MACHANG-Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor adalah dari MIC.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti itu mempunyai fomula tersendiri dalam menentukan calon dan apa yang penting ialah segala keputusan yang dibuat berdasarkan permuafakatan antara UMNO dan parti-parti komponen lain di dalam BN.
”Kemungkinan besar akan diberikan kepada MIC. Kawasan kerusi MIC akan diambil kira dahulu.
"Begitupun, keputusannya tetap bergantung kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak,” katanya kepada media selepas merasmikan program Juara Rakyat dan pemberian pertama wang ihsan di sini, semalam.
Muhyiddin bekata demikian ketika mengulas, desakan dari beberapa pihak supaya MIC memberi laluan kepada calon UMNO bagi membuka peluang untuk BN merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sebelum ini mencadangkan supaya Timbalannya, Datuk G Palanivel mewakili BN untuk bertanding sekali lagi bagi kerusi itu.
Muhyid:din berkata, pihaknya sentiasa mendengar dan mempertimbangkan semua cadangan yang dibuat namun keputusan yang dibuat akan akan memberi keuntungan kepada BN secara keseluruhan.
Malah katanya, pertindihan calon adalah lumrah di dalam pilihan raya tetapi secara prinsipnya kawasan itu adalah kawasan kerusi MIC.
Dalam pada itu katanya, BN akan melakukan gerak kerja tersusun dan tidak mengambil mudah walaupun mempunyai banyak bahan untuk berdepan dengan pembangkang dalam pilihan raya kecil tersebut.
“Kita sudah berpengalaman berhadapan dengan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, yang penting kita keluarkan strategi yang tepat kerana setiap undi adalah penting bagi kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment