azmin ali
PUTRAJAYA - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan pemimpin dan penyokong Pas tidak tunjuk sokongan terhadap perbicaraan kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, mereka tetap sokong walaupun kehadiran mereka di hadapan bangunan Istana Kehakiman semalam tidak seramai yang dijangka.

“Malam tadi, mereka turut berada dalam sesi ceramah di Kelana Jaya dan Universiti Malaya,” katanya kepada media ketika hadir di Istana Kehakiman di sini, semalam.

Dalam perhimpunan semalam, hanya kira-kira 150 orang hadir memberikan sokongan kepada Anwar dalam himpunan yang dijangka sebagai himpunan reformasi terbesar kedua selepas 1998.

Namun, tidak ramai pemimpin dan penyokong Pas yang kelihatan.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor,  mendakwa, penutupan laluan di sekitar Istana Kehakiman oleh pihak berkuasa juga menyebabkan penyokong tidak dapat hadir.

Beliau, bagaimanapun, menjangkakan lebih ramai akan hadir pada hari keputusan penghakiman hari ini.

“Saya pasti lebih ramai akan hadir menyatakan sokongan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan tuduhan yang dikenakan terhadap Anwar merupakan konspirasi politik.

“Ini adalah konspirasi politik. Kerja fitnah seperti ini perlu dihentikan segera,” katanya.