Senator Datuk Akbar Ali berkata, pihaknya kini menghadapi masalah untuk lebih kerap bertemu rakyat seperti yang disarankan kerajaan menerusi gagasan 1Malaysia disebabkan tiada elaun tetap untuk perjalanan.
"Kita kini hanya boleh membuat tuntutan perbatuan seperti pegawai kerajaan lain berasaskan perjalanan yang dibuat setiap bulan dan kadar bayaran yang diterima adalah berbeza-beza bergantung tuntutan yang dibuat.
"Tuntutan ini hanya boleh dibuat jika senator menghadiri acara yang dianjurkan oleh kerajaan dan ia mesti dibuktikan oleh surat jemputan rasmi," katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, syarat yang ditetapkan itu adalah tidak sesuai bagi para senator yang turut perlu menghadiri acara yang dianjur pihak-pihak yang tiada kaitan dengan kerajaan.
"Kita dituntut untuk turun padang sama ada ketika bencana alam, kematian dan kemalangan termasuk menghadiri acara yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Akbar juga meminta supaya elaun untuk pemandu para senator dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,300 sebulan.
Katanya, jumlah itu akan meliputi gaji dan elaun untuk makanan, penginapan serta kerja lebih masa.
Beliau turut meminta supaya peruntukan kepada senator sebanyak RM200,000 bagi setiap tiga tahun sekarang dinaikkan kepada RM300,000 untuk tempoh sama atau RM100,000 untuk setiap tahun.
No comments:
Post a Comment