Wednesday, April 28, 2010

Noh bawa isu tembak remaja ke Kabinet



SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar akan membangkitkan isu kematian remaja ditembak polis pada mesyuarat Kabinet, hari ini, bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil. 

“Ini satu kes yang serius. Saya dimaklumkan polis akan melantik seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk siasatan menyeluruh," katanya ketika mengunjungi keluarga Aminulrashid Amzah, semalam, iaitu remaja yang dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila dia dan seorang lagi sahabatnya dikatakan enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan. 

Bagaimanapun, keluarga Aminulrashid, semalam, menolak dakwaan mangsa terlibat aktiviti jenayah walaupun polis menemui sebilah parang dalam kereta yang dipandunya. 

Kakak mangsa, Nor Azura, 39, berkata, setahunya tidak ada parang dalam kereta milik salah seorang ahli keluarganya, yang ada hanyalah sekaki payung. 

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang mendalam dan adil dalam kes ini,” katanya pada sidang media di rumah ibunya di sini, semalam. 

Ibu mangsa, Norsiah Mohd, 61, pula meminta supaya Allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.

No comments:

Post a Comment