Wednesday, April 28, 2010

BN menang sementara



KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu sebagai ‘gembira dalam gelisah’ dan hanya bersifat sementara. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, hasil analisis parti itu mendapati empat faktor utama menjadi penyumbang kepada pertambahan undi kepada BN untuk merampas kerusi itu yang dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. 

Katanya, sebahagian undi rosak pada PRU 2008 telah kembali memihak kepada BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor. 

“Separuh sudah tidak rosak, daripada undi yang rosak (pada 2008) sebahagian pengundi memang kembali kepada BN atas tindakan-tindakan yang tertentu,” katanya pada sidang akhbar mengenai analisis awal Pas mengenai kemenangan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. 

Selain itu kata Mustafa, BN juga memperolehi 600 undi pos yang disifatkannya sebagai undi tetap kepada BN setiap kali dalam pilihan raya diadakan. 

“Kita juga dapati lebih daripada 50 peratus pengundi di gugusan Felda menyokong BN kerana jentera mereka menumpu sepenuh perhatian terhadap kawasan tersebut. 

Selain itu, trend dengan kaum India yang didapati kembali semula menyokong BN juga menjadi penyumbang kepada kemenangan calon mereka. 

“Sebagai contohnya, ada di saluran undi di kawasan majoriti India, di mana BN mendapat 107 undi, manakala PKR hanya mendapat lapan undi sahaja,” katanya 

Analisis Pas kata Mustafa juga mendapati kemenangan BN hanya bersifat sementara. 

Menurut Mustafa, serangan peribadi terhadap Zaid dan perkara lompat parti oleh sebilangan kecil ahli PKR yang hebat diberitakan media juga sedikit pun tidak menjejaskan perhatian serta kepercayaan rakyat kepada kepimpinan PR malah semakin bertambah 

“Walaupun BN menabur pelbagai janji dan habuan sekiranya memenangi PRK, tawaran itu tidak mempengaruhi undi rakyat. 

“Rakyat sudah mempunyai kesedaran bahawa BN bukan lagi parti masa depan tetapi lebih percaya kepada komponen dalam PR malah PRK kali ini merupakan petanda bahawa BN perlu lebih berhati-hati pada PRU akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment