Wednesday, April 28, 2010

MCA tuduh Perkasa punca undi Cina terhadap BN kurang



KUALA LUMPUR 27 April - MCA hari ini mengutuk kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mahu kerajaan menangguhkan segala bantuan kepada kaum Cina.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kewujudan pertubuhan seperti Perkasa inilah sebenarnya menyebabkan kurangnya sokongan pengundi Cina kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
"Kemajuan negara akan terbantut jika kita terus mempunyai pemimpin seperti Ibrahim Ali yang tidak sensitif terhadap perasaan kaum lain.
"Ini sekali gus akan mengagalkan usaha gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ibrahim Ali menggesa kerajaan menangguhkan bantuan dan peruntukan yang dijanjikan untuk masyarakat Cina apabila keputusan pilihan raya kecil kawasan itu menunjukkan kebanyakan pengundi kaum itu tidak menyokong calon BN, P. Kamalanathan.
Menurut Ibrahim, tindakan itu adalah penting kerana kaum Cina tidak berterima kasih walaupun kerajaan sebelum ini telah banyak membantu mereka.
Pada pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
Dalam pada itu, Soi Lek berkata, duit kerajaan adalah milik rakyat dan ia seharusnya digunakan untuk kemajuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan beliau memberi jaminan untuk mengotakan janjinya yang mahu membawa pembangunan kepada penduduk di Hulu Selangor.
"Saya yakin BN akan sentiasa mengotakan apa yang telah dijanjikannya kepada pengundi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment