Wednesday, April 28, 2010

Speaker pertahan soalan sensitif dibawa ke Sidang Dewan



ALOR SETAR 27 April - Meskipun terpaksa menarik balik dua soalan bertulis daripada seorang wakil rakyat Pas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam, Speaker, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tetap mempertahankan kewajaran membenarkan pertanyaan itu dibawa ke Sidang Dewan.
Abdul Isa berkata, pihaknya tidak terlepas pandang soalan yang mencetuskan kontroversi berkenaan kerana telah mempertimbang dan membincangkannya bersama urus setia pejabat DUN Kedah sebelum persidangan.
Beliau berpandangan, soalan daripada Mohd. Nasir Mustapa (Pas-Kubang Rotan) itu tidak sampai ke tahap melanggar peraturan Dewan.
"Saya melihat soalan wakil rakyat Kubang Rotan itu bukan mempersoalkan kuasa Tuanku Sultan tetapi bertanyakan sejauh mana bidang kuasa itu dihormati," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Speaker Kedah diminta mengulas mengenai kekecohan dalam Sidang DUN Kedah semalam apabila bantahan keras daripada beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mempertikaikan dua soalan bertulis dikemukakan oleh Mohd. Nasir menyebabkan Abdul Isa membatalkan soalan berkenaan.
Penyokong pembangkang menganggap soalan itu seolah-olah cuba mempertikai kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.
Menurut Abdul Isa, tindakan menarik balik dua soalan tersebut bertujuan mengelakkan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan negeri dan pembangkang daripada menjadi bertambah serius dan tidak terkawal.
Katanya, tindakan itu juga dibuat kerana ada pihak yang mentafsirkan soalan berkenaan sebagai amat sensitif sehingga menimbulkan pertengkaran mulut.
Dalam pada itu, ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil ke atas wakil rakyat yang terlibat, beliau mengatakan tidak perlu kerana ia tidak melanggar tata etika Dewan.
"Suasana yang tercetus itu kerana kedua-dua belah pihak ingin menegakkan pendapat masing-masing. Ia berlaku secara spontan dan tidak sengaja," katanya.

No comments:

Post a Comment