Wednesday, April 28, 2010

Menteri gaduh di parlimen siap pakai bom asap!


Parlimen Ukraine kecoh



KIEV 27 April - Parlimen Ukraine menjadi kecoh hari ini apabila anggota Parlimen bergaduh dan melontar bom asap ketika berlaku perbahasan hangat mengenai tempoh melanjutkan kehadiran sebuah pangkalan tentera laut Rusia di negara ini.
Di sebalik kejadian luar biasa yang menyaksikan dewan persidangan dipenuhi asap, Parlimen meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh armada Laut Hitam Rusia di Crimea sehingga 2042, yang disifatkan oleh pembangkang sebagai 'menggadai' Ukraine.
Kekecohan bermula apabila Speaker, Volodymr Lytvyn dibaling sedozen telur memaksa beliau berlindung di sebalik payung.
Beberapa bom asap juga dilontar di dalam dewan, dipercayai dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang pro-Barat sebelum tercetus pergaduhan apabila anggota-anggota Parlimen saling tumbuk-menumbuk.
Andriy Shevchenko, ahli Parlimen daripada blok yang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko, mengaku bom asap berkenaan dilontar oleh pihaknya.
Walaupun keadaan kecoh, terdapat ahli Parlimen meneruskan ucapan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Dengan sebahagian ahli Parlimen memekik 'malu,' Parlimen meluluskan usul berkenaan dengan 236 daripada 450 anggota Parlimen mengundi menyokong usul tersebut.
''Tidak kira lontar bom asap atau baling telur ataupun bergaduh, mampu menidakkan pihak majoriti membuat keputusan,'' kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sesi tamat.
Rusia sebelum ini bersetuju untuk memberikan Ukraine diskaun sebanyak 30 peratus ke atas gas asli yang diimportnya bernilai AS$40 bilion (RM128.8 bilion) bagi tempoh 10 tahun jika Ukraine melanjutkan tempoh kehadiran pangkalan tenteranya di Ukraine. - AFP

No comments:

Post a Comment