Thursday, April 10, 2014

Pelakon veteran Sidek Hussain kini derita hidap kanser




KUALA LUMPUR – Selepas 30 tahun menanggung derita ketumbuhan di pipinya, pelakon veteran Sidek Hussain (gambar) disahkan menghidap penyakit kanser.
Berita itu ternyata mengejutkan aktor berusia 63 tahun hingga mencetuskan kebimbangan terhadap kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit yang harus ditanggungnya.
Sidek yang kini ditempatkan di Hospital Besar Kuala Lumpur sejak 30 Mac lalu berkata, beliau sendiri tidak pasti tahap kronik penyakitnya.
Namun yang pasti, akuinya, tubuh badannya semakin tidak bermaya dan lemah termasuk tidak lalu makan.
“Tahap berapa dan jenis kanser yang dihadapi saya hanya akan diketahui dalam masa dua minggu lagi,” katanya dengan nada tersekat-sekat dengan suara yang perlahan ketika dihubungi di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2yQjpNLCw 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, April 9, 2014

Ukraine tuduh Rusia dalang perpecahan



PENUNJUK perasaan pro-Moscow berkawal di sekatan yang dibina di bangunan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine di Donetsk kelmarin. - AFP


KIEV - Polis menahan 70 orang yang menawan sebuah bangunan pentadbiran wilayah di timur Ukraine tetapi sejumlah penunjuk perasaan pro-Moscow masih bertahan di dua bandar lain di negara itu.
Perkembangan membimbangkan itu mendorong kerajaan Ukraine menuduh Rusia mendalangi percubaan untuk memecahkan negara tersebut.
Kiev menyatakan, rampasan bangunan awam di kawasan yang dihuni majoriti penduduk berbahasa Rusia di timur Ukraine pada Ahad lalu itu mengimbau kembali peristiwa wilayah Crimea yang dirampas oleh Rusia pada bulan lalu.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov memberitahu semalam bahawa kira-kira 70 anggota pemisah ditahan di bandar Kharkiv kelmarin.
Namun, beliau tidak memberi butiran terperinci mengenai operasi antipengganas yang dilancarkan bagi menawan kembali bangunan di Kharkiv itu tetapi berkata, dua anggota polis cedera akibat terkena letupan grenad.
Dalam pada itu, Rusia menafikan dakwaan Ukraine bahawa ia terlibat dalam kekacauan di negara berkenaan.
Namun, Moscow memberi amaran kepada Kiev supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penduduk Ukraine yang berbahasa Rusia.
Terdahulu, pasukan tempur khas Ukraine yang berseragam dan lengkap bersenjata berkawal di hadapan bangunan kerajaan yang dirampas semula kelmarin.
Dalam pada itu, kumpulan penunjuk perasaan pro-Rusia yang menawan bangunan kerajaan di Luhansk dan Donetsk menuntut supaya satu pungutan suara seperti yang pernah berlangsung di Crimea diadakan di wilayah mereka.
Pungutan suara tersebut bertujuan untuk memberi pilihan kepada penduduk tempatan sama ada untuk berpisah daripada Ukraine dan menyertai Rusia.
"Satu komplot anti-Ukraine sedang dilancarkan disusuli oleh tindakan tentera asing (Rusia) menyeberangi sempadan dan merampas wilayah negara ini," kata Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk ketika berucap di Parlimen.
"Kita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku," tambahnya.
Sementara itu, agensi berita Itar-Tass memetik Timbalan Perdana Mneteri Ukraine, Vitaly Yarema sebagai berkata, pihak berkuasa tidak akan menyerbu bangunan kerajaan yang ditawan oleh kumpulan penunjuk perasaan tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas rundingan diadakan di Donetsk melibatkan kumpulan penunjuk perasaan itu dan ahli perniagaan tempatan Rinat Akhmetov. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2yKqir3eO 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, April 8, 2014

Pro-Rusia ceroboh bangunan kerajaan Ukraine


Beberapa orang penunjuk perasaan pro-Russia memecah masuk bangunan kerajaan wilayah di Donetsk di timur Ukraine, kelmarin. - REUTERS
KIEV 7 April - Kira-kira 15,000 penunjuk perasaan pro-Rusia menceroboh bangunan kerajaan Ukraine di tiga bandar utama di timur negara ini, semalam, sekali gus membangkitkan kemarahan Kiev yang menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin mendalangi 'gerakan pemisah’.
Bantahan terbaharu itu tercetus ketika seorang pegawai tentera laut Ukraine ditembak mati oleh tentera Rusia di timur Crimea yang menjadikan jumlah kematian meningkat kepada dua orang.
Jurucakap tentera laut Ukraine, Vladislav Seleznyov berkata, tentera marin Rusia melepaskan dua tembakan ke arah askar terbabit dikenali sebagai Mejar Stanislav Karachevsky yang tidak bersenjata dan sedang bersiap untuk meninggalkan Crimea menuju ke Mykolaev.
Bagaimanapun mangsa bertengkar dengan seorang askar Rusia yang bertindak melepaskan tembakan menggunakan senapang AK-74.
Kementerian Pertahanan Ukraine juga melaporkan seorang askar negara ini dibelasah oleh tentera Rusia, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Antara bangunan kerajaan yang diserbu ialah di kawasan hab perindustrian di Donetsk dan pejabat perkhidmatan keselamatan dekat Luhansk, dengan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Rusia dan menuntut pungutan suara diadakan di bandar-bandar itu bagi menyertai Moscow seperti yang dilakukan di wilayah autonomi Crimea.
Rakaman televisyen Reuters menunjukkan beratus-ratus penunjuk perasaan mengepung bangunan perkhidmatan keselamatan dan turut kelihatan seorang anggota polis berpakaian antirusuhan dibawa keluar dari bangunan menggunakan pengusung.
Rangkaian televisyen tempatan pula melaporkan, kumpulan itu menuntut pembebasan kira-kira 15 orang yang ditahan agensi keselamatan itu selepas kesemua suspek disyaki merancang menggulingkan kerajaan dan menyimpan beratus-ratus senapang, bom tangan dan bom petrol.
Agensi berita Interfax melaporkan, kumpulan pro-Rusia turut menawan bangunan pentadbiran wilayah di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov berikrar akan memulihkan keadaan di timur Ukraine dan menuduh bekas Presiden yang diusir, Viktor Yanukovich terlibat dalam konspirasi bersama Putin bagi meningkatkan ketegangan di negara ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_06/Pro-Rusia-ceroboh-bangunan-kerajaan-Ukraine#ixzz2yF1A77Rd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Letupan di selatan Thailand, seorang maut


Gambar bertarikh 6 April lalu merakamkan penduduk dan pekerja sukarela membantu memadamkan kebakaran ekoran letupan bom di pinggir bandar Yala, selatan Thailand. - AGENSI
BANGKOK 7 April - Seorang terbunuh manakala 14 orang lagi cedera dalam beberapa letupan termasuk letupan sebuah bom kereta di Yala, semalam.
Jurucakap tentera, Kolonel Promote Prom-in berkata, sebanyak empat bom diletupkan hampir serentak di Yala dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.50 petang waktu tempatan (4.50 petang waktu Malaysia).
"Satu alat letupan disembunyikan dalam sebuah kereta yang dicuri sebelum ini. Kereta tersebut juga digunakan untuk melakukan beberapa rompakan," katanya.
Beliau berkata, letupan kedua membabitkan bom yang disembunyikan dalam sebuah beg menyebabkan seorang terbunuh.
"Dua bom lebih kecil diletupkan di sebuah pasar dan sebuah bank," katanya.
Kira-kira 6,000 orang kebanyakannya penduduk awam terbunuh dalam konflik di selatan negara ini.
Beberapa rundingan damai pada tahun lepas meningkatkan harapan mencapai satu perjanjian damai di wilayah itu.
Bagaimanapun, krisis politik di Bangkok sejak enam bulan lalu menyebabkan rundingan tersebut tertangguh. - AFP/Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_03/Letupan-di-selatan-Thailand-seorang-maut#ixzz2yF0iwwKv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wilayah Bangsamoro dibentang di Kongres


MANILA 7 April - Draf rang undang-undang penubuhan wilayah Bangsamoro akan dibentangkan pada persidangan Kongres Filipina bulan depan.
Portal berita Manila Bulletin melaporkan, jurucakap Pejabat Presiden, Edwin Lacierda berkata, Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro sedang melengkapkan draf Undang-Undang Asas Bangsamoro berikutan perjanjian damai yang dicapai antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) baru-baru ini.
Pendekatan itu akan diserahkan kepada Presiden, Benigno Aquino III untuk dinilai sebelum dibentang di Kongres apabila ia bersidang pada bulan depan.
Lacierda berkata, mereka berharap rang undang-undang itu akan disediakan sebelum Mei ini.
Beliau berkata, Pejabat Presiden akan terlibat penuh dalam usaha itu apabila draf rang undang-undang Bangsamoro itu diserahkan kepada Presiden untuk penilaian.
Apabila rang undang-undang itu diluluskan oleh Kongres, satu pungutan suara akan diadakan di wilayah yang akan dibentuk sebagai Bangsamoro pada tahun depan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_05/Wilayah-Bangsamoro-dibentang-di-Kongres#ixzz2yF0UXBSL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, April 5, 2014

Erdogan kecam mahkamah batal larangan Twitter



GAMBAR fail yang dirakam pada 27 Mac lalu menunjukkan potret Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan bersama tulisan "Ya Kami Haramkan" tertera pada sebuah skrin komputer riba di Istanbul.


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam Mahkamah Perlembagaan negara itu kerana membatalkan pengharaman laman sosial Twitter yang dikuat kuasa oleh kerajaannya pada 20 Mac lalu.
"Kami sudah tentu terikat dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan tetapi saya tidak perlu menghormatinya. Saya tidak hormat keputusan mahkamah ini," katanya.
Kerajaan Turki telah digegarkan dengan dua krisis bantahan jalanan pada Jun dan Disember tahun lalu.
Sebelum ini, beberapa imej yang disiarkan di laman Twitter, Facebook dan YouTube mengaitkan perdana menteri berkenaan dengan rasuah.
Dalam pada itu, sebuah mahkamah lain di Turki membatalkan hampir keseluruhan perintah sekatan terhadap laman perkongsian video YouTube.
Keputusan tersebut dibuat seiring dengan keputusan mahkamah perlembagaan yang menarik balik larangan serupa ke atas Twitter.
Mahkamah tersebut membuat keputusan itu dengan alasan pengharaman ke atas YouTube adalah bertentangan dengan hak asasi manusia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2xxjUFpV9 
Hakcipta terpelihara 

Pocong’ berhimpun desak banteras rasuah


PENUNJUK perasaan yang mengenakan kostum pocong berarak menuju Pejabat Daerah Khusus Ibukota, Jakarta baru-baru ini.
JAKARTA - Beberapa penduduk menggemparkan kawasan pusat bandar apabila mengenakan kostum pocong dalam satu tunjuk perasaan baru-baru ini.
Tunjuk perasaan itu dianjurkan Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) bagi menentang rasuah, rampasan tanah dan ketidak adilan yang berlaku di sebuah perkampungan di Indonesia.
Menurut portal berita, republika.co.id, tunjuk perasaan itu telah diadakan di hadapan Pejabat Daerah Khusus Ibukota (DKI) di sini.
Selain memegang sepanduk, peserta tunjuk perasaan itu juga membawa keranda dan memakai kain kapan.
Perhimpunan selama beberapa jam itu bertujuan mendesak kerajaan bertindak segera bagi menangani segera masalah pecah amanah yang berlaku di daerah berkenaan.
Penunjuk perasaan itu meminta Gabenor Jakarta, Joko Widodo dan Wakil Gabenor Basuki Tjahaja Purnama menyiasat sepenuhnya tindakan pecah amanah melibatkan kes kecurian dana bajet kewangan negara membabitkan pembelian tanah di perkampungan Rawamangun, di Jakarta Timur


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_08/Pocong-berhimpun-desak-banteras-rasuah#ixzz2xxRSJ5Z4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, April 3, 2014

Jet pengarah Lord of The Rings cari MH370



GAMBAR menunjukkan bentuk jet Gulfstream G650.


PERTH - Sebuah jet peribadi milik pengarah filem Lord of The Rings, Sir Peter Jackson turut terlibat dalam misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.
Seorang jurucakap Jackson semalam mengesahkan bahawa pesawat jenis Gulfstream G650 itu telah disewa oleh pihak berkuasa Australia dan beroperasi di luar Perth.
Pesawat itu berharga AS$80 juta (RM261 juta).
Kata jurucakap itu, jet berkenaan mampu terbang jauh dan sesuai beroperasi di kawasan pencarian pesawat MH370 yang terletak di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

JACKSON


Jelas jurucakap itu lagi, jet berkenaan memang diiklankan untuk disewa.
Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang menyelaras operasi mencari pesawat MH370 itu sebelum ini memberitahu sebuah jet awam digunakan sebagai satu pusat komunikasi antara pesawat tentera yang menyertai misi berkenaan.
Jet G650 mampu terbang lebih laju berbanding mana-mana pesawat yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja New Zealand.
Ia mempunyai kelajuan maksimum kira-kira 1,140 kilometer sejam hampir menyamai kelajuan bunyi iaitu 1,234 kilometer sejam.
Keistimewaan jet G650 buatan syarikat Gulfstream Aerospace dari Amerika Syarikat itu adalah ia mempunyai jarak penerbangan sejauh 12,960 kilometer yang membolehkannya terbang tanpa henti dari Wellington, New Zealand ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China hilang pada 8 Mac lalu sebelum dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

GAMBAR yang disiarkan Pasukan Pertahanan Australia semalam menunjukkan seorang kru berada di atas bot dekat kapal HMAS Success bagi mencari serpihan pesawat MH370.


Usaha mencari kini tertumpu di kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi yang mengambil masa penerbangan kira-kira dua jam setengah dari sini.
Operasi mencari sehingga kini gagal menemui sebarang serpihan pesawat.
Beberapa objek yang dikesan di Lautan Hindi disahkan sebagai sampah serta peralatan menangkap ikan.
Pesawat itu dipandu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid, 27.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru.
Seramai 153 penumpang dalam pesawat itu ialah warga China.
Sebanyak 38 warga Malaysia menaiki pesawat itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2xmZsOOEB 
Hakcipta terpelihara 

Brunei mula laksanakan hukum hudud


Sultan Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN 2 April - Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut.
Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam.
Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi.
Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa.
Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan.
Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku.
"Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan," ujar Gil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140403/lu_01/Brunei-mula-laksanakan-hukum-hudud#ixzz2xlzmTWzc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, April 2, 2014

Rusia mula undurkan tentera di sempadan Ukraine


KIEV 1 April - Tentera Rusia yang ditempatkan di sempadan timur Ukraine, dilapor mula berundur secara berperingkat sejak beberapa hari lalu, sekali gus menunjukkan tanda-tanda konflik terburuk sejak pasca Perang Dingin antara Barat dan Timur itu mulai reda.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataannya menjelaskan, satu batalion telah diarahkan berundur dari kawasan Rostov-on-Don, lokasi latihan ketenteraan yang dijalankan oleh Rusia sejak Februari lalu.
Jurucakapnya, Oleksiy Dmytrashkivskiy berkata, jumlah askar yang diarah pulang tidak dapat dipastikan, begitu juga dengan jumlah tentera yang masih ditempatkan di sempadan Ukraine.
Bagaimanapun kebiasaannya, satu batalion tentera mempunyai kira-kira 500 anggota.
"Pengunduran tersebut mungkin merupakan pertukaran biasa dalam kalangan anggota tentera.
"Namun tindakan itu juga ada kaitan dengan rundingan antara Rusia-Amerika Syarikat (AS)," katanya ketika dihubungi AFP, semalam.
AS dan Eropah sebelum ini menggesa Moscow mengundurkan kira-kira 30,000 hingga 40,000 tenteranya yang ditempatkan di sempadan Ukraine, sebagai langkah pertama meredakan ketegangan di rantau tersebut.
Penganalisis Pusat Kajian Ketenteraan dan Politik di Kiev, Dmytro Tymchuk berkata, hanya 10,000 tentera Rusia yang ditempatkan di sempadan Ukraine pada pagi hari ini.
Kerajaan sementara Ukraine dalam pada itu berkata, mereka tidak menerima sebarang maklumat tentang pengunduran tersebut daripada Moscow dan tidak pasti tujuan tentera Rusia dialihkan.
Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier mengalu-alukan tindakan Moscow itu, sebagai ‘petanda kecil’ bahawa konflik antara Rusia-Ukraine dapat diselesaikan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin turut menghubungi Canselor Jerman, Angela Merkel untuk memaklumkan situasi tersebut, namun tidak mengulas lanjut tentang jumlah askar yang diundurkan dan maklumat lain. - DPA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140402/lu_06/Rusia-mula-undurkan-tentera-di-sempadan-Ukraine#ixzz2xgAq7n8B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MH370 didakap Lautan Tebusan


DASAR Lautan Hindi dipercayai berceranggah dan sentiasa berubah kerana aliran magma daripada gunung berapi. - Gambar hiasan


KETIKA Fernando Schnabl sedang menanti isteri dan anak lelakinya tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Perancis, dia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat Air France 447 (AF447).
Pesawat jenis Airbus A330 itu dinaiki pasangan anak-beranak tersebut untuk pulang daripada percutian mereka di Brazil.
Fernando bersama anak perempuannya, Celine terlebih dulu tiba di Perancis menerusi pesawat berasingan.
“Kami dalam perjalanan pulang apabila salah seorang anak kapal memberitahu sebuah pesawat yang berlepas dari Rio de Janeiro hilang daripada radar,” cerita Fernando seperti dipetik portal Daily Mail.
Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik menyebabkan 228 penumpang terbunuh.
Turut terkorban ialah isteri Schnabl, Christine dan anak lelakinya, Philipe.
Operasi SAR dilakukan pada keesokan harinya namun harapan untuk menemui mangsa yang selamat adalah tipis meskipun dibantu dengan teknologi paling canggih.
Menurut jurucakap tentera laut Perancis, Hugues du Plessis d’Argentre, kedalaman Lautan Atlantik yang mencecah 3,926 meter (m) membuatkan misi mencari menjadi sukar.
“Kami terpaksa berhadapan dengan laut bergelora, angin kencang dan keadaan laut yang tidak menentu,” katanya.
Selepas 25 hari, pasukan SAR menghentikan operasi mencari setelah gagal menemui kotak hitam pesawat itu.
Bagaimanapun, kotak hitam tersebut ditemui dua tahun kemudian.
Cabaran untuk mengesan kotak hitam AF447 yang terhempas enam tahun lalu itu hampir serupa dengan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Meskipun demikian, ada yang menyifatkan usaha mencari pesawat jenis Boeing 777 itu lebih sukar kerana ia hilang secara misteri, tidak seperti AF447 yang diketahui kedudukannya.
Paling menakutkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar pada 24 Mac lalu mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi.
Sejurus selepas berita sedih itu disampaikan, usaha pasukan SAR yang membabitkan 12 negara terus bertumpu ke arah mencari kotak hitam pesawat berkenaan di selatan lautan itu.
Pakar pencari bangkai pesawat dalam laut Amerika Syarikat (AS), David Mearns yang pernah terlibat dalam operasi mencari serpihan AF447 mengakui misi mencari komponen pesawat MH370 di Lautan Hindi tidak sama seperti yang disertainya di Lautan Atlantik sebelum ini.
“Berbanding Lautan Atlantik yang terletak di antara benua Afrika dan Amerika, Lautan Hindi sangat terpencil dan jarang dilalui kapal-kapal dagang,” kata Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Rizal Arshad.
Maka tidak hairanlah, lautan ketiga terbesar di dunia itu terkenal dengan jolokan The Lonely Ocean atau Lautan Sepi.
Menurut Rizal, Lautan Hindi mempunyai kedalaman sembilan hingga sepuluh kali ganda berbanding ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420m.
Tambahnya, dengan kedalaman mencecah 4,000m, lautan itu turut mempunyai arus yang kuat selain dasarnya yang gelap dan kerap berubah.
“Di sesetengah kawasan seperti Jurang Jawa, kedalamannya mencecah 7,000m. Jika kotak hitam tersebut bergerak atau dilitupi pasir di dasar laut, ia akan merencatkan isyarat yang boleh diberikan,” katanya.

KENDERAAN kawalan jauh dalam air (ROV) boleh digunakan pada kedalaman 6,000m. - Gambar hiasan


Perkara itu turut dipersetujui ahli oseanografi dari Universiti New South Wales di Australia, Erik Van Sebille yang menyifatkan Lautan Hindi sebagai kawasan yang paling menakutkan di muka bumi.
“Secara umum, bahagian selatan Lautan Hindi merupakan kawasan laut paling bergelora. Pada musim sejuk, jika berlaku ribut, anda boleh melihat ombak setinggi 10 hingga 15 meter.
“Cuaca tidak menentu, ombak ganas dan laut bergelora. Keadaan ini amat berbahaya walaupun untuk kapal-kapal besar.
“Malah, arus di bahagian itu merupakan antara yang paling deras di dunia,” jelasnya sambil memberitahu, lautan itu juga dikenali dalam kalangan pelaut sebagai ‘Lautan Tebusan’ .
Cuaca buruk
Selain itu, keadaan cuaca dengan angin kencang yang dikenali sebagai Roaring Forties turut menambahkan kesulitan operasi SAR di kawasan tersebut.
Perkataan roaring merujuk kepada tiupan angin barat yang sangat kuat sehingga menyebabkan ribut kencang.
Istilah forties pula merujuk kepada lokasi kedudukan garis lintang selatan yang terletak pada latitud 40 dan 50 darjah di hemisfera selatan.
Bekas penasihat penerbangan tentera Universiti Newcastle, Martin Babakhan memberitahu, fenomena alam yang kerap terjadi di kawasan itu berpunca daripada lokasinya yang terletak di zon peralihan antara daerah subtropika yang tenang dengan kawasan pusaran sejuk di sekitar Kutub Selatan.
Menurutnya, kelajuan angin yang mencapai 200 kilometer sejam (kmj) menyebabkan laut bergelora dan ribut kuat di tengah lautan.
“Peralihan musim telah bermula dan ini bererti udara sejuk dari Antartika bergerak ke atas dan udara panas bergerak ke bawah mewujudkan cuaca yang buruk,” katanya.
Dalam pada itu, Perunding keselamatan penerbangan, Geoffrey Thomas memberi amaran bahawa keadaan cuaca di lautan yang terletak berdekatan benua Antartika itu semakin buruk apabila tiba musim sejuk.
“Keadaan yang amat sejuk sedang menghampiri. Keadaan laut akan bergelora dengan hujan lebat serta awan rendah.
“Laut akan menjadi seperti sebuah kawah buih dengan warna putih melitupi sebahagian besar permukaan air. Ia sangat berbahaya untuk berada di sana,” katanya



Thomas menambah, keadaan itu merupakan suatu petanda yang tidak menyenangkan.
“Ini adalah permulaan musim sejuk. Keadaan seperti ini adalah kejadian yang berlaku setiap hari di kawasan lautan Hindi. Ia adalah musim sejuk selama lapan bulan pertama untuk tahun ini dan sepanjang tempoh tersebut, lokasi ini adalah tempat paling dahsyat di dunia,” jelasnya.
Thomas mengandaikan usaha mendapatkan semula bangkai pesawat mungkin mengambil masa berbulan-bulan dalam keadaan cuaca sedemikian.
“Sungguh malang jika serpihan pesawat MH370 ditemui di kawasan itu. Ia seolah-olah satu mimpi ngeri,” ujarnya.
Apa pun situasi yang perlu dihadapi, pasukan SAR kian kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 iaitu kotak hitam pesawat tersebut.
Jangka hayat bateri kotak elektronik yang berfungsi merekod data rakaman penerbangan hanya mempunyai masa kurang dari seminggu sahaja lagi untuk dikesan sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan.
Untuk mengesan isyarat tersebut, pasukan SAR menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat AF447.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Towed Pinger Locator akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield.
“Kapal itu akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2xg92q9iX 
Hakcipta terpelihara 

Saksi terakhir nahas pesawat


WALAUPUN dipanggil kotak hitam, namun warna peralatan itu adalah oren terang agar ia mudah dicari.


"HABIS LAH! Kita akan terhempas. Ini tidak mungkin terjadi!" kata salah seorang pembantu juruterbang.
"Tapi, apa yang berlaku?" balas seorang lagi pembantu juruterbang, beberapa saat sebelum pesawat 330 Airbus milik Air France menjunam ke Lautan Antlantik, yang mengorbankan 228 nyawa pada 1 Jun 2009.
Perbualan akhir dalam kokpit dengan situasi cemas dan takut itu diperoleh hasil transkrip daripada kotak hitam pesawat yang ditemui selepas dua tahun kejadian tersebut berlaku.
Menerusi analisis terhadap kotak hitam tersebut, Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) menggambarkan keadaan di dalam kokpit Pesawat 447 Air France itu dalam situasi huru-hara serta kekeliruan juruterbang hingga membawa kepada kemalangan.
Pesawat 447 yang sepatutnya terbang selama 11 jam ke Paris dengan membawa 216 penumpang dan 12 anak kapal itu terhempas semasa merentasi kawasan ribut di Lautan Atlantik setelah empat jam berlepas dari Lapangan Terbang Tom Jobimi, Rio de Janeiro, Brazil.
Sehingga kini, hanya perbualan antara juruterbang, Kapten Marc Dubois, 58, dan dua pembantu juruterbang, David Robert, 37 tahun dan Pierre Cedric Bonin, 32, berjaya dianalisis keluar dari kotak hitam.
Analisis ke atas kotak hitam pesawat 447 Air France tersebut telah membawa kepada penemuan antara punca kejadian nahas udara berkenaan di samping mengambil kira faktor-faktor lain.
Merakam
Kotak hitam bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kepada teori-teori tentang kehilangan atau nahas sesebuah pesawat, namun ia merupakan saksi akhir yang penting dalam menemukan jawapan tentang apa sebenarnya berlaku ke atas pesawat.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad memberitahu, kotak hitam adalah satu istilah yang dialih bahasa daripada bahasa Inggeris iaitu black box dan ia juga istilah untuk dua peralatan penting yang wajib ada dalam pesawat.
Peralatan pertama dalam kotak hitam adalah perakam suara kokpit (CVR) manakala satu lagi ialah perakam data pesawat (FDR).
Peralatan CVR yang ada dalam sistem pesawat mempunyai mikrofon dan ia dipasang di bahagian tengah panel kawalan dalam kokpit. Selain itu, ia turut dipasang pada mikrofon komunikasi juruterbang dan pembantu juruterbang.
"Jadi, CVR akan memainkan peranan merakam segala perbualan dalam kokpit dan juga segala bunyi daripada sekecil-kecil bunyi termasuk ketika memadam suis sehingga kepada bunyi penggera amaran apabila pesawat hilang kawalan.



"Bagaimanapun, lazimnya CVR merakamkan bunyi bagi tempoh dua jam terakhir tamatnya sesuatu penerbangan tersebut. Ini bermaksud, dalam tempoh itu sama ada pesawat itu selamat mendarat atau terhempas," katanya.
Mengambil contoh kejadian MH370 yang berakhir di Lautan Hindi, Kamarul menambah, kemungkinan rakaman perbualan yang berlaku di Laut Cina Selatan sebelum itu tidak dapat diperoleh memandangkan jarak dan tempoh masa kejadian telah melebihi dua jam terakhir.
Mengupas lebih lanjut, beliau memberitahu, dahulunya kotak hitam menggunakan sistem analog (pita rakaman seperti kaset) dan ia boleh membuat rakaman dalam setiap 30 minit terakhir sahaja.
Namun selepas beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh rakaman tersebut telah ditingkatkan kepada dua jam terakhir.
Analisis
"Dalam tempoh dua jam berkenaan (tempoh kecemasan), juruterbang yang mengendalikan pesawat akan cuba berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan atau sebaliknya ditimpa musibah iaitu terhempas," ujarnya.
Berbeza dengan FDR pula, Kamarul menjelaskan, sistem itu berupaya merakamkan data sepanjang penerbangan dengan kapasiti 24 jam.
Katanya, ada banyak data akan tersimpan menerusi sistem FDR. Antara data terpenting ialah kelajuan pesawat, ketinggian pesawat dari aras laut selain kedudukan terkini pesawat tersebut.
Pada masa sama, FDR turut merakam data seperti status atau jumlah minyak pesawat, kedudukan kawalan sayap (daya angkat pesawat) sama ada berlaku pembelokan atau kenaikan dan penurunan.
Daripada data FDR tersebut, jelas Kamarul, analisis dan siasatan akan dapat mengetahui secara tepat bagaimana pesawat tersebut terhempas mahupun mendarat.
"Bagaimanapun, bagi mengetahui bagaimana kejadian menimpa sesebuah pesawat itu bukan bergantung kepada kotak hitam sahaja tetapi ada faktor lain turut diambil kira, misalnya latar belakang juruterbang, kru dan para penumpang," jelas beliau.
Sementara itu, Kamarul memberitahu, hanya beberapa negara sahaja yang memiliki sistem penerima peranti lokasi dalam air (ULD) bagi mengesan kotak hitam.
Katanya, sistem ULD ini akan mengeluarkan isyarat bunyi (beep) setiap satu saat, namun ia ada kekangan kerana mempunyai had jarak iaitu lingkungan 3.5 kilometer sahaja.
"Kita harapkan kedalaman Lautan Hindi hampir 4,000 meter dengan puratanya 3.5 kilometer, jika sistem ULD betul-betul berada di atas kotak hitam, maka ia boleh menerima isyarat bunyi tersebut.
"Disebabkan itu, kita perlu tahu terlebih dulu kedudukan sebenar pesawat itu terhempas bagi memastikan kotak hitam berkenaan sememangnya ada di sekitar kawasan pencarian," ujarnya sambil menambah kotak hitam sebenarnya berwarna oren supaya ia mudah dikesan.
Mengenai MH370, kata Kamarul, sebenarnya banyak kemungkinan tetapi semuanya 'atas meja' yang tidak boleh dipastikan, namun ini bukan spekulasi tetapi dipanggil sebagai jangkaan secara ilmiah berdasarkan kepada petunjuk dan seterusnya apa akan berlaku.
Meskipun sistem transponder dan peranti komunikasi dalam pesawat MH370 telah dimatikan menyebabkan ia hilang dari radar sekunder (utama) ATC, namun juruterbang boleh berhubung kembali dengan menara kawalan menerusi radio.

PESAWAT sentiasa diselenggara mengikut jadual bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.


Ujian
Malangnya dalam kes MH370, komunikasi tersebut tidak berlaku dan antara kemungkinan tidak adanya komunikasi itu adalah disebabkan berlakunya kebakaran dalam pesawat.
"Sebagai juruterbang, kita diajar untuk memadam semua suis elektronik bagi mengelak kebakaran daripada terus merebak.
"Persoalannya, apabila suis dipadam, kenapa tidak dilaporkan kepada ATC?"
Sementara itu, pakar sistem pesawat, Prof. Madya Dr. Mohd. Harridon Mohammed Suffian dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) memberitahu, sistem kotak hitam ini wajib dipasang pada pesawat komersial oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Katanya, sebelum dipasang, kotak hitam itu telah melalui pelbagai ujian seperti ketahanan impak berkapasiti 3,200 G (graviti bumi), tahan suhu lebih 1,000 darjah Celsius serta tekanan kedalaman laut lebih 6,000 meter.
Jelas beliau, apabila telah siap diuji dan lulus, kotak hitam akan dipasangkan di bahagian ekor pesawat yang biasanya terakhir menyentuh tanah ketika jatuh atau terhempas, secara tidak langsung ia akan mengurangkan impak atau kerosakan pada kotak hitam.
"Kotak hitam ini dibuat daripada besi aluminium dan titanium yang tahan hentakan sehingga 3,200 G dan ia akan mengeluarkan isyarat jika ada hentakan kuat, maknanya pesawat itu meletup atau terhempas. Secara automatik isyarat akan aktif supaya ia mudah dikesan.
"Lazimnya, kotak hitam akan diperiksa dan diuji setiap tahun bagi memastikan ia masih berfungsi dengan baik termasuk pemeriksaan terhadap baterinya yang mempunyai jangka hayat antara 30 hingga 35 hari," kata Mohd. Harridon.
Katanya, menerusi rakaman data dan suara daripada kotak hitam tersebut, pasukan penyiasat dan penganalisis akan melakukan simulasi berdasarkan maklumat tadi bagi mengenalpasti punca sesebuah pesawat itu terhempas.
"Mereka akan cuba melakonkan semula kejadian pesawat terhempas itu dengan menggunakan teknologi grafik bagi memahami kejadian berlaku dan ia akan dibentangkan kepada DCA.
"Selain pesawat, kotak hitam juga ada dipasang pada kenderaan pengangkutan yang lain seperti bas ekspres dan kapal-kapal laut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2xg8nLDXm 
Hakcipta terpelihara 

Transkrip komunikasi MH370 didedah





KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan semalam mengeluarkan transkrip penuh komunikasi antara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan Menara Kawalan Udara Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, transkrip itu turut dikongsi dengan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang itu dan juga media.
"Tiada petunjuk ada sebarang perkara yang tidak normal dalam transkrip itu. Pada mulanya transkrip itu diadakan sebagai sebahagian daripada siasatan polis," kata beliau dalam kenyataan lima perenggan yang dikeluarkan di sini semalam.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan kini berada di Hawaii menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-ASEAN pertama dan beberapa acara berkaitan akan berkongsi dengan rakan sejawatannya dari ASEAN dan kerajaan Amerika Syarikat berhubung perkembangan pencarian pesawat MAS itu.
"Sebelum ini, MAS telah menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan suara kata-kata terakhir itu adalah daripada pembantu juruterbang," kata beliau.
Hishammuddin berkata: "Polis berusaha mengesahkan keyakinan ini dan ujian forensik rakaman sebenar sedang berjalan."
Beliau berkata, pasukan penyiasat antarabangsa dan pihak berkuasa Malaysia tetap berpendapat bahawa sehingga titik di mana pesawat itu melepasi liputan radar utama tentera, pergerakan MH370 itu konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang di dalam pesawat.
Hishammuddin juga berkata, taklimat tertutup untuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 akan diadakan di ibu negara hari ini.
Kata beliau, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS akan mengetuai taklimat itu, dengan moderatornya wakil khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting.
HISHAMMUDDIN


"Pakar-pakar teknikal dari Malaysia, China dan Australia akan menyertai taklimat itu dan Duta Besar China di Malaysia, Huang Huikang akan menghadirinya," katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac lalu setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Berikutan itu, gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan namun sehingga sekarang belum menemui pesawat itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2xg7xoyHg 
Hakcipta terpelihara 

JACC selaras misi antarabangsa mencari MH370



Reuters
SEORANG juruterbang, Rob Shearer melihat ke arah Lautan Hindi dari tingkap pesawat P3 Orion milik tentera New Zealand kelmarin.


PERTH - Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) mula beroperasi semalam bagi menyelaras misi antarabangsa mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang dan dipercayai terhempas di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.
JACC akan bekerjasama dengan kerajaan Australia dan beberapa negara lain untuk memberi maklumat kepada keluarga penumpang serta meneliti komunikasi dengan semua agensi antarabangsa yang terlibat dengan misi mencari tersebut.
Bekas ketua tentera Australia, Angus Houston akan mengetuai unit berkenaan yang mempunyai seramai 20 kakitangan.
Sebanyak 10 buah pesawat dan sembilan kapal menyertai misi mencari di sebuah kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi semalam.
Operasi itu disertai oleh tujuh negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.
Sebuah kapal milik tentera laut Australia, HMS Ocean Shield yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam dan sebuah kapal selam kawalan jauh meninggalkan pelabuhan di Perth menuju ke lokasi carian kelmarin. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2xg7LSNxL 
Hakcipta terpelihara 

Boeing 737 kawal trafik udara di Lautan Hindi



AP
SEORANG anggota pengawal pantai Jepun meninjau pemandangan dari tingkap pesawat milik agensi itu ketika menyertai operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi semalam.


PERTH - Pihak berkuasa Australia akan menghantar sebuah pesawat Boeing 737 yang diubah suai untuk dijadikan pusat kawalan trafik udara di Lautan Hindi, kata seorang pegawai semalam.
Langkah itu diambil bagi mengelak pesawat-pesawat yang menyertai misi mencari Penerbangan MH370 daripada berlanggar di udara.
Ketua Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston (gambar kecil) berkata, pesawat yang dinamakan E-7A Wedgetail itu dilengkapi sistem radar antara paling canggih.
Ia akan dihantar bagi memantau ruang udara yang sibuk di lokasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
"Kehadiran pesawat ini akan membantu kami mengatasi sebarang konflik udara melibatkan pesawat-pesawat yang menyertai operasi mencari MH370," kata Houston.
Semalam sebanyak 11 pesawat dan sembilan buah kapal meneruskan operasi mencari di lokasi berkenaan dalam cuaca buruk dan jarak penglihatan yang terhad.



Operasi mencari tersebut terpaksa dihentikan lebih awal akibat cuaca buruk.
Misi pencarian pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) itu kini masuk minggu ketiga tanpa sebarang serpihan atau petunjuk baru.
Penerbangan MH370 milik MAS membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing sebelum dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi di barat daya kota raya ini.
Usaha mencari kini tertumpu di kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi yang mengambil masa perjalanan pesawat kira-kira dua jam setengah dari sini.
Dalam situasi biasa, sebuah menara kawalan trafik udara akan menggunakan radar dan peralatan lain bagi memastikan pesawat di sesuatu kawasan berada pada ketinggian berlainan untuk mengelak berlanggar sesama sendiri.
Bagaimanapun, kawasan pencarian pesawat MH370 berada di kawasan terpencil di Lautan Hindi dan terletak beratus-ratus kilometer dari mana-mana menara kawalan trafik udara.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2xg7ALVSG 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat paling canggih AS gagal kesan kapal terbang MH370


Reuters
DUA kru pesawat peninjau P-8 Poseidon melihat keluar tingkap ketika misi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi baru-baru ini.


PERTH - Pesawat P-8 Poseidon milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang dilengkapi kamera definisi tinggi dan beberapa alatan pengesan canggih dianggap sebagai pesawat peninjau paling moden di dunia.
Pada mulanya kehadiran kapal terbang canggih itu dianggap mampu merungkai misteri kehilangan sebuah pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sejak 8 Mac lalu.
Namun kemampuan P-8 Poseidon kini dilihat sebagai terbatas.
Tentera AS menghantar dua pesawat Poseidon yang dilengkapi kamera, radar dan pengesan infra merah yang direka khas untuk mengesan objek di dasar lautan.

Reuters
LEFTENAN Komander David Mims berjalan berhampiran pesawat P-8 Poseidon selepas pulang daripada misi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi kelmarin.


Bagaimanapun, peralatan canggih tersebut tidak banyak membantu dalam misi mencari pesawat MH370.
Malah kru-kru Poseidon lebih banyak melihat dari tingkap pesawat untuk mengesan sebarang serpihan.
Seorang juruterbang P-8 Poseidon, Leftenan Komander David Mims berkata, ini adalah kali pertama beliau berada di Lautan Hindi yang dianggap kawasan pencarian paling mencabar untuk dirinya.
"Sangat ganjil apabila terbang di lautan ini kerana anda tidak melihat sebarang pulau dan juga kapal di laut.
"Di sini kosong, tiada apa di sini. Ia sangat ganjil," katanya.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal itu terhempas di selatan Lautan Hindi ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Sehingga kini tiada serpihan pesawat itu dijumpai dan semua objek yang dikesan oleh pesawat peninjau yang menyertai usaha mencari disahkan sebagai sampah selain peralatan menangkap ikan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2xg6rsCnD 
Hakcipta terpelihara