Wednesday, April 28, 2010

'Kami mahu keadilan'

SHAH ALAM: Keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15, mahu pihak berkuasa menyiasat kematian pelajar tingkatan tiga itu secara adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, berkata beliau tidak mahu menuduh sesiapa, sebaliknya mahu mencari kebenaran supaya ia dapat diselesaikan dengan cara sebaik.
Katanya, masih terlalu awal untuknya membuat keputusan sama ada mahu mengambil tindakan undang atau tidak dan pihaknya kini menunggu siasatan polis.

“Saya sebagai waris mahu polis siasat lebih adil untuk keluarga. Biar dia dibela sewajarnya.

“Saya tahu anak saya, dia bukan penjenayah atau terbabit dengan mana-mana aktiviti jenayah.

“Kita minta polis siasat, bila tahu nanti siapa yang betul atau salah, baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Norsiah yang juga ibu tunggal pada masa sama turut menafikan laporan media kononnya anak bongsunya daripada lapan beradik itu terbabit dalam aktiviti jenayah.

“Akhbar kata dia (Aminulrasyid) penjenayah. Ini yang menyebabkan kita kurang puas hati.

“Ia boleh mengaibkan keluarga saya, jadi saya terpanggil untuk menceritakan perkara sebenar supaya ia tidak disensasikan sehingga mengguris hati kami,” katanya dalam nada sebak.

Menceritakan latar belakang, anak kesayangannya itu, Norsiah berkata, Aminulrasyid aktif bersukan dan pernah mewakili sekolahnya dalam beberapa pertandingan peringkat daerah.

“Malah, dia banyak sijil dan piala yang dia dapat dalam bersukan. Jadi macam mana dia boleh terbabit dalam jenayah,” katanya mempersoalkan kewajaran polis menembak mati anaknya.

Kakak mangsa, Nor Azura Amzah, 39, berharap saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi memberi kerjasama kepada polis menyiasat kejadian itu.

“Saya percaya ramai yang melihat kejadian ini, jadi saya harap mereka tampil bagi membela adik saya.


“Kami sekeluarga hanya nak nama keluarga dibersihkan, itu saja,” katanya.

Sementara itu, kira-kira jam 2 petang semalam, Norsiah turut membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam, menuntut kes anaknya disiasat polis Bukit Aman.

Harian Metro semalam melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun yang memandu sebuah kereta bersama rakannya maut selepas terkena sedas tembakan di Seksyen 11, di sini.

Mangsa Aminulrasyid Amzah mati di tempat kejadian selepas terkena sedas tembakan di belakang kepalanya.

No comments:

Post a Comment