar jenayah pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen menahan lapar "Countdown Famine 30 Hours" di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari ini.Kira-kira 8,000 orang dari kalangan Cina dan India menjayakan kempen menahan lapar selama 30 jam itu yang berakhir 4 petang hari ini. 

Hishammuddin berkata, demikian bagi mengulas cadangan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar semalam bahawa tabung berkenaan akan memudahkan polis mengenal pasti ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas pembuangan bayi di masa akan datang. 

Menteri itu berkata, usaha untuk menangani isu pembuangan bayi bukan seharusnya diletakkan di bahu Kementerian Dalam Negeri semata-mata, sebaliknya semua kementerian termasuk badan bukan kerajaan (NGO). 

Beliau berkata, sekiranya terdapat cadangan lain yang lebih praktikal, ianya boleh dipertimbangkan. 
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata sistem biometrik akan dilaksanakan di setiap pintu masuk negara mulai Oktober ini bagi membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan agar mereka yang dilarang memasuki negara ini dapat dikenal pasti. 

Beliau berkata, selain itu, pangkalan data majikan juga akan dilaksanakan bagi merekodkan segala maklumat berkaitan majikan supaya pengambilan dan pengurusan pekerja asing dapat dibuat dari semasa ke semasa, khususnya ketika majikan memohon untuk mengambil pekerja asing baru. 

Kempen hari ini yang dianjurkan oleh World Vision Malaysia, Sin Chew Daily dan HELP University College dengan kerjasama 8TV, MIX fm dan MY fm adalah bertujuan untuk merasai sendiri pengalaman tentang kesusahan dan keperitan yang dialami oleh golongan miskin 

"Isu kemiskinan tidak boleh diskriminasikan supaya gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan dan program sebegini membuktikan semangat 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama boleh menjadi kenyataan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment