KOTA BAHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip RM88,870 hasil lelongan 45 kenderaan yang gagal dituntut pemiliknya kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan melibatkan jabatan itu, tahun ini.
Pengarahnya Abdul Ghani Che Kassim, berkata daripada jumlah kenderaan yang dilelong pada 28 Mac lepas, 26 kenderaan terbabit boleh didaftarkan manakala 19 lagi dilupuskan.
Menurutnya majlis lelongan awam kenderaan itu diadakan setiap tahun dan jumlah kenderaan berkenaan bergantung kepada kes yang melibatkan jabatan itu yang gagal dituntut pemiliknya.
"Pada majlis lelongan awam secara terbuka kali ini, kita berjaya mengutip hampir RM90,000 melibatkan 45 kenderaan yang gagal dituntut pemiliknya kerana pelbagai kesalahan melibatkan jabatan ini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata kebanyakan kenderaan yang dilelong itu terlibat dengan kes tidak memiliki lesen di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Pengangkutan (LPKP) dan tidak mempamerkan cukai jalan.-Bernama
No comments:
Post a Comment