KUALA LUMPUR: Penduduk Pangsapuri Taman Cheras Utama di sini, terpaksa menanggung beban hutang sebanyak RM110,000 akibat kelewatan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memasang meter air individu di rumah mereka.
Bebanan hutang timbul apabila bekalan air di 332 rumah rosak sejak enam bulan lalu hingga memaksa mereka mengepam air pili bomba untuk kegunaan harian.
Air pili bomba yang digunakan mengenakan caj lebih mahal iaitu RM2.38 seunit berbanding meter biasa RM1.38 seunit selain terpaksa membayar harga air bulanan sebanyak RM20.
Sejak kerosakan itu, penduduk menggunakan air pili bomba untuk kegunaan harian termasuk memasak, mandi dan membasuh pakaian walaupun air yang digunakan kotor dan tidak berkualiti.
Pengerusi penduduk Taman Cheras Utama, Nor Sammuddin Abd Kadir, berkata akibat mengguna air itu, anak-anak kecil mengalami penyakit kulit dan ada menghidap cirit-birit.
Katanya, aduan dibuat beberapa kali dan wang yang diperlukan untuk pemasangan meter individu itu sudah dikumpul tetapi masih tiada tindakan sepatutnya diambil pihak berkuasa.
“Saya juga sudah memberi wang RM33,000 kepada pemaju perumahan untuk membaiki meter air, tetapi nampaknya tiada tindakan susulan dibuat.
“Saya mahu mereka prihatin dengan masalah kami hadapi bukannya menutup mata tanpa tindakan kerana kami membayar segala keperluan tetapi perkhidmatan yang diterima amat mendukacitakan,” katanya ketika ditemui di Taman Cheras Utama, di sini, baru-baru ini.
Manakala Setiausahanya, Mohd Khairi Othman, berkata kesulitan sering berlaku ke atas penduduk kerana terpaksa mengepam sendiri air daripada pili bomba untuk disalurkan ke rumah masing-masing.
“Sekiranya tekanan rendah maka air tidak naik ke paip dan kami terpaksa menunggu sehari untuk mendapatkan air.
“Selain itu, kami membeli air mineral untuk kegunaan memasak dan minum bagi mengelak kejadian buruk rlaku kepada keluarga,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Serdang, Datuk Liew Yuen Keong, yang membuat pemantauan terhadap masalah yang dialami penduduk meminta Syabas segera bertindak memasang meter dan membaiki kerosakan air di kawasan taman itu.
Katanya, masalah penduduk di situ perlu diberi perhatian yang wajar kerana pada masa ini, mereka menggunakan air pili bomba yang kotor hingga menyebabkan bahaya kepada mereka.
“Saya harap Syabas segera melakukan kerja yang sepatutnya di sini bagi menjamin kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment