Thursday, October 23, 2014

Kuala Sepetang Aman, Tak Dikawal Oleh 'Mafia' - Polis


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 1:54 PM
Pekan Kuala Sepetang. -Gambar fail

IPOH: Polis menafikan laporan bahawa Kuala Sepetang sedang ditakluki oleh kumpulan mafia.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata perkampungan kecil nelayan itu aman dan aktiviti jenayah bukanlah satu perkara yang membimbangkan.

"Kita tidak menafikan bahawa ada kegiatan jenayah seperti penyeludupan atau dadah di sana.

"Ia bagaimanapun, tidak seperti yang ditakuti dan dibimbangkan," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

"Saya tidak boleh menjanjikan jenayah sifar kerana akan ada aktiviti-aktiviti jenayah. Kita bagaimanapun akan menguruskannya," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada hari Ahad menerbitkan artikel mengenai kegiatan mafia yang dikatakan berleluasa di kawasan itu melibatkan pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga.

Dalam laporan tersebut, ia mendakwa pelbagai aktiviti jenayah berlaku di sana, termasuk penyeludupan, pengedaran dadah, perjudian, pencerobohan tanah kerajaan dan pencerobohan pendatang tanpa izin yang dikendalikan oleh sindiket berpengaruh.

Paramasivam berkata perkataan "mafia" terlalu keras dan akan menakutkan pelancong daripada berkunjung ke Kuala Sepetang.

"Sehingga hari ini, kami masih belum menerima apa-apa laporan daripada pelancong bahawa mereka terancam atau dirompak," katanya.

No comments:

Post a Comment