Wednesday, October 29, 2014

Tatu Tak Halang Kemasukan ATM - Rahim Bakri


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:32 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak dakwaan kononnya lukisan tatu di badan menjadi penghalang untuk golongan belia khususnya dari Sarawak menganggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, isu tatu yang menjadi tradisi masyarakat Bumiputera di Sarawak bukan antara kriteria pengambilan masuk ke pasukan keselamatan itu.

"Ramai calon perajurit muda yang dipilih sebagai tentera darat memiliki pelbagai tatu yang berunsurkan tradisi dan etnik.

"Tidak timbul dan tidak benar sama sekali bahawa isu pilih kasih atau menolak calon Bumiputera Sarawak yang bertatu semasa pemilihan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Wiliam Mawan Ikom (BN-Saratok) yang bertanya mengenai dakwaan kemasukan belia Dayak ditolak kerana memiliki tatu.

Bagaimanapun Abdul Rahim berkata, ATM tetap memandang serius jenis tatu terutamanya yang tidak menjurus atau lambang gejala atau aktiviti tidak sihat iaitu bukan tatu biasa yang berunsur tradisi etnik Bumiputera Sarawak.

"Justeru itu tidak timbul sebarang kesangsian bagi penyertaan rakyat Sarawak dalam ATM khususnya dalam perkhidmatan tentera darat.

"Sebagai contoh pada masa kini, penyertaan Bumiputera dari Sarawak menyumbang sebanyak 9.6 peratus kepada keseluruhan kekuatan tentera darat," katanya.

Tambah beliau, bagi setiap siri pengambilan, sebanyak 8.7 peratus perajurit muda adalah terdiri daripada bumiputera Sarawak.

Hujan Dorong Polis Buka Pagar Penghadang Untuk Penyokong Berteduh


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 3:26 PM
Pagar dibuka membolehkan penyokong-penyokong berteduh di bawah khemah ketika hujan.

PUTRAJAYA: Pihak polis menunjukkan sikap bertolak-ansur apabila membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di bawah khemah di hadapan Istana Kehakiman.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan permohonan oleh wakil kumpulan penyokong yang mahu pagar penghadang besi dibuka untuk mereka berteduh di khemah yang sudah sedia dipasang itu sekiranya hujan.

Razak berkata, khemah tersebut didirikan oleh pihak lain yang akan mengadakan acara betul-betul di hadapan Istana Kehakiman pada 8 dan 9 November ini.

"Khemah ini bukan kita yang pasang, tetapi kita mempertimbangkan permohonan mereka untuk berteduh sekiranya hujan," katanya.

Ketika hujan renyai-renyai Abd Razak bersetuju membuka pagar penghadang dan membenarkan penyokong masuk.

Pada masa yang sama, pihak polis dilihat lebih ketat membuat kawalan termasuklah kawalan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Sebaik pagar dibuka penyokong bersorak sambil berterima kasih kepada pihak polis.

Berdasarkan rundingan, penyokong bersetuju untuk kembali berada di luar pagar apabila hujan berhenti.

Sehingga kini, penyokong masih berada di bawah khemah.

Tukang Cucuk Sate Ditahan Hina Jokowi


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 9:33 AM

JAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang pemuda berusia 24 tahun Khamis lalu kerana menghina Presiden Jokowi di Facebook sejak Julai lalu.

Hanya dikenali sebagai MA, pemuda terbabit dikatakan terpengaruh dengan kehangatan persaingan pilihan raya presiden, Julai lalu.

Peguam MA, Irfan Fahmi berkata, pemuda terbabit terikut-ikut dengan suasana politik semasa.

Ketika itu MA menggunakan akaun Facebooknya untuk memuat naik beberapa kandungan menghina Jokowi.

"MA tidak tahu perbuatannya itu boleh menyebabkan dia dipenjara.

"Tambahan pula pekerjaannya hanya tukang cucuk sate di sekitar rumahnya di Ciracas, Jakarta Timur," katanya.

MA ditangkap pada awal pagi 23 Oktober lalu di rumahnya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Indonesia dan ditahan reman sehingga kini.

Dia kini berdepan pelbagai tuduhan, termasuk mencemar nama baik dan melanggar undang-undang pornografi.

Jika didapati bersalah, MA boleh dipenjara sehingga 10 tahun.

Sementara itu Irfan berkata, keluarga MA ingin bersemuka dengan Jokowi bagi meminta maaf secara langsung dan berharap kes berkenaan tidak dipanjangkan.

"Jika diberi keizinan, keluarga MA mahu bersimpuh di kaki Jokowi dan memohon pemuda terbabit dibenarkan pulang segera.

"Ketika saya temuinya tadi (Selasa), MA kelihatan begitu ketakutan," katanya.

Kes Liwat II: Anwar 'Lebih Berani', Muncul Di Luar Kompleks Mahkamah


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 9:57 AM
Anwar (kemeja putih) bersama Dr Wan Azizah dan anak perempuan mereka, Nurul Hana (tudung pink) dan Nurul Iman (tudung biru) di pekarangan Istana Kehakiman, Rabu.

PUTRAJAYA: Hari kedua prosiding rayuan terakhir kes liwat keduanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat 'lebih berani' apabila bertemu penyokongnya di bahagian luar kompleks mahkamah.

Beliau yang hadir ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.50 pagi.

Pada hari pertama pendengaran rayuan terakhirnya dalam kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, Anwar hanya melambai dari jauh kepada penyokongnya dari bahagian dalam kompleks mahkamah yang dipisahkan dengan penghadang besi.

Jarak bangunan mahkamah dengan penghadang besi yang dipasang adalah kira-kira 200 meter.

Nurul Iman setia bersama Anwar dan Dr Wan Azizah sebaik tiba di Istana Kehakiman.

Ini berbeza pada hari kedua apabila beliau dan ahli keluarga memilih untuk muncul di bahagian luar kompleks Mahkamah Persekutuan yang sesak dengan penyokong.

Nurul Nuha turut bersama pada hari kedua pendengaran rayuan kes liwat kedua Anwar.

Dalam keadaan sesak dan berasak-asak beliau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk bertemu dan bersalaman dengan para penyokongnya yang berarak dari Masjid Tuanku Mizan, ke kompleks mahkamah, di sini dari pukul 7 pagi.

Bagaimanapun, umumnya keadaan terkawal walaupun terdapat penyokong yang terjatuh ketika berasak-asak dalam kesesakan itu.

Sementara itu, seorang anggota keselamatan memberitahu, kawalan keselamatan pada Rabu diperketatkan berbanding hari sebelumnya.

Selain menambah keanggotaan, penghadang besi yang memisahkan kompleks mahkamah dengan penyokong juga dipasang pada jarak lebih jauh berbanding Selasa.

Dalam pendengaran rayuan terakhir Anwar ini, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan mengetuai barisan lima panel hakim.

Pasukan pendakwaan diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala pasukan pembelaan Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram bersama 13 peguam lain.

Walaupun pada asalnya prosiding ditetapkan berakhir pada Rabu, namun difahamkan ia mungkin akan dilanjutkan sehingga Khamis atau Jumaat.

Liwat 'Rancangan Diatur' - Hujah Peguam Bela


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 10:54 AM
Antara sepanduk yang dibawa orang ramai yang menunggu prosiding pendengaran rayuan terakhir kes liwat kedua Anwar di Istana Kehakiman.

PUTRAJAYA: Prosiding pendengaran rayuan pada hari kedua menyaksikan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan hujah mengenai isu rancangan 'yang telah diatur' atas tuduhan liwat.

N Surendran mengemukakan hujah itu di hadapan barisan Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Surendran juga mengemukakan hujah bahawa Mahkamah Rayuan dalam menyabitkan Anwar, telah gagal mengambil kira kenyataan Anwar dari kandang tertuduh.

Peguam bela ketua pembangkang itu juga menegaskan mahkamah juga tidak mempertimbangkan bukti lain yang dikemukakan.

Pasukan pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, manakala Anwar diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan melibatkan 14 peguam.

Pendengaran rayuan terakhir  Anwar di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.

Lelaki Gagal Dapat Hak Berbogel


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 2:58 PM
Gough hanya gemar memakai topi dan beg sandang besar sahaja, tanpa pakaian.

STRASBOURG (Perancis): Seorang lelaki yang menghabiskan masa tujuh tahun di dalam penjara kerana berbogel di khalayak ramai, kalah dalam tuntutannya mendapatkan hak untuk tidak perlu berpakaian.

Hakim Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang berpangkalan di Strasbourg berkata, Stephen Gough mesti menghormati perasaan orang lain yang tidak bersetuju dengan keinginannya itu.

Gough yang digelar "Perewang Bogel" mengemukakan tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan hak mengenakan hanya topi dan beg sandang besar ketika berada di tempat awam.

Sebelum ini dia pernah disabitkan dengan 30 kesalahan mengganggu ketenteraman awam serta jenayah berkaitan kegemarannya berbogel.

Kata Gough, undang-undang Eropah menghormati kehidupan peribadi rakyatnya, selain mengiktiraf hak kebebasan bersuara.

Dengan undang-undang itu, kata Gough, dia berhak untuk berbogel pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Namun hakim berpendapat, peruntukan undang-undang itu tidak diguna pakai terhadap kelakuan antisosial berulang.

"Gough mempunyai banyak cara lain untuk menyatakan pendapat," katanya.

Kahwin Dengan 'China Doll' Punca Anak Sukar Didaftar


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 3:22 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 'perkahwinan sementara' individu bukan Islam dengan 'China doll' adalah antara punca anak-anak yang dilahirkan sukar diberi taraf warganegara Malaysia.
Beliau berkata selain itu, perkahwinan pasangan Islam di luar negara, yang tidak didaftarkan selepas kembali ke Malaysia, juga menyumbang kepada isu berkenaan.
"Ini masalah yang banyak datang kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kita melihat masalah ini secara satu per satu dan saya mohon supaya kesedaraan keagamaan, dan patuh kepada undang-undang diberi keutamaan supaya anak-anak tidak dimangsakan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Alice Liau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mengenai bagaimana kerajaan menangani masalah kanak-kanak tanps bernegara khususnya di Sabah dan Sarawak.
Ahmad Zahid berkata JPN mempunyai unit bergerak yang sentiasa bersedia untuk turun padang dan membantu urusan permohonan kewarganegaraan untuk kanak-kanak berkenaan.
Terdahulu, beliau menjelaskan bukan semua kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dianugerahkan taraf warganegara Malaysia secara automatik kerana ia bergantung kepada status perkahwinan dan kewarganegaraan ibu bapa.
Bagaimanapun, individu di bawah usia 21 tahun yang dijadikan anak angkat termasuk mereka yang memiliki taraf pemastautin tetap boleh memohon kewarganegaraan Malaysia.
"Penganugerahan warganegara adalah anugerah tertinggi terhadap seseorang individu dan tidak diberi sewenang-wenangnya. Kita akan buat pertimbangan dan penelitian terperinci, dan hanya akan beri kepada individu yang benar-benar layak," jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata seramai 23,628 orang telah dilucut kewarganegaraan Malaysia sejak 1957 hingga kini.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai masalah kanak-kanak tanpa bernegara di Sabah, Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah akan mengemukakan laporan siasatannya tidak lama lagi.
"RCI telah tamatkan kerja-kerja siasatan. Penyelesaian masalah ini ada terdapat dalam laporan. Jika persoalan itu tidak dipolitikkan, masalah boleh diselesaikan," katanya. 

Pagar Cuba Dirempuh, Anggota Polis Dibaling Telur


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 2:53 PM
Anggota polis menghalang penyokong-penyokong Anwar yang cuba merempuh pagar penghalang.

PUTRAJAYA: Berlaku kekecohan di luar Istana Kehakiman, di sini, apabila sekumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh besi penghadang yang dipasang pihak berkuasa.

Kekecohan berlaku kira-kira 10 minit sebelum prosiding hari kedua yang berhenti rehat disambung semula pada pukul 2.30 petang Selasa.

Ia bermula apabila kumpulan terbabit memukul poster Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan kasut beramai-ramai sebagai tanda protes.

Tidak lama kemudian beberapa lelaki daripada kumpulan terbabit meluru ke arah penghadang besi yang dikawal pasukan keselamatan dari bahagian dalam dan cuba merempuhnya.

Salah seorang daripada mereka mendakwa terdapat anggota polis yang bertindak menendang salah seorang ahli daripada kumpulan penyokong itu dan menuntut supaya anggota polis memohon maaf.

Sedang anggota keselamatan mengawal rempuhan, salah seorang anggota polis terkena telur yang dibaling dari arah belakang.

Kekecohan tersebut akhirnya dileraikan oleh anggota parti yang lain.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit juga bertindak membakar poster Mohd Saiful.

Liwat II: Rayuan terakhir masuk hari kedua


Anwar Ibrahim - Foto AFP
Anwar Ibrahim - Foto AFP
PUTRAJAYA - Pendengaran hari kedua rayuan terakhir kes liwat II melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula jam 9.40 pagi dan disambung dengan hujahan peguam bela, N Surendran.

Selepas itu, dijangka Ram Karpal akan mengemukan hujahan berkenaan dengan isu asid deoksiribonukleik (DNA) di hadapan lima Panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.

Empat hakim yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Himpunan: Hari kedua tambah gamat



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
PUTRAJAYA - Perhimpunan penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut pembebasan beliau bertambah rancak apabila masuk hari kedua.

Hasil tinjauan Sinar Harian Online mendapati, lebih ramai penyokong berbaju hitam hadir ke pekarangan kompleks Istana Kehakiman sebelum jam 9 pagi lagi.

Menggunakan kenderaan pacuan empat roda, seorang demi seorang pemimpin memanjat naik ke bahagian belakang kenderaan untuk memberi ucapan semangat kepada para penyokong yang hadir.

Antara slogan yang dijeritkan oleh pemimpin dan penyokong suami kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini termasuk 'Reformasi', 'Hancur BN', dan 'Hidup Rakyat'.

Sementara itu, pihak polis mengetatkan kawalan seperti biasa.

Setakat ini, himpunan dilihat berjalan lancar tanpa sebarang pergaduhan antara penyokong dan pihak berkuasa.

Liwat II: Peguam Anwar pertikai analisis DNA

Foto AFP
Foto AFP
PUTRAJAYA - Perbicaraan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung hari ini dengan peguam-peguam pembelaan terus mengemukakan penghujahan mengapa Mahkamah Persekutuan harus membatalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadap Penasihat PKR itu.
Selepas penghujahan panjang lebar oleh peguam utama Datuk Seri Gopal Sri Ram semalam, tiga peguam lain pembelaan menyatakan mereka memerlukan sepanjang hari ini untuk membuat penghujahan mereka.
Peguam N.Surendran meneruskan penghujahannya di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Ia diikuti peguam Sangeet Kaur Deo yang akan berhujah mengenai sampel yang diambil daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman di  Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur susulan laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai dakwaan kejadian itu.
Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh mungkin berhujah dengan terperinci mengenai analisis DNA di mana beliau akan mempertikaikan integriti sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan pula  dijangka membuat penghujahannya esok, dan prosiding rayuan kes liwat Anwar mungkin berlanjutan sehingga Jumaat.
Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penhujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.
Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar atas kesalahan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.
Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel itu boleh terjejas sebelum ia tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan itu terkhilaf  apabila meragui integriti sampel berdasarkan keterangan dua pakar saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu yang didakwa  dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.40 petang pada 26 Jun 2008.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ini kes liwat kedua terhadap Anwar.
Dalam kes pertama, Anwar didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.
Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah setelah disabitkan terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.
Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.
Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya, ketiga-tiga hakim itu bersetuju bahawa berlakunya aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar,Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. - Bernama

Azmin paling layak ganti Anwar


Dari kiri: Azmin Ali dan Anwar Ibrahim.
Dari kiri: Azmin Ali dan Anwar Ibrahim.
SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali individu paling layak mengemudi parti itu jika Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan berkata, parti yang diasaskan pada 1999 itu sudah miliki 'nyawa sendiri' meskipun tanpa Anwar.

“Kita tahu Presiden PKR adalah Datuk Seri Wan Azizah, tapi beliau bukanlah pengemudi PKR. Wan Azizah tidak lagi relevan kerana beliau tidak mempunyai kebolehan memimpin. Beban itu akan jatuh ke bahu Azmin yang mengisi posisi timbalan presiden,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jayum yang juga Timbalan Dekan Pengajian Siswazah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Azmin paling sesuai untuk memimpin PKR meskipun belum memiliki aura seperti Anwar yang dilihat sebagai pengikat dalam gabungan PR.

Bagaimanapun katanya, inilah masa untuk Azmin buktikan kemampuan dan potensi kepada pimpinan PR dan juga rakyat.

"Beliau dinasihatkan menghulur tangan kepada pimpinan tertinggi dalam PKR seperti Saifuddin  Nasution Ismail, Rafizi Ramli dan beberapa lagi. Dengan cara ini, beliau akan memimpin dengan tenang. Dalam masa sama, Azmin perlu pastikan kerjasama dengan Pas dan DAP sentiasa positif,” katanya.

Azmin nafi Pas tak sokong Anwar


azmin ali
PUTRAJAYA - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan pemimpin dan penyokong Pas tidak tunjuk sokongan terhadap perbicaraan kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, mereka tetap sokong walaupun kehadiran mereka di hadapan bangunan Istana Kehakiman semalam tidak seramai yang dijangka.

“Malam tadi, mereka turut berada dalam sesi ceramah di Kelana Jaya dan Universiti Malaya,” katanya kepada media ketika hadir di Istana Kehakiman di sini, semalam.

Dalam perhimpunan semalam, hanya kira-kira 150 orang hadir memberikan sokongan kepada Anwar dalam himpunan yang dijangka sebagai himpunan reformasi terbesar kedua selepas 1998.

Namun, tidak ramai pemimpin dan penyokong Pas yang kelihatan.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor,  mendakwa, penutupan laluan di sekitar Istana Kehakiman oleh pihak berkuasa juga menyebabkan penyokong tidak dapat hadir.

Beliau, bagaimanapun, menjangkakan lebih ramai akan hadir pada hari keputusan penghakiman hari ini.

“Saya pasti lebih ramai akan hadir menyatakan sokongan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan tuduhan yang dikenakan terhadap Anwar merupakan konspirasi politik.

“Ini adalah konspirasi politik. Kerja fitnah seperti ini perlu dihentikan segera,” katanya.

'Tuduhan liwat ke atas Anwar satu konspirasi'


'Tuduhan liwat ke atas Anwar satu konspirasi'
PUTRAJAYA - Para peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pertuduhan liwat terhadap anak guam mereka adalah satu konspirasi.
  
Peguam Anwar, N. Surendran memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang Anwar telah didakwa meliwat, mengadakan pertemuan dengan beberapa orang, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum insiden liwat yang didakwa itu.
  
Beliau berkata pertemuan berlangsung antara 24 Jun, 2008, dua hari sebelum insiden, dan 28 Jun 2008, apabila Mohd Saiful akhirnya membuat laporan polis.
   
Surendran berkata Mohd Saiful telah mengaku semasa pemeriksaan balas bahawa dia telah bertemu dengan Najib, yang pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri, di kediaman Najib dan pada 24 Jun 2008 dan bahawa pada hari yang sama, beliau juga telah bertemu pegawai khas Najib Khairil Anas Yusof di rumahnya (Khairil Anas).
   
"Selepas itu beliau telah bertemu pegawai kanan polis Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 25 Jun. Mohd Saiful juga telah menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hasan sebelum membuat laporan," kata Surendran.
   
Beliau memberitahu mahkamah bahawa Mohd Saiful juga pernah bertemu bapa saudaranya dikenali sebagai "Tuah" sebelum bertemu Senator Mohd Ezam Mohd Noor dan orang yang terakhir dia bertemu adalah bekas pelari pecut Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar.

Surendran menegaskan ia adalah kemungkinan bahawa insiden yang didakwa berlaku direka-reka Mohd Saiful dan orang-orang yang ditemui beliau antara 24 Jun hingga Jun 28.
   
"Kewujudan rancangan yang diatur melibatkan Najib dan lain-lain telah dibangkitkan oleh Anwar dalam satu kenyataan dari kandang tertuduh tetapi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal memberikan pertimbangan ini dalam keputusan mereka," katanya.
   
Surendran bersetuju bahawa malah melalui satu kenyataan dari kandang tertuduh juga kurang pertimbangannya berbanding keterangan bersumpah, mahkamah sepatutnya memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas aduan oleh perayu (Anwar).

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim mendengar rayuan itu, mengingatkan Surendran supaya menunjukkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyokong hujahnya berkaitan dengan kenyataan dari kandang tertuduh.
   
"Anda seharusnya menurut apa yang peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram (dalam pasukan pembelaan Anwar) telah lakukan, apabila dia mengemukakannya, dia menunjukkan undang-undang kes," katanya.

Sebelum itu, dalam isu alibi, Sri Ram berhujah bahawa sebelum perbicaraan itu, Anwar telah memberikan notis mengenai alibi itu kepada pihak pendakwaan namun memutuskan untuk tidak meneruskannya apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal untuk memberikannya pertimbangan apabila anak guamnya mengeluarkan kenyataan dari kandang tertuduh.
  
Anwar menjelaskan kenapa beliau berbuat demikian dalam kenyataan dari kandang tertuduh, namun pihak pendakwaan menggunakan kenyataan itu terhadap perayu apabila merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang melepaskan Anwar selepas kes pembelaan.
  
"Notis alibi ini tidak diteruskan namun ia tidak boleh digunakan ke atas perayu. Mahkamah tertinggi perlu campur tangan apabila dengan jelas wujud arah yang salah," kata Sri Ram.
  
Beliau memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa pemilik kondominium, hanya dikenali sebagai Hasanuddin, disoal siasat hampir 30 jam dan ia telah dirakamkan melalui video.
  
Ahli perniagaan itu mempunyai dua unit berdekatan satu sama lain di kondominium Desa Damansara, di mana alibi Anwar adalah beliau bukan berada di unit lain semasa insiden yang didakwa itu berlaku.

Sri Ram juga berkata walaupun Anwar berada di kondominium itu semasa tarikh dan masa yang didakwa itu, namun ia tidak bermakna insiden yang didakwa itu telah berlaku.
  
Dalam perkembangan berkaitan, prosiding yang ditetapkan untuk hari ini dan esok, berkemungkinan berterusan sehingga Khamis memandangkan dua lagi peguam pasukan pembelaan, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, akan mengemukakan analisis lanjut mengenai DNA yang menjadi isu utama kes ini.
  
Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan, membayangkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk menjawab.
  
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Pihak berkuasa AS digesa tidak prejudis


29 Oktober 2014


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Pengarah Institut Demokrasi di Amerika Syarikat (AS), Patrick Basham menegaskan pihak berkuasa perlu menjalinkan hubungan lebih baik dengan orang Islam di negara itu.

Basham berpendapat mereka juga wajar membina hubungan lebih kukuh dengan masyarakat Islam di AS terutamanya pihak masjid.

"Majoriti orang Islam di kebanyakan negara termasuk AS adalah warga yang baik, produktif dan konstruktif," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa AS terlalu bersikap prejudis hingga sanggup melakukan pengintipan tanpa sebab yang sememangnya mencabuli hak orang Islam.   

Pada 2012, Jabatan Polis New York (NYPD) pernah dikritik kerana menghantar agen rahsia untuk memantau aktiviti pelajar dan orang Islam di bandar terbabit. - Press TV

Garis panduan baharu bendung Ebola


Virus Ebola
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang berpusat di Amerika Syarikat mengeluarkan garis panduan baharu menggesa pemantauan aktif dilakukan segera terhadap mana-mana individu yang kembali dari negara Afrika Barat.

Di bawah langkah itu, individu berisiko tinggi termasuk pekerja kesihatan yang mempunyai hubungan secara terus dengan penghidap Ebola perlu menjalani pemeriksaan suhu tubuh selama 21 hari.

Difahamkan, laporan dipetik dari AFP, garis panduan tersebut dikeluarkan selepas jururawat, Kaci Hickox di New Jersey membantah tindakan pihak berkuasa mengenakan kuarantin ke atasnya sejurus dia kembali dari Afrika Barat, Jumaat lalu.

China bina lapangan terbang di Antartika


Stesen Penyelidikan Zhongshan di Antartika.
Stesen Penyelidikan Zhongshan di Antartika.
BEIJING - CHINA. Kerajaan China merancang untuk membina sebuah lapangan terbang di Antartika bagi membantu empat stesen penyelidikan negara di benua itu, menurut media, semalam.

Beijing Evening News melaporkan, lapangan terbang berkenaan bakal dibina berhampiran Stesen Zhongshan Antartika yang terletak di Larsemann Hills di Prydz Bay, di Timur Antartika.

"Penyelidik perlu bergantung kepada pengangkutan maritim, di mana ia akan mempengaruhi keupayaan eksplorasi saintifik,"menurut laporan itu.

Difahamkan, laporan dipetik dari Press TV, kapal pemecah ais China’s Xue Long atau naga salji dijadual berlepas dari Shanghai esok untuk sebuah ekspedisi ke Antartika.

Jangan Heret Negara Ke Dalam Masalah Anda, Kata Khairy Kepada Anwar


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 4:52 PM
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Perbicaraan kes liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kes perbicaraan terhadap individu dan bukannya negara, kerajaan dan sistem kehakiman, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Mungkin apa yang saya tulis ini perkara yang jelas, tetapi kalau kita dengar propaganda dari pihak Anwar, beliau cuba memberi gambaran bahawa perbicaraan ini adalah satu isu nasional dimana yang dihakimkan bukan beliau tetapi negara dan institusi kerajaan negara," katanya di laman sosial Facebook pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah memaksa Anwar untuk melakukan kesalahan yang didakwa terhadapnya. (meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.)
"Jadi teruskan rayuan anda tetapi jangan heret negara bersama anda," katanya.

Khairy berkata, Anwar seolah-olah yakin dalam sistem kehakiman apabila timbul kes saman malu dan memenangi beberapa kes tersebut.

"Ia sama sahaja, Anwar. Anda tidak boleh hanya menerima keputusan yang memihak kepada anda. Anda tidak boleh bersikap double standard dalam cara anda menerima keputusan dari mahkamah di negara ini," katanya.

Anwar pada Selasa menghadiri prosiding rayuan terakhir untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai barisan lima panel hakim yang akan mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat keduanya, bermula Selasa.
Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Selain itu, pasukan pendakwa pula diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ketua pembangkang itu pula akan diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketuai pasukan peguambela melibatkan 14 peguam.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Polis Mohon Bantuan Interpol Tahan Pemilik Blog, Aktivis


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 5:15 PM
Alvin Tan (tengah) didakwa melarikan diri ke Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR: Polis meminta bantuan daripada Interpol untuk menahan dua warga Malaysia yang memohon suaka politik di Amerika Syarikat dan Sweden.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Bukit Aman telah menulis permohonan rasmi kepada organisasi polis antarabangsa berpangkalan di Lyon, Perancis untuk mengesan dan menahan pemilik blog kontroversi Alvin Tan dan aktivis Ali Abd Jalil.
"Jadi buat masa ini kita perlu tunggu. Kita telah memohon untuk mendapatkan notis merah melalui Interpol," katanya kepada pemberita selepas melancarkan seminar ketua polis di Cheras.

Tan yang melarikan diri untuk mengelak dari didakwa, memohon untuk mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat.

Dia mendakwa berada di California.

Tan, 26, dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee, 25, didakwa atas  tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah di laman sosial Facebook mengemukakan permohonan tersebut Jumaat lepas.
Sementara itu, Ali yang kini berdepan tuduhan hasutan kerana didakwa menghina institusi raja, kini mencari suaka politik di Sweden.
Dalam Facebooknya, Ali berkata dia kini memohon untuk mendapatkan suaka politik di Sweden selepas mendakwa tidak mendapat layanan adil daripada pihak berkuasa Malaysia.

Tuduhan Liwat Ke Atas Anwar Satu Konspirasi - Peguam Bela


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 11:43 PM

Anwar meninggalkan mahkamah selepas tamat sesi pendengaran rayuan kes liwatnya pada Selasa.

PUTRAJAYA: Para peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mendakwa pertuduhan liwat terhadap anak guam mereka adalah satu konspirasi.

Peguam Anwar, N. Surendran memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang Anwar telah didakwa meliwat, mengadakan pertemuan dengan beberapa orang, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum insiden liwat yang didakwa itu.

Beliau berkata pertemuan berlangsung antara 24 Jun, 2008, dua hari sebelum insiden, dan 28 Jun 2008, apabila Mohd Saiful akhirnya membuat laporan polis. 

Surendran berkata Mohd Saiful telah mengaku semasa pemeriksaan balas bahawa dia telah bertemu dengan Najib, yang pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri, di kediaman Najib dan pada 24 Jun 2008 dan bahawa pada hari yang sama, beliau juga telah bertemu pegawai khas Najib Khairil Anas Yusof di rumahnya (Khairil Anas). 
"Selepas itu beliau telah bertemu pegawai kanan polis Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 25 Jun, Mohd Saiful juga telah menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hasan sebelum membuat laporan," kata Surendran. 

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Mohd Saiful juga pernah bertemu bapa saudaranya dikenali sebagai "Tuah" sebelum bertemu Senator Mohd Ezam Mohd Noor dan orang yang terakhir dia bertemu adalah bekas pelari pecut Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar.

Surendran menegaskan ia adalah kemungkinan bahawa insiden yang didakwa berlaku direka-reka Mohd Saiful dan orang-orang yang ditemui beliau antara 24 Jun hingga Jun 28. 

"Kewujudan rancangan yang diatur melibatkan Najib dan lain-lain telah dibangkitkan oleh Anwar dalam satu kenyataan dari kandang tertuduh tetapi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal memberikan pertimbangan ini dalam keputusan mereka," katanya. 

Surendran bersetuju bahawa malah melalui satu kenyataan dari kandang tertuduh juga kurang pertimbangannya berbanding keterangan bersumpah, mahkamah sepatutnya memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas aduan oleh perayu (Anwar).

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim mendengar rayuan itu, mengingatkan Surendran supaya menunjukkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyokong hujahnya berkaitan dengan kenyataan dari kandang tertuduh. 

"Anda seharusnya menurut apa yang peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram (dalam pasukan pembelaan Anwar) telah lakukan, apabila dia mengemukakannya, dia menunjukkan undang-undang kes," katanya.

Sebelum itu, dalam isu alibi, Sri Ram berhujah bahawa sebelum perbicaraan itu, Anwar telah memberikan notis mengenai alibi itu kepada pihak pendakwaan namun memutuskan untuk tidak meneruskannya apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal untuk memberikannya pertimbangan apabila anak guamnya mengeluarkan kenyataan dari kandang tertuduh.

Anwar menjelaskan kenapa beliau berbuat demikian dalam kenyataan dari kandang tertuduh, namun pihak pendakwaan menggunakan kenyataan itu terhadap perayu apabila merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang melepaskan Anwar selepas kes pembelaan.

"Notis alibi ini tidak diteruskan namun ia tidak boleh digunakan ke atas perayu. Mahkamah tertinggi perlu campur tangan apabila dengan jelas wujud arah yang salah," kata Sri Ram.

Beliau memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa pemilik kndominium, hanya dikenali sebagai Hasanuddin, disoal siasat hampir 30 jam dan ia telah dirakamkan melalui video.

Ahli perniagaan itu mempunyai dua unit berdekatan satu sama lain di kondominium Desa Damansara, di mana alibi Anwar adalah beliau bukan berada di unit lain semasa insiden yang didakwa itu berlaku.

Sri Ram juga berkata walaupun Anwar berada di kondominium itu semasa tarikh dan masa yang didakwa itu, namun ia tidak bermakna insiden yang didakwa itu telah berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, prosiding yang ditetapkan untuk hari ini (Selasa) dan esok (Rabu), berkemungkinan berterusan sehingga Khamis memandangkan dua lagi peguam pasukan pembelaan, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, akan mengemukakan analisis lanjut mengenai DNA yang menjadi isu utama kes ini.

Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan, membayangkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk menjawab.

Perbicaraan bersambung pada Rabu.

Tulang dinosaur ditemui di Hulu Terengganu


KUALA TERENGGANU 28 Okt. – Dunia penyelidikan geologi di negara ini mencatatkan suatu perkembangan bersejarah dengan penemuan fosil tulang dan bekas tapak kaki dinosaur di satu kawasan pergunungan yang diselaputi hutan tebal di Hulu Terengganu minggu lalu.
Bagaimanapun hasil ekspedisi kumpulan penyelidik Jabatan Mineral dan Geosains bersama wakil dari beberapa institusi pengajian tinggi tempatan itu masih belum didedahkan kepada umum agar kerja-kerja penyelidikan tidak terganggu atau diceroboh.
Utusan Malaysia difahamkan, kajian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti spesies haiwan yang lenyap beratus juta tahun lalu.
Menurut sumber, penemuan cukup bermakna berkenaan membuka dimensi baharu dalam dunia penyelidikan yang tentunya amat menggembirakan para saintis terutama ahli-ahli kaji bumi setelah pencarian sekian lama bagi mengesahkan bumi Semenanjung ini pernah dihuni haiwan berkenaan.
Pun begitu sumber itu enggan mendedahkan bentuk fosil dan sama ada dalam skala yang besar atau lebih lengkap berbanding hanya sebatang gigi yang ditemui oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Malaya dan dua buah universiti di Jepun pada 2013 di Pahang.
“Tetapi ini suatu penemuan bersejarah dan memberi impak yang besar dalam dunia penyelidikan tentang bumi kita, untuk penerokaan lebih luas terhadap proses alam masa lampau yang membawa perubahan kepada masa kini dan akan datang,” ujarnya ketika dihubungi di sini.
Beberapa dekad lalu, dunia penyelidikan dinosaur pernah digemparkan dengan penemuan fosil dinosaur terbesar berusia 150 juta tahun di Khon Kaen, Thailand dalam bentuk tulang femur kiri.
Lokasi Khon Kaen yang mempunyai batuan berusia Jura Kapur mempunyai persamaan dengan Gunung Panti di Johor dan Gunung Gagau yang merupakan titik sempadan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Di negara ini, fosil gigi peninggalan dinosaur dari spesies spinosaurid (semi akuatik), merupakan peninggalan pertama hidupan yang ditemui di satu kawasan hutan yang dirahsiakan.
Awal tahun ini, Jabatan Mineral dan Geosains mendedahkan penemuan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 dan 340 juta tahun berhampiran kawasan projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut yang membawa kemungkinan kewujudan haiwan berkenaan.
Kejayaan itu terus memberi rangsangan kepada ahli kaji bumi untuk melakukan usaha pencarian kerana negara ini mempunyai beberapa tempat batuan berusia Jura Kapur antara 65 juta dan 203 juta tahun yang sesuai untuk haiwan itu hidup di sini.
Sejak 1974, ekspedisi kajian di beberapa kawasan di Semenanjung bagi mencari sumber warisan geologi dijalankan termasuk di Sungai Cincin di negeri ini, namun hanya menemui fosil flora dan fauna.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tulang-dinosaur-ditemui-di-hulu-terengganu-1.18059#sthash.8xS0KOMt.dpuf