anjing
SHAH ALAM - Tuduhan bahawa penganjur program kontroversi 'I Want to Touch a Dog' boleh terkeluar akidah atau menghina Islam adalah agak keterlaluan.

Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tuduhan berat seperti itu tidak boleh dilemparkan sewenang-wenangnya tanpa bukti jelas menunjukkan penganjur membenci atau mahu menghina Islam.

"Program itu mempunyai tujuan baik namun cara pelaksanaannya tidak tepat dan tidak berhati-hati serta terlalu terbuka tanpa kawalan dan panduan jelas diberikan kepada pesertanya.

"Justeru, saya tidak bersetuju penganjuran seumpama itu, namun saya juga tidak bersetuju kecaman melampau-lampau dan ugutan pelbagai pihak terhadap penganjur dan mereka yang hadir," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah masalah fiqh dan perbezaannya, tetapi tidak melibatkan masalah akidah kerana pengharaman sentuh anjing tidak berdalil qat’ie dan tidak sampai ke peringkat ijma’ iaitu sepakat seluruh ulama silam.

Zaharuddin berkata, adalah tidak wajar penganjur dan peserta digelar sebagai gerakan Islam liberal jika mereka meyakini ijtihad mazhab Maliki yang menganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis dan tidak haram disentuh.

"Maka itu tidak boleh dianggap liberal, malah mazhab tersebut adalah salah satu dari Ahli Sunnah wal Jamaah.

"Jika mereka mengatakan harus memakan daging babi dan anjing, ketika itu barulah mungkin mereka sudah menyimpang dan liberal, kerana terdapat dalil spesifik dan jelas kenajisan dan pengharaman," katanya.

Zaharuddin berkata, walaupun mazhab Maliki tidak mengharamkan menyentuh anjing, namun pandangan dan pegangan masyarakat setempat perlu diambil kira.

Katanya, mazhab Syafie mengharamkan menyentuh anjing tanpa sebab syar’ie dan mazhab Hanbali turut menganggap anjing sebagai najis yang tidak harus menyentuhnya tanpa sebab syarie.

Katanya, kebijaksanaan masyarakat dan kematangan hadapi situasi kepelbagaian pendapat, kefahaman dan perbezaan perlu dipandu dengan berhemah.

"Penganjur walau niatnya baik mungkin tersalah pendekatan dan tidak teliti sehingga memilih tajuk dan provokatif sehingga mungkin dilihat mencabar kefahaman awam tentang anjing.

"Justeru, elok penganjur memohon maaf kepada pihak berkuasa dan masyarakat awam yang terusik dengan tindakan kurang bijak mereka," katanya.

Beliau meminta ilmuwan agama dan pihak berkuasa tidak melenting sebaliknya memberi panduan supaya orang ramai tenang berdepan perbezaan pendapat.

Menurutnya, ini kerana pandangan selain mazhab Syafie kini boleh diikuti oleh masyarakat awam dengan sumber maklumat yang pelbagai melalui internet.

"Penganjur juga perlu menyedari terlalu banyak keutamaan isu yang jauh lebih baik dianjurkan kempen berbanding isu anjing ini. Sentuhan yang haram seperti sentuhan lelaki wanita bukan mahram, berpelukan, kempen anti zina, makan wang haram yang lebih jauh berleluasa dan berbahaya.

"Ilmuwan pula digalakkan lebih banyak beri respons kepada isu-isu yang lebih kronik berbanding isu ini," katanya.