Monday, August 23, 2010

Lapan beranak berhimpit di rumah sempit dapat pembelaan


M. S. Mahadevan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada M. Vijayan yang daif tinggal di sebuah rumah yang layak digelar stor di Kampung Empat, Kubu, Kota Laksamana, Melaka, semalam.


MELAKA 22 Ogos - Sukar untuk dibayangkan dalam kepesatan pembangunan di negeri ini, masih ada keluarga daif tinggal di rumah yang layak bergelar stor.
Bagaikan tidak masuk akal, rumah yang menjadi tempat berteduh buat suami isteri, M. Vijayan, 38, dan S. Deivanai, 38, bersama enam anak mereka berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun itu, cuma seluas tiga meter panjang dan dua meter lebar.
Tidak dapat dibayangkan mereka sekeluarga tidur dalam keadaan berhimpit sejak mendiami rumah tersebut tiga bulan lalu.
Berbekalkan beberapa helai baju dan dua tilam usang, itulah liku-liku penuh cabaran yang dihadapi keluarga yang berasal dari Masai, Johor itu.
Lebih mengejutkan kehidupan lapan beranak yang hidup dalam keadaan daif itu bukannya di kawasan pedalaman, sebaliknya di tengah-tengah kesibukan bandar raya ini iaitu di Kampung Empat, Kubu, Kota Laksamana di sini.
Menurut Vijayan, episod duka keluarganya itu bermula apabila dia yang sebelum ini bekerja di Pulau Pinang ditipu seorang kenalan yang menjanjikan pekerjaan dengan sebuah syarikat perkapalan di negeri ini, Mei lalu.
"Ketika itu saya baru sahaja tamat kontrak sebagai pengawal keselamatan di Pulau Pinang dan terus bersetuju ke Melaka apabila kawan saya itu meyakinkan saya ada peluang kerja di sini.
"Setibanya di bandar raya ini, saya tidak dapat menghubungi rakan dan dia terus menghilangkan diri walaupun cuba menghubunginya melalui telefon bimbit.
"Saya sekeluarga terkapai-kapai dan buntu untuk mencari pekerjaan dan tempat tinggal dalam keadaan saya tidak mempunyai wang," katanya ketika di temui di sini hari ini.
Menurut Vijayan, secara kebetulan dia diperkenalkan oleh seorang rakan yang kemudiannya menawarkan rumah untuk disewa.
"Dengan keluasan rumah sebesar bilik tidur serta sewa yang murah sebanyak RM150, saya tidak berfikir panjang dan bersetuju untuk menyewa.
"Sejak itu, di rumah seluas tiga meter panjang dan dua meter lebar inilah kami lapan beranak berteduh daripada hujan dan panas," katanya.
Dia berkata, isterinya mendapat pekerjaan di sebuah kedai makan dengan gaji RM20 sehari dan anak lelaki berumur 10 tahun pula bekerja di sebuah bengkel dengan upah sebanyak RM20 sehari.
Tambahnya, anak perempuan sulungnya yang berusia 16 tahun dan 10 tahun juga terpaksa berhenti sekolah kerana terpaksa membantu keluarga dan menjaga adik-adik yang masih kecil berusia empat, tiga dan dua tahun.
Lebih menyukarkan keadaan menurut Vijayan, dia sehingga kini masih tidak mempunyai sumber pendapatan bulanan walaupun saban hari berusaha keras mencari pekerjaan.
"Kalau ada kerja pun, tempatnya terlalu jauh dari rumah dan memerlukan kenderaan untuk ke sana," katanya.
Nasib malang lapan beranak itu mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan pejabat Ketua Menteri yang mengunjungi keluarga itu.
Setiausaha Khas Ketua Menteri (Kebajikan dan Hal Ehwal Awam), M.S Mahadevan berkata, JKM akan menguruskan bantuan sebanyak RM450 sebulan kepada anak-anak Vijayan.
Bantuan segera sebanyak RM300 turut dihulurkan JKM kepada keluarga terbabit.
"Pejabat Ketua Menteri pula akan membantu Vijayan untuk mendapatkan pekerjaan tetap dan memindahkan mereka ke rumah yang lebih selesa serta luas," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MIC negeri berkata, parti itu akan menguruskan untuk mendapatkan rumah sewa untuk lapan beranak itu dalam tempoh tujuh hari.

No comments:

Post a Comment