SEMALAM, 3 April, genap setahun Datuk Seri Najib Tun Razak menduduki kerusi No 1 negara. Kerusi paling penting, juga paling panas. Tanpa hadiah, tanpa kalungan bunga, juga tanpa kad, terimalah ucapan tahniah – ikhlas dari lubuk hati saya.
Saya masih ingat, hanya beberapa jam setelah diisytiharkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, beliau telah memanggil semua bos media cetak dan elektronik ke kediaman lama beliau di Bukit Tunku. Banyak yang dicakapkan ketika minum petang itu. Ada dua perkara yang menarik perhatian saya:
Pertama, janjinya untuk menjalin hubungan mesra dengan media. Beliau membuktikan kata-katanya pada hari itu juga, iaitu dengan menarik balik tindakan KDN menggantung permit penerbitan Harakah (lidah rasmi Pas), dan Suara Keadilan (akhbar PKR).
Dari semasa ke semasa - mula-mula dulu setiap awal bulan – beliau memanggil ketua-ketua pengarang dan editor kanan. Bukan untuk memberi amaran, tetapi untuk meminta pandangan berhubung satu-satu isu.
Setakat ini, sudah 12 bulan menerajui kerajaan, belum ada satu pun permit akhbar kena ditarik. Tidak ada akhbar digantung. Tidak ada editor ditangkap. Beliau terus mengamalkan sikap ‘mesra media’, tidak kira media yang mengampu atau yang mengutuk kerajaan. Sekali lagi, syabas Datuk Seri!
PERKARA kedua yang menarik perhatian saya pada majlis minum petang setahun lalu ialah PM tidak mahu gambarnya- juga gambar menteri-menteri lain-dijadikan poster dalam mana-mana promosi, baik anjuran kerajaan mahupun swasta.
Beliau sebut perkara itu sebab memang menjadi perkara biasa ketika itu gambar pemimpin dijadikan poster untuk kononnya menarik perhatian rakyat. Kalau ada majlis makan ikan, pasang gambar ‘menteri ikan’ besar-besaran.
Hendak rasmi mesyuarat pakai gambar menteri. Jual barang pun buat poster menteri. Maka, gambar menteri, juga PM, digantung dan ditampal hampir di mana sahaja, termasuk berhampiran tandas awam, dan kawasan perkuburan.
“Jangan guna gambar saya untuk acara-acara macam itu, buat habis duit,” demikian kata PM ketika itu. Dan, memang awal-awal dulu kita jarang nampak gambar beliau. Najib mungkin PM yang paling kurang gambar dan poster.
Tetapi, akhir-akhir ini kita mula lihat sepanduk, poster dan ‘bunting’ dengan gambar PM. Penganjur – tidak kira politik atau bukan politik – mula memasang gambar beliau. Mungkin mereka tidak tahu apa yang PM mahu dulu. Atau, mungkin juga mereka terlebih mengampu.
PADA hari ketiga menjadi PM, 5 April, beliau melancarkan kempen ‘1Malaysia’, dengan slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Kempen dan slogan seperti ini memang biasa setiap kali kita ada PM baru. Kalau saya pun jadi PM, saya akan cipta ‘jenama’ sendiri.
Dan, seperti yang biasa terjadi pada PM-PM sebelum ini, kemunculan ‘branding’ baru akan mencetuskan berbagai-bagai reaksi. Ada yang tidak setuju dan sinis. Sehari dua ini ada pihak mempertikai ‘1Malaysia’ dan mengaitkan dengan ‘One Israel’.
Memang, bagi yang tidak setuju ada sahaja modal untuk memperlekeh ‘1Malaysia’. Selain dikaitkan dengan Israel, perkara-perkara yang bersifat komunal pun dikaitkan dengan ‘1Malaysia’. Contoh: ada yang bertanya, Melayu dulu, Cina dulu, atau ‘Malaysian’ dulu?
Tetapi rasanya lebih ramai yang bersetuju dan sokong ‘1Malaysia’. Rata-rata faham dengan konsep yang diperkenalkan. Ramai yang positif terhadap ‘1Malaysia’. Jadi, apa yang hendak dihebohkan sangat mengenai ‘One Israel’?
Selama ini pun kita tidak bising dan heboh dengan ‘One Utama’, ‘One PJ’. Kita juga ada kempen ‘1 Rumah, 1 Komputer’, ‘1 Kampung, 1 Produk’. Malah, kita pernah ada kempen dan slogan ‘1 Suami, 1 Isteri’. Jadi, apa salahnya dengan ‘1Malaysia’?
CUMA apa yang tidak berapa sedap ialah mereka yang terlebih-lebih dengan kata-kata atau jenama ‘1Malaysia’, sehingga kalau boleh semua benda hendak dikaitkan dengan ‘1Malaysia’. Saya tidak fikir PM suka ‘1Malaysia’ digunakan pada tempat-tempat yang tidak sesuai.
Saya boleh terima ‘Klinik 1Malaysia’, ‘Kantin 1Malaysia’, ‘Sekolah 1Malaysia’. Tetapi tentulah tidak sesuai ‘Tandas 1Malaysia’. Takut nanti ada yang terlampau bersemangat hendak mengampu, hingga ada yang bubuh ‘Kubur 1Malaysia’, atau ‘Surau 1Malaysia’. Takut orang salah sangka.
Juga saya tidak setuju apabila ada yang mempromosi ‘Tarian 1Malaysia’. Jangan main bantai sahaja, sebab kita perlu kekalkan tarian tradisional mengikut kaum – ada tarian Melayu (seperti joget, inang, dan sebagainya), ada tarian Cina, dan ada tarian India, tarian Kadazan, tarian Bidayuh, dan lain-lain. Mana ada ‘Tarian 1Malaysia’.
Janganlah sebab hendak ambil hati PM maka semua perkara hendak dinamakan dengan ‘1Malaysia’. Apabila semua hendak pakai nama itu, lama-lama nanti ‘1Malaysia’ jadi terlalu murah, tidak ada nilai.
ORANG kita suka berhubaya-hubaya tidak tentu fasal, dan lebih ke arah membodek. Tentu semua masih ingat apabila Tun Abdullah Badawi mula-mula menjadi PM dulu, beliau memperkenalkan satu ‘jenama’ baru: Islam Hadhari.
Semua orang bercakap mengenai perkara itu. Semua acara mesti sebut Islam Hadhari. Mesyuarat PIBG, mesyuarat JKKK, mesyuarat persatuan, doa ketika perhimpunan, semua sebut Islam Hadhari.
Pagi petang, siang malam, orang kita sebut, pada hal mereka tidak tahu pun apa sebenarnya Islam Hadhari. Konon ada yang ditukar kerja sebab tidak menyebut Islam Hadhari dalam satu majlis rasmi.
Hari ini Pak Lah tidak lagi menjadi PM, sepatah pun orang tidak sebut Islam Hadhari. Ke mana pergi orang-orang yang dulunya terlalu bersemangat dengan ‘branding’ itu? Harap-harap ‘1Malaysia’ tidak senasib dengan ‘Islam Hadhari’.
- TOK PERAK
No comments:
Post a Comment