Wednesday, October 29, 2014

Hujan Dorong Polis Buka Pagar Penghadang Untuk Penyokong Berteduh


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 3:26 PM
Pagar dibuka membolehkan penyokong-penyokong berteduh di bawah khemah ketika hujan.

PUTRAJAYA: Pihak polis menunjukkan sikap bertolak-ansur apabila membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di bawah khemah di hadapan Istana Kehakiman.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan permohonan oleh wakil kumpulan penyokong yang mahu pagar penghadang besi dibuka untuk mereka berteduh di khemah yang sudah sedia dipasang itu sekiranya hujan.

Razak berkata, khemah tersebut didirikan oleh pihak lain yang akan mengadakan acara betul-betul di hadapan Istana Kehakiman pada 8 dan 9 November ini.

"Khemah ini bukan kita yang pasang, tetapi kita mempertimbangkan permohonan mereka untuk berteduh sekiranya hujan," katanya.

Ketika hujan renyai-renyai Abd Razak bersetuju membuka pagar penghadang dan membenarkan penyokong masuk.

Pada masa yang sama, pihak polis dilihat lebih ketat membuat kawalan termasuklah kawalan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Sebaik pagar dibuka penyokong bersorak sambil berterima kasih kepada pihak polis.

Berdasarkan rundingan, penyokong bersetuju untuk kembali berada di luar pagar apabila hujan berhenti.

Sehingga kini, penyokong masih berada di bawah khemah.

No comments:

Post a Comment