Thursday, October 23, 2014

China hantar pengorbit bulan dan ke bumi



Roket Chang’e-3 membawa Jade Rabbit berlepas dari Pusat pelancaran Satelit Xichiang di wilayah Sichuan, tahun lalu.BEIJING - CHINA. China akan melancarkan pengorbit bulan terbaharu yang membawa Chang’e-5 dalam masa terdekat, sekali gus merupakan percubaan pertama menghantar kapal angkasa ke bulan dan kembali ke bumi.

Agensi berita Xinhua melaporkan, pesawat ruang angkasa tidak dinamakan itu akan dilancarkan antara Jumaat dan Ahad.

"Ia adalah modul lunar pertama China yang mampu kembali ke bumi dan memerlukan penahanan suhu tinggi yang terjadi ketika roket masuk semula ke atmosfera bumi," menurut akbar itu.

Menurut Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri untuk Pertahanan Negara China (SASTIND), pelancaran bertujuan menguji teknologi digunakan dalam Chang’e-5.

Difahamkan, Beijing menganggap program angkasa bernilai berbilion dolar itu sebagai usaha meningkatkan martabat negara di mata dunia dan kepakaran teknikal serta membuktikan pemerintahan Parti Komunis mampu memulihkan nasib bangsa miskin.

NGO Islam bantah acara lelaki pakai kasut tumit tinggi



PROGRAM kaum lelaki berjalan kaki dengan memakai kasut tumit tinggi wanita dicedok daripada budaya negara barat yang pernah menganjurkan acara seumpama itu sebelum ini.


KUALA LUMPUR – Selepas program Oktoberfest dan ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’, satu lagi acara yang menganjurkan kaum lelaki berjalan dengan memakai kasut tumit tinggi wanita turut menimbulkan kontroversi apabila mendapat bantahan orang ramai.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama membantah program anjuran sebuah NGO wanita itu kerana Islam melarang kaum lelaki berpakaian seperti wanita.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, acara itu tidak wajar diadakan di Malaysia walaupun atas alasan untuk menimbulkan ke­sedaran mengenai keganasan ke atas wanita kerana matlamat tidak pernah menghalalkan cara.
“Pihak yang merancang acara itu sepatutnya mengambil kira hukum agama terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3GwdKwnVs 
Hakcipta terpelihara 

Protes Parlimen di Pakistan berakhir


23 Oktober 2014


ISLAMABAD - PAKISTAN. Seorang ulama Kanada-Pakistan dan penyokongnya yang mula berkhemah di luar bangunan Parlimen Pakistan sejak Ogos lalu akhirnya menghentikan protes, kelmarin.

Tahir-ul-Qadri tiba di Islamabad pertengah Ogos lalu bersama pemain kriket yang kini menjadi ahli politik, Imran Khan, dan ribuan penyokong mereka dengan tujuan memaksa Perdana Menteri Nawaz Sharif berundur atas dakwaan penipuan dalam pilihan raya tahun lalu.

"Fasa Revolusi Mac di Islamabad kini telah berakhir dan peserta boleh kembali pulang dengan penuh rasa kemenangan. Fokus protes kini beralih ke bandar di seluruh negara termasuk Karachi, selaku hab komersial utama," katanya kepada Arab News.

Cubaan terbaharu ceroboh Rumah Putih dipatahkan

WASHINGTON: Rumah Putih sekali lagi diceroboh apabila seorang lelaki melompat pagar dan diserbu anjing pasukan perisik sebelum suspek ditahan, semalam.
"Anjing berjaya menyerbunya," kata jurucakap perkhidmatan perisikan, Edwin Donovan.
Beliau mengenal pasti penceroboh itu sebagai Dominic Adesanya, 23, dari Bel Air, Maryland dan berkata dia tidak bersenjata ketika ditahan.
Gambar video menunjukkan ejen Perkhidmatan Perisik mengerumuni lelaki terbabit di bahagian utara Rumah Putih pada jam 7.15 petang yang menyebabkan Rumah Putih ditutup selama 90 minit susulan kejadian itu.
Kejadian berlaku kira-kira sebulan selepas seorang penceroboh bersenjatakan pisau memanjat pagar Rumah Putih dan masuk ke dalam dewan eksekutif, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di kompleks yang dikawal rapi itu.
Insiden itu juga membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Perkhidmatan Perisik, Julia Pierson. - REUTERS

Jumlah jangkitan Ebola cecah 10,000 di Afrika Barat

GENEVA: Jumlah mangsa yang dijangkiti Ebola sudah mencecah hampir 10,000 orang di Afrika Barat, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO menyatakan 9,936 orang di Guinea, Liberia dan Sierra Leone - tiga negara yang menjadi pusat wabak Ebola yang paling teruk - sudah dijangkiti penyakit itu.
Secara keseluruhan, 4,877 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit berkenaan setakat ini.
Ketika pakar memberi amaran bahawa kadar jangkitan boleh mencapai 10,000 seminggu pada awal Disember, penyelidik di seluruh dunia sedang berusaha untuk melawan penyakit terbabit, yang sehingga kini masih belum mempunyai rawatan berlesen atau vaksin.
Angka itu dikeluarkan ketika WHO mengadakan mesyuarat kecemasan pusingan ketiga mengenai Ebola di Geneva semalam, bagi membincang usaha bagi melawan penyakit demam tropikal itu.
Sementara itu beberapa dos vaksin eksperimen 'rVSV' bagi melawan penyakit Ebola tiba di Hospital Universiti Geneva dari Kanada semalam.
WHO akan menyelaraskan percubaan vaksin itu di Geneva, bersama vaksin yang juga terdapat di Jerman, Gabon dan Kenya.
Vaksin itu, yang diusahakan di Makmal Mikrobiologi Nasional di Winnipeq, adalah satu daripada dua vaksin eksperimen Ebola yang dikesan memberi reaksi baik ketika diuji pada monyet.
Penolong Ketua Pengarah WHO, Marie-Paule Kieny berkata matlamatnya adalah untuk menghantar bekalan ke Afrika menjelang awal 2015. - AFP

Jet pejuang Indonesia pintas pesawat Australia

RABU, 22 OKTOBER 2014 @ 5:19 PM

 
JAKARTA: Jet pejuang Indonesia memintas sebuah pesawat ringan Australia dan memaksanya mendarat selepas ia memasuki ruang udara negara berkenaan tanpa kebenaran.

Jurucakap tentera Udara Indonesia, Hadi Cahyanto berkata, pesawat awam Beechcraft yang didaftarkan di Australia itu sedang melakukan penerbangan dari Darwin, Australia, ke Cebu di Filipina apabila ia dipintas oleh dua jet pejuang Sukhoi

Katanya, pesawat itu dipaksa mendarat di lapangan terbang Manado, di bahagian utara pulau Sulawesi di tengah Indonesia.

Hanya juruterbang dan pembantu juruterbang, kedua-duanya warga Australia, saja berada di dalam pesawat terbabit.



Cahyanto berkata mereka disoal siasat oleh penyiasat tentera sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang untuk disoal siasat dengan lebih lanjut.

"Mereka tidak mempunyai surat pelepasan yang membenarkan mereka memasuki ruang udara Indonesia.

"Tapi oleh kerana mereka orang awam dan bukan anggota tentera, kami menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi siasatan," katanya.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, J A Barata berkata pesawat itu mula dilihat dekat Ambon, ibu negeri pulau Maluku, dan dimaklumkan supaya mendarat.

"Mereka tidak mengendahkan jadi mereka dipaksa supaya mendarat di Manado," katanya. - AFP

Kanada perketat keselamatan berikutan serangan terhadap Parlimen


ANGGOTA polis bertindak menjejaki suspek yang menembak anggota polis di Ottawa, semalam. - Foto Reuters
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper berikrar akan melipat gandakan usaha bagi menentang pertubuhan pengganas berikutan kejadian seorang lelaki bersenjata menyerang bangunan Parlimen negara itu semalam.
"Kanada tidak akan berasa terancam. Malah kejadian ini memperkuatkan lagi azam dan usaha kami melipat gandakan langkah keselamatan untuk melawan ancaman berkenaan," katanya dalam satu perutusan mengenai kejadian itu menerusi televisyen.
Penyerang terbabit dikenal pasti sebagai Michael Zehaf-Bibeau, 32, dianggap sebagai suspek berisiko tinggi dan pasportnya dirampas bagi mengelakkannya daripada menyertai militan di luar negara.
Dia menembak mati seorang askar Kanada yang sedang bertugas mengawal memorial peperangan sebelum menyerbu masuk ke bangunan Parlimen berhampiran. Penyerang kemudian ditembak mati oleh pengawal di situ.
Harper berkata kejadian itu adalah satu peringatan bahawa Kanada tidak terlepas daripada sebarang serangan pengganas seperti di tempat lain di dunia. - AFP

Melampau tuduh penganjur acara 'sentuh anjing'


anjing
SHAH ALAM - Tuduhan bahawa penganjur program kontroversi 'I Want to Touch a Dog' boleh terkeluar akidah atau menghina Islam adalah agak keterlaluan.

Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tuduhan berat seperti itu tidak boleh dilemparkan sewenang-wenangnya tanpa bukti jelas menunjukkan penganjur membenci atau mahu menghina Islam.

"Program itu mempunyai tujuan baik namun cara pelaksanaannya tidak tepat dan tidak berhati-hati serta terlalu terbuka tanpa kawalan dan panduan jelas diberikan kepada pesertanya.

"Justeru, saya tidak bersetuju penganjuran seumpama itu, namun saya juga tidak bersetuju kecaman melampau-lampau dan ugutan pelbagai pihak terhadap penganjur dan mereka yang hadir," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah masalah fiqh dan perbezaannya, tetapi tidak melibatkan masalah akidah kerana pengharaman sentuh anjing tidak berdalil qat’ie dan tidak sampai ke peringkat ijma’ iaitu sepakat seluruh ulama silam.

Zaharuddin berkata, adalah tidak wajar penganjur dan peserta digelar sebagai gerakan Islam liberal jika mereka meyakini ijtihad mazhab Maliki yang menganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis dan tidak haram disentuh.

"Maka itu tidak boleh dianggap liberal, malah mazhab tersebut adalah salah satu dari Ahli Sunnah wal Jamaah.

"Jika mereka mengatakan harus memakan daging babi dan anjing, ketika itu barulah mungkin mereka sudah menyimpang dan liberal, kerana terdapat dalil spesifik dan jelas kenajisan dan pengharaman," katanya.

Zaharuddin berkata, walaupun mazhab Maliki tidak mengharamkan menyentuh anjing, namun pandangan dan pegangan masyarakat setempat perlu diambil kira.

Katanya, mazhab Syafie mengharamkan menyentuh anjing tanpa sebab syar’ie dan mazhab Hanbali turut menganggap anjing sebagai najis yang tidak harus menyentuhnya tanpa sebab syarie.

Katanya, kebijaksanaan masyarakat dan kematangan hadapi situasi kepelbagaian pendapat, kefahaman dan perbezaan perlu dipandu dengan berhemah.

"Penganjur walau niatnya baik mungkin tersalah pendekatan dan tidak teliti sehingga memilih tajuk dan provokatif sehingga mungkin dilihat mencabar kefahaman awam tentang anjing.

"Justeru, elok penganjur memohon maaf kepada pihak berkuasa dan masyarakat awam yang terusik dengan tindakan kurang bijak mereka," katanya.

Beliau meminta ilmuwan agama dan pihak berkuasa tidak melenting sebaliknya memberi panduan supaya orang ramai tenang berdepan perbezaan pendapat.

Menurutnya, ini kerana pandangan selain mazhab Syafie kini boleh diikuti oleh masyarakat awam dengan sumber maklumat yang pelbagai melalui internet.

"Penganjur juga perlu menyedari terlalu banyak keutamaan isu yang jauh lebih baik dianjurkan kempen berbanding isu anjing ini. Sentuhan yang haram seperti sentuhan lelaki wanita bukan mahram, berpelukan, kempen anti zina, makan wang haram yang lebih jauh berleluasa dan berbahaya.

"Ilmuwan pula digalakkan lebih banyak beri respons kepada isu-isu yang lebih kronik berbanding isu ini," katanya.

Mangsa rogol insaf selepas hamil


Suriyani (kanan) menceritakan pengalaman hidupnya kepada salah seorang pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Program Hari Kecemerlangan Baitul Ehsan.
Suriyani (kanan) menceritakan pengalaman hidupnya kepada salah seorang pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Program Hari Kecemerlangan Baitul Ehsan.
SABAK BERNAM - “Bayangkan saya hamil sewaktu saya tingkatan tiga, macam mana saya nak rahsiakannya daripada ibu bapa sedangkan perut makin membesar,” kata Suriyani (bukan nama sebenar), 21.

Suriyani yang kini menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkata, peristiwa lima tahun lalu itu masih segar di ingatan setelah disahkan hamil selepas dirogol seorang lelaki tidak dikenali di sebuah jirat Cina.

Menurutnya, kejadian itu menjadi titik hitam dalam hidupnya selepas dia bersama rakan-rakannya berhibur sambil meneguk minuman keras sebelum dia dipelawa seorang lelaki menaiki sebuah kereta.

“Saya tak sedar apa yang berlaku waktu tu kerana mabuk, sebaik sedar saya dah berada di kubur Cina. Ketika itu rasa dunia ini kelam selepas dirogol dan dibiarkan di kubur,” katanya kepada Sinar Harian.

Suriyani memberitahu, sebulan selepas kejadian itu, dia mula merasakan perubahan pada dirinya akibat sering kali ke tandas kerana mengalami muntah yang teruk terutama ketika sedang belajar di dalam kelas.

“Saya merahsiakan kehamilan ini hingga kandungan berusia sembilan bulan sebelum seorang guru kaunseling menegur saya dan meminta saya berdiri sambil menyuruh saya memegang perut.

“Saya hanya menangis dan memberitahu saya mengandung sembilan bulan sebelum dia membawa saya berjumpa dengan pengetua yang baru dua hari melapor diri di sekolah berkenaan,” katanya.

Menurut anak bongsu dari tujuh beradik itu, ibu bapanya hanya mengetahui dia hamil setelah dia dimasukkan ke sebuah hospital kerajaan pada 13 Mac 2010 dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki dua hari selepas itu.

“Memang ibu bapa saya amat kecewa selepas mengetahui saya lahirkan anak luar nikah, tapi apa boleh buat, nasi dah jadi bubur, cuma mereka tak putus-putus beri perangsang kepada saya untuk teruskan hidup,” katanya.

Bagaimanapun, sikapnya yang suka berfoya-foya dengan rakan-rakan masih diteruskan selepas habis berpantang hinggalah dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan pindah ke sebuah sekolah baharu.

“Saya mula pergi kelab malam dan minum arak sejak tingkatan satu lagi. Semuanya kerana pengaruh rakan-rakan. Saya rasa segala tekanan hilang setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, dia hanya bersekolah selama dua minggu di sekolah baharu sebelum dia dibawa ibu bapanya menjalani rawatan pemulihan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan Sabak Bernam.

“Pada mulanya memang saya tak nak datang ke sini kerana tak bebas, tapi selepas tinggal beberapa minggu, saya rasa seronok dan jiwa semakin tenang selain tekad untuk berubah,” katanya.

Selepas keluar dari pusat perlindungan wanita itu, Suriyani kemudiannya belajar di sebuah sekolah aliran agama swasta dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setahun lewat daripada rakan-rakan seusianya.

“Saya insaf dan bergaul dengan rakan-rakan yang baik di sekolah agama dan kemudiannya menyambung pengajian di sebuah IPT di Melaka dan berhenti sebelum menyambung pengajian peringkat asasi dan ijazah di kolej sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya dapat menerima dirinya, malah anak yang dilahirkannya itu yang kini berusia lima tahun dijaga baik kakak sulungnya.

“Saya berharap walaupun anak saya bukan anak sah taraf,  dia boleh jadi pemimpin yang baik suatu hari nanti.

“Saya sebenarnya malu dengan diri sendiri bagaimana nak bagi tahu dia adalah anak saya, sedangkan dia menganggap saya makciknya, saya harap dia dapat memaafkan kesalahan yang saya lakukan,” katanya.

Perjanjian Air Selangor Kekal - Azmin


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 8:02 AM
Mohamed Azmin Ali.

EKSKLUSIF
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mahu melihat keberkesanan dan bekalan air berkualiti di Selangor serta tiada hasrat untuk membatalkan perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan negeri itu.

"Saya tidak akan membatalkannya. Saya mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin supaya rakyat boleh menikmati bekalan air yang mencukupi pada masa depan," katanya.
Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau akan terus mendesak Putrajaya supaya mendedahkan butiran mengenai perjanjian tersebut.
"Bagaimana anda mengharapkan saya dan pentadbiran baharu untuk mempertahankan keputusan yang diambil terhadap projek itu sekiranya kami tidak dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai terma dan syarat, kadar tarif yang akan digunakan dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada pengguna,' katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama The Star pada Rabu genap sebulan menerajui tugasnya.

Pendirian tersebut mungkin mengejutkan pengkritik yang menganggap perjanjian itu sebagai perjanjian sulit antara bekas menteri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Umno.

Ramai termasuk rakannya di dalam Pakatan Rakyat menjangka Azmin akan membatalkan perjanjian itu.

Azmin berkata kerajaan negeri mahu menamatkan spekulasi mengenai perjanjian air dan hanya ada satu cara iaitu mendedahkannya kepada rakyat.

Azmin yang menerima salinan asal perjanjian persefahaman itu berkata dokumen itu tertakluk Akta Rahsia Rasmi.

"Oleh sebab itu, saya tidak boleh mendedahkan butiran mengenai perjanjian itu. Ia hanya perjanjian biasa, transaksi perniagaan antara kerajaan dan kerajaan Persekutuan. Ia bukan mengenai isu keselamatan nasional," katanya.

Beliau turut menulis kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili meminta kerajaan Persekutuan mendedahkan butiran perjanjian tersebut tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

Namun, Dr Ongkili memberitahu media bahawa Peguam Negara tidak membenarkan perkara itu dan syarikat konsesi turut menentangnya.

"Adakah mereka melindungi syarikat atau rakyat? Rakyat perlu tahu terma dan syarat kerana kadar tarif akan memberi kesan kepada mereka," kata Azmin.

Mengenai pembentangan Bajet Selangor bulan depan, beliau berkata ia akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan rakyat.

Tidak seperti bajet kerajaan Persekutuan, dimana hanya 18% daripada RM273 bilion diperuntukan untuk pembangunan dan selebihnya perbelanjaan mengurus, Bajet Selangor akan menyaksikan nisbah 60:40 dalam hal itu.

Beliau berkata perbelanjaan pembangunan untuk menjana aktiviti ekonomi dan lebih banyak pendapatan.

"Selangor menyumbang kira-kira 25% kepada KDNK (keluaran dalam negara kasar). Ia merupakan kunci kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara.

"Kami tidak akan mengabaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat tetapi kita juga perlu melibatkan diri dengan komuniti perniagaan," katanya.

Kuala Sepetang Aman, Tak Dikawal Oleh 'Mafia' - Polis


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 1:54 PM
Pekan Kuala Sepetang. -Gambar fail

IPOH: Polis menafikan laporan bahawa Kuala Sepetang sedang ditakluki oleh kumpulan mafia.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata perkampungan kecil nelayan itu aman dan aktiviti jenayah bukanlah satu perkara yang membimbangkan.

"Kita tidak menafikan bahawa ada kegiatan jenayah seperti penyeludupan atau dadah di sana.

"Ia bagaimanapun, tidak seperti yang ditakuti dan dibimbangkan," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

"Saya tidak boleh menjanjikan jenayah sifar kerana akan ada aktiviti-aktiviti jenayah. Kita bagaimanapun akan menguruskannya," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada hari Ahad menerbitkan artikel mengenai kegiatan mafia yang dikatakan berleluasa di kawasan itu melibatkan pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga.

Dalam laporan tersebut, ia mendakwa pelbagai aktiviti jenayah berlaku di sana, termasuk penyeludupan, pengedaran dadah, perjudian, pencerobohan tanah kerajaan dan pencerobohan pendatang tanpa izin yang dikendalikan oleh sindiket berpengaruh.

Paramasivam berkata perkataan "mafia" terlalu keras dan akan menakutkan pelancong daripada berkunjung ke Kuala Sepetang.

"Sehingga hari ini, kami masih belum menerima apa-apa laporan daripada pelancong bahawa mereka terancam atau dirompak," katanya.

Jawi Bongkar Penyebaran Ajaran Sesat Gabung Islam, Kristian, Yahudi


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 2:48 PM

PETALING JAYA: Kegiatan sebuah kumpulan ajaran sesat, Millah Abraham yang cuba menyebar fahaman baharu hasil gabungan ajaran Islam, Kristian dan Yahudi berjaya disekat oleh pihak berkuasa pada Isnin malam.
Aktiviti kumpulan tersebut dibongkar selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) menyerbu sebuah premis di Pusat Perniagaan Megan Pheonix, Cheras pada pukul 9.30 malam itu.
Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jawi, Muhamad Rais Rashid berkata, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan sedang menyampaikan ceramah.
Menurutnya, seramai 11 lelaki, lima wanita yang membawa bersama tujuh kanak-kanak turut berada di premis tersebut.
"Pelbagai bahan bukti seperti tafsir Al-Quran, Injil Bahasa Melayu, komputer dan beberapa dokumen turut dirampas.
"Siasatan awal mendapati, ajaran itu dibawa dari negara jiran dan ia hanya disebarkan kepada kenalan rapat sebagai usaha awal.
"Kumpulan tersebut juga sedang giat merekrut ahli baru bagi memudahkan penyebaran dilakukan selain menarik perhatian orang awam," katanya.
Tambahnya, semua mereka tidak termasuk kanak-kanak ditahan mengikut Seksyen 4 dan 5 Enakmen Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.
Jelasnya, kanak-kanak yang berjaya diselamatkan ditempatkan dibawah jagaan Jawi.

Ketua Kampung Kuala Sepetang Buat Laporan Polis Mengenai Artikel Mafia


Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2014 6:18 PM
A.Paramasivam bersama wakil-wakil media pada sidang media bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai 'isu Mafia di Kuala Sepetang' di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada Selasa.

IPOH: Ketua Kampung Kuala Sepetang membuat laporan polis berkaitan dengan artikel sebuah akhbar berbahasa Melayu yang mendakwa kampung itu dikuasai 'kumpulan mafia'.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata, pihaknya ada menerima laporan tersebut awal minggu ini.

Ketua kampung tersebut merasakan artikel itu adalah khabar angin dan telah memberi kesan negatif.

"Ketua kampung tidak gembira dengan artikel yang dikeluarkan itu.

"Tidak ada apa-apa kesalahan yang dinilai, namun kami tetap menerima laporan itu," katanya ketika sidang media pada Selasa.

Dalam akhbar tersebut yang diterbitkan pada Ahad lalu, mendakwa kampung itu menjalani aktiviti mafia yang melibatkan pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchordan dan Pulau Kuala Sangga.

Turut dilaporkan mengenai aktiviti jenayah termasuk penyeludupan dan pengedaran dadah, judi serta pencerobohan ke atas tanah kerajaan.

Paramasiva juga tidak bersutuju dengan laporan artikel itu, dan berkata Kuala Sepetang merupakan sebuah bandar yang aman dan penggunaan 'mafia' adalah agak kasar.

"Pelancong tidak akan datang melawat Kuala Sepetang jika ada kumpulan mafia berkuasa di sana," katanya sambil menambah Kuala Sepetang merupakan sebuah tempat pelancongan untuk melihat dolfin dan burung helang.

"Sehingga hari ini, pihak polis belum menerima sebarang laporan daripada pelancong diugut atau dirompak," tambah beliau.

SPRM Sasar Pembalak Haram Rasuah Penguat Kuasa


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 12:30 AM
Hutan negara hanya berbaki 30 peratus akibat kegiatan pembalakan haram dengan merasuah anggota agensi penguat kuasa.

PETALING JAYA: Lebih ramai pembalak haram yang beroperasi dengan merasuah anggota penguat kuasa dijangka ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Tindakan itu hasil operasi khas yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyasarkan pembalak haram selepas pergerakan mereka di beberapa negeri dipantau rapi sejak awal tahun ini.

Hasil siasatan juga mendapati, antara punca utama yang dikenalpasti menjadi dalang dalam melindungi aktiviti pembalakan haram ini ialah cubaan merasuah pegawai penguatkuasaan secara berterusan oleh syarikat pembalakan untuk mengaut keuntungan lebih.

Antara negeri terjejas akibat pembalakan haram adalah Sarawak dan negeri terbabit dianggarkan mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta setiap tahun akibat ketirisan  yang berlaku membabitkan aktiviti itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya giat menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti rasuah melibatkan pembalakan haram di beberapa negeri.

"SPRM serius dalam memerangi jenayah rasuah melibatkan alam sekitar khususnya apabila akibat rasuah ini alam sekitar musnah dan hasil tahunan kerajaan negeri dari segi percukaian terjejas teruk," katanya.

Beliau menegaskan, SPRM akan terus bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam usaha memerangi masalah rasuah hingga aktiviti pembalakan haram ini dibendung.

Berdasarkan maklumat yang dilapor kepada SPRM berkaitan isu alam sekitar sepanjang 2009 hingga 2013, sebanyak 25 peratus daripadanya berkaitan isu pembalakan, termasuk rasuah dalam aktiviti pembalakan haram.

Setakat ini, beberapa siri operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perhutanan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan individu yang terbabit dalam aktiviti merasuah pegawai penguatkuasaan tempatan.

Terdahulu di Kuching pada Rabu, seorang pengarah urusan syarikat perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah atas dakwaan cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis yang menahannya kerana melakukan pembalakan haram.

Ling Sing Ching, 50, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selepas dia mengaku tidak bersalah cuba menawarkan rasuah RM2,000 kepada Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Jokowi Muat Naik Selfie Bersama Najib


Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2014 11:00 PM
Selfie antara Najib dan Jokowi menggambarkan keakraban pemimpin kedua negara.

GAMBAR selfie Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo dimuat naik dalam laman Facebook pemimpin negara jiran itu.

 
Daripada enam gambar tetamu negara asing yang dimuat naik dalam entri pada Rabu itu, pemimpin nombor satu Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu meletakkan gambar itu sebagai paparan utama.
Kehadiran pemimpin asing ke Jakarta pada Isnin bagi menyaksikan majlis angkat sumpah bekas gabenor bandaraya itu sebagai presiden republik berkenaan.

Beliau juga mencatatkan selain Najib, pemimpin lain yang hadir ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry; Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Papua New Guinae, Peter O'Neill; Menteri Perindustrian Rusia, Denis Valentinovich dan Timbalan Ketua Parlemen China, Yan Junqi.

"Kami mendiskusi berbagai topik mulai dari pelaburan di Indonesia hingga konflik Syria. Saya harap pertemuan kelmarin dapat mempererat hubungan kerjasama antara negara dan membawa Indonesia ke arah yang lebih baik," katanya.

Bangunan Parlimen Kanada Ditutup Selepas Insiden Tembak Askar


Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2014 11:29 PM
Gambar fail bangunan Parlimen Kanada dipenuhi pelancong.

OTTAWA: Bangunan Parlimen Kanada dipenuhi dengan kenderaan perisai polis selepas seorang askar ditembak ketika sedang mengawasi bangunan itu.

Menurut saksi, mereka melihat lelaki bersenjata berlari masuk ke arah bangunan parlimen selepas aksi tembak itu.

Saksi, Marc-andre Viau berkata, dia melihat lelaki berlari ke arah bilik mesyuarat dalam bangunan itu sambil dikejar polis yang menjerit "take cover".

Sejurus kemudian terdengar "10,15, mungkin 20 das tembakan", kemungkinan daripada senjata automatik, jelasnya.

Pihak polis menutup kawasan parlimen dan pejabat Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper.

Harper meninggalkan kawasan tembakan itu dan berada dalam keadaan selamat," jelas pegawai di situ.

Insiden ini berlaku sehari selepas seorang pemandu berusia 25 tahun yang menyerang dan membunuh askar sebelum ditembak mati oleh polis.

Pihak kerajaan berkata, ianya adalah serangan pengganas. 

Saya Tidak Akan Jadi MB Kedekut - Azmin


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 8:54 AM
Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata, beliau tidak berhasrat untuk menjadi 'MB Kedekut'

Menerajui negeri yang mempunyai rizab bernilai RM3 bilion, beliau berhasrat membelanjakannya untuk penyelenggaraan infrasturktur dan kebersihan di negeri itu.
"Saya tidak akan menjadi menteri besar yang kedekut. Ini bukan wang saya, ia milik rakyat. Saya boleh kedekut dengan wang saya sendiri tapi ini wang mereka dan saya akan membelanjakan ia dengan baik," katanya.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini dikritik oleh wakil rakyat dari Pakatan Rakyat kerana pendekatan berjimat-cermat dalam membelanjakan dana negeri.

Azmin berkata rakyat Selangor boleh mengharapkan perkhidmatan asas yang lebih baik, jalan raya yang rata, keadaan persekitaran yang bersih dan lebih banyak aktiviti ekonomi.

Beliau berkata, cabaran yang perlu dihadapinya adalah memastikan dana kerajaan dibelanjakan dengan sebaik mungkin untuk dikembalikan kepada rakyat.

"Ia tidak mudah. Saya tidak mahu melihat perbelanjaan melampau dan akan memberikan alasan yang kukuh mengapa kita perlu berbelanja," katanya.

Beliau berkata Selangor menerima peruntukan sebanyak RM500 juta setiap tahun daripada kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan infrastrukur jalan raya dan kemudahan lain.

Namun, dalam pentadbiran terdahulu hanya 50% daripadanya disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dengan bakinya dimasukkan ke dalam rizab negeri.

"Saya tidak fikir ia betul. Bermula tahun depan, setiap satu sen dari kerajaan Persekutuan perlu disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengekalkan kawasan mereka," katanya.

Polis Tak Takut - KPN


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 10:49 AM
Khalid Abu Bakar

CHERAS: Polis tidak takut dan gentar untuk melakukan serbuan atau mengambil sebarang tindakan di kawasan Kuala Sepetang, Perak yang didakwa menjadi lokasi jenayah dan aktiviti mafia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis akan sentiasa memantau dan menyerbu mana-mana sahaja kawasan yang disyaki menjalankan aktiviti jenayah.

"Saya rasa polis belum sampai ke tahap itu (takut).

"Belum ada tempat di mana-mana juga di negara kita yang polis takut untuk berhadapan dengan keadaan yang mengancam ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 30 ekor kuda yang baharu dibeli oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di sini, Khamis.

Menurut Khalid, kegiatan jenayah di Kuala Sepetang memang wujud tetapi tidak sampai ke tahap dikuasai oleh kumpulan mafia.

"Kita tak nafikan berlaku jenayah di Kuala Sepetang tapi bukan sampai wujud mafia dan sebagainya" katanya.

Beliau menambah, walaupun Kuala Sepetang pernah menjadi sebuah pusat penyeludupan pada masa dahulu tetapi sekarang kawasan tersebut lebih dikenali dan berpotensi sebagai pusat pelancongan.

"Saya percaya masih berlaku penyeludupan ini tapi tak seperti apa yang digambarkan...begitu teruk keadaannya.

"Kuala Sepetang sekarang adalah pusat pelancongan saya rasa eloklah kita majukan kawasan itu sebagai kawasan peranginan untuk tarik pelancong," katanya.
Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini menerbitkan artikel mengenai kegiatan mafia yang dikatakan berleluasa di kawasan itu melibatkan pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga.

Laporan tersebut mendakwa pelbagai aktiviti jenayah berlaku di sana, termasuk penyeludupan, pengedaran dadah, perjudian, pencerobohan tanah kerajaan dan pencerobohan pendatang tanpa izin yang dikendalikan oleh sindiket berpengaruh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan tersebut.
Katanya meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut.

Artis sokong protes prodemokrasi disenarai hitam

DENISE Ho
Hong Kong: Sebuah festival muzik yang sepatutnya menampilkan penyanyi Denise Ho dan Anthony Wong Yiu Ming dibatalkan ketika khabar tersebar mendakwa mereka disenarai hitam oleh Beijing kerana menyokong protes prodemokrasi.
Turut dilarang, aktor Chapman To.
Bagaimanapun, akhbar Apple Daily melaporkan, beberapa selerbiti lain, termasuk Chow Yun Fat, Andy Lau dan Tony Leung Chiu Wai 'terselamat' daripada peraturan itu walaupun mereka didapati mengecam keganasan polis ke atas penunjuk perasaan.
Aktor Anthony Wong Chau Sang yang kini menjalani penggambaran program televisyen di China dilaporkan sedang diperhati kerana menyatakan sokongan kepada protes di Hong Kong melalui Internet.
Pengurus Ho dan Wong menyesahkan Festival Muzik Strawberi yang sepatutnya diadakan di Guangzhou pada 13 dan 14 September lalu ditunda dua kali namun mereka tidak diberitahu sebabnya.-Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:02 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3465#sthash.sIuZPhDX.dpuf

Pelajar belum puas hati

SEORANG wanita disorak penunjuk perasaan prodemokrasi selepas dia memaksa mereka bersurai dan bersyarah mengenai sejarah China.
Hong Kong: Selepas protes berlangsung selama beberapa minggu dan menggegarkan hab kewangan Hong Kong, 7.2 juta penduduk setempat menyangka tiada apa-apa yang perlu diperhatikan lagi sehinggalah malam kelmarin apabila sesuatu yang luar biasa terjadi.
Di televisyen, mereka menyaksikan perdebatan di antara pelajar yang mengenakan kemeja-T hitam bertulis 'Freedom Now' dan pemimpin atasan Hong Kong.
Mereka berbalas hujah mengenai masa depan demokrasi di wilayah yang terletak di bawah jajahan China itu.
Lima pemimpin pelajar dengan rambut tidak terurus melontarkan soalan kepada pegawai kerajaan yang jauh lebih dewasa menggunakan dialek Kantonis dan diterjemahkan serentak ke bahasa Inggeris dan bahasa isyarat.
Pelajar terbabit menuntut pemimpin kerajaan itu memberikan komitmen kepada perjalanan pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow, 24, bertanya kepada Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong, Carrie Lam, 57, mengenai rancangan masa depan kerajaan.
Namun sepanjang perdebatan selama dua jam itu, wakil kerajaan enggan membuat sebarang janji sebaliknya berkata, mereka hadir hanya 'untuk mendengar' pandangan pelajar.
Kedua-dua pihak menggunakan petikan perlembagaan untuk menyokong hujah masing-masing.
Pelajar Hong Kong kini berkampung di tengah bandar raya itu bagi menuntut kerajaan melaksanakan reformasi pilihan raya.
Mereka juga menuntut Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying meletak jawatan kerana gagal memenuhi tuntutan mereka, selain membiarkan keganasan dilakukan pihak berkuasa.
Hong Kong dijadual menjalani pilihan raya umum untuk lima juta pengundi pada 2017.
Protes jalanan itu bermula sejak akhir September lalu.
Carrie berkata, kerajaan bersedia menyerahkan laporan kepada Beijing dan peraturan pilihan raya mungkin diubah dalam pilihan raya akan datang.
Ia ternyata tidak memadai bagi pelajar.
Sebaliknya, mereka mahu undang-undang pilihan raya diubah serta-merta dan calon yang bertanding tidak perlu mendapat lampu hijau daripada kerajaan pusat.
Sementara itu, semalam, pemimpin pelajar mungkin menolak rundingan lanjut dengan kerajaan selepas ini.
Chow berkata, kerajaan mesti mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Setakat ini apa yang mereka tawarkan tidak praktikal.
"Kami tidak bercadang meninggalkan jalanan dalam tempoh terdekat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:02 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3479#sthash.wGQm6SzI.dpuf