Wednesday, October 29, 2014

Kes Liwat II: Anwar 'Lebih Berani', Muncul Di Luar Kompleks Mahkamah


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 9:57 AM
Anwar (kemeja putih) bersama Dr Wan Azizah dan anak perempuan mereka, Nurul Hana (tudung pink) dan Nurul Iman (tudung biru) di pekarangan Istana Kehakiman, Rabu.

PUTRAJAYA: Hari kedua prosiding rayuan terakhir kes liwat keduanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat 'lebih berani' apabila bertemu penyokongnya di bahagian luar kompleks mahkamah.

Beliau yang hadir ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.50 pagi.

Pada hari pertama pendengaran rayuan terakhirnya dalam kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, Anwar hanya melambai dari jauh kepada penyokongnya dari bahagian dalam kompleks mahkamah yang dipisahkan dengan penghadang besi.

Jarak bangunan mahkamah dengan penghadang besi yang dipasang adalah kira-kira 200 meter.

Nurul Iman setia bersama Anwar dan Dr Wan Azizah sebaik tiba di Istana Kehakiman.

Ini berbeza pada hari kedua apabila beliau dan ahli keluarga memilih untuk muncul di bahagian luar kompleks Mahkamah Persekutuan yang sesak dengan penyokong.

Nurul Nuha turut bersama pada hari kedua pendengaran rayuan kes liwat kedua Anwar.

Dalam keadaan sesak dan berasak-asak beliau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk bertemu dan bersalaman dengan para penyokongnya yang berarak dari Masjid Tuanku Mizan, ke kompleks mahkamah, di sini dari pukul 7 pagi.

Bagaimanapun, umumnya keadaan terkawal walaupun terdapat penyokong yang terjatuh ketika berasak-asak dalam kesesakan itu.

Sementara itu, seorang anggota keselamatan memberitahu, kawalan keselamatan pada Rabu diperketatkan berbanding hari sebelumnya.

Selain menambah keanggotaan, penghadang besi yang memisahkan kompleks mahkamah dengan penyokong juga dipasang pada jarak lebih jauh berbanding Selasa.

Dalam pendengaran rayuan terakhir Anwar ini, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan mengetuai barisan lima panel hakim.

Pasukan pendakwaan diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala pasukan pembelaan Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram bersama 13 peguam lain.

Walaupun pada asalnya prosiding ditetapkan berakhir pada Rabu, namun difahamkan ia mungkin akan dilanjutkan sehingga Khamis atau Jumaat.

No comments:

Post a Comment