Sunday, April 4, 2010

Habuan pilihan raya

KUALA KUBU BHARU - Kempen merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor patut bermula dua minggu lagi, namun pihak berkaitan sudah mula memenuhi gelanggang untuk menarik perhatian rakyat sementara yang akan bertanding giat menyusun strategi bagi menghadapi pilihan raya kecil 25 April ini.

Sama ada ditafsirkan sebagai membeli jiwa atau menunaikan tanggungjawab, pelbagai program sudah mula disusun untuk dilaksanakan di kawasan yang diramalkan melihat pertandingan sengit, sekurang-kurangnya antara Barisan Nasional dan pakatan rakyat.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sewaktu lawatan ke Batang Kali mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf pembetung yang menjadi penyebab utama banjir di kawasan itu.

Manakala semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sendiri turun padang bersama petugas untuk meninjau suasana di kawasan yang mempunyai 64,500 pemilih berdaftar.

Najib juga turut mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membina sebuah lagi Projek Perumahan Warga Felda untuk Gugusan Sungai Dusun di daerah Hulu Selangor.

Najib berkata, projek yang akan dilaksanakan itu terletak di kawasan Felda Soeharto di kawasan seluas 14 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah dan menelan belanja kira-kira RM32 juta.

Pada hari yang sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan majlis bertemu masyarakat di Hulu Selangor.

Bersama penduduk Ladang SKC Hulu Bernam, Abdul Khalid menyerahkan Borang 5A (Premium Pemberimilikan Tanah) kepada 108 individu, penyampaian Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Warisan Anak Selangor.

Pada sebelah petangnya, Abdul Khalid bertemu masyarakat Kampung Baru Si Jantung, Hulu Bernam.

No comments:

Post a Comment