KUALA LUMPUR: Pengembara solo, Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien, yang kini berada di Pakistan terpaksa melalui pelbagai rintangan dalam merealisasikan impiannya mencatat sejarah rakyat Malaysia pertama mengembara secara solo ke seluruh dunia.
Bagaimanapun, dalam perjalanan dari Islamabad ke Taftan, dia terpaksa bermalam di balai polis sepanjang perjalanannya ke bandar sempadan Pakistan-Iran itu.
Pengurus Program IAMALAYSIAN, Harris Andria berkata, penunggang gigih berusia 39 tahun itu memulakan perjalanan dari Islamabad menuju ke Dera Ismail Khan, Pakistan kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan, Jumaat lalu.
Katanya, dalam perjalanan 500 kilometer (km) itu, dia berhadapan sekatan jalan dan diarah melaporkan diri di pos keselamatan setiap 10 km perjalanannya, malah disoal siasat.
Difahamkan, dia juga berhadapan kepayahan suhu tinggi mencecah 45 darjah celcius sepanjang perjalanannya di padang pasir dan pergunungan.
“Malangnya, sebaik tiba di Dera Ismail Khan di wilayah North West Frontier Province (NWFP) dan melaporkan diri di balai polis daerah itu, dia tidak dibenarkan meninggalkan pekarangan balai atas faktor keselamatan berikutan beberapa kejadian penculikan dan pembunuhan rakyat asing serta pengeboman di daerah terbabit.
“Dia kemudian dipindahkan ke balai polis di daerah Punjab kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan hari berikutnya kerana ketegangan yang semakin memuncak,” katanya.
No comments:
Post a Comment