Wednesday, October 29, 2014

Tatu Tak Halang Kemasukan ATM - Rahim Bakri


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:32 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak dakwaan kononnya lukisan tatu di badan menjadi penghalang untuk golongan belia khususnya dari Sarawak menganggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, isu tatu yang menjadi tradisi masyarakat Bumiputera di Sarawak bukan antara kriteria pengambilan masuk ke pasukan keselamatan itu.

"Ramai calon perajurit muda yang dipilih sebagai tentera darat memiliki pelbagai tatu yang berunsurkan tradisi dan etnik.

"Tidak timbul dan tidak benar sama sekali bahawa isu pilih kasih atau menolak calon Bumiputera Sarawak yang bertatu semasa pemilihan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Wiliam Mawan Ikom (BN-Saratok) yang bertanya mengenai dakwaan kemasukan belia Dayak ditolak kerana memiliki tatu.

Bagaimanapun Abdul Rahim berkata, ATM tetap memandang serius jenis tatu terutamanya yang tidak menjurus atau lambang gejala atau aktiviti tidak sihat iaitu bukan tatu biasa yang berunsur tradisi etnik Bumiputera Sarawak.

"Justeru itu tidak timbul sebarang kesangsian bagi penyertaan rakyat Sarawak dalam ATM khususnya dalam perkhidmatan tentera darat.

"Sebagai contoh pada masa kini, penyertaan Bumiputera dari Sarawak menyumbang sebanyak 9.6 peratus kepada keseluruhan kekuatan tentera darat," katanya.

Tambah beliau, bagi setiap siri pengambilan, sebanyak 8.7 peratus perajurit muda adalah terdiri daripada bumiputera Sarawak.

No comments:

Post a Comment