Thursday, October 23, 2014

Jawi Bongkar Penyebaran Ajaran Sesat Gabung Islam, Kristian, Yahudi


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 2:48 PM

PETALING JAYA: Kegiatan sebuah kumpulan ajaran sesat, Millah Abraham yang cuba menyebar fahaman baharu hasil gabungan ajaran Islam, Kristian dan Yahudi berjaya disekat oleh pihak berkuasa pada Isnin malam.
Aktiviti kumpulan tersebut dibongkar selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) menyerbu sebuah premis di Pusat Perniagaan Megan Pheonix, Cheras pada pukul 9.30 malam itu.
Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jawi, Muhamad Rais Rashid berkata, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan sedang menyampaikan ceramah.
Menurutnya, seramai 11 lelaki, lima wanita yang membawa bersama tujuh kanak-kanak turut berada di premis tersebut.
"Pelbagai bahan bukti seperti tafsir Al-Quran, Injil Bahasa Melayu, komputer dan beberapa dokumen turut dirampas.
"Siasatan awal mendapati, ajaran itu dibawa dari negara jiran dan ia hanya disebarkan kepada kenalan rapat sebagai usaha awal.
"Kumpulan tersebut juga sedang giat merekrut ahli baru bagi memudahkan penyebaran dilakukan selain menarik perhatian orang awam," katanya.
Tambahnya, semua mereka tidak termasuk kanak-kanak ditahan mengikut Seksyen 4 dan 5 Enakmen Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.
Jelasnya, kanak-kanak yang berjaya diselamatkan ditempatkan dibawah jagaan Jawi.

No comments:

Post a Comment