Wednesday, June 23, 2010

Tubuh panel bendung JI di IPT


Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my
2010/06/23

Perisik tentera bantu polis, penguat kuasa pantau gerakan ekstremis 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi dan polis akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk menyelaras usaha membendung penularan gerakan Jemaah Islamiah (JI) serta kumpulan ekstremis di institusi pengajian tinggi (IPT).Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerjasama itu dipersetujui pada sesi taklimat khas oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, malam kelmarin, mengenai ancaman golongan terbabit mendapatkan rekrut baru daripada kalangan pelajar dan pensyarah di IPT.Sambil menjelaskan sesi taklimat selama tiga jam itu turut dihadiri Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan naib canselor universiti awam dari seluruh negara, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan menjadi forum untuk saling bertukar maklumat terkini supaya semua pihak terbabit sentiasa dalam keadaan peka dan fokus. 

“Jawatankuasa ini akan mengkoordinasi perkara berkaitan usaha membendung IPT daripada menjadi sasaran golongan berkenaan (JI serta kumpulan ekstremis) dan pada masa sama memberi panduan mengenai peranan berkesan membantu menjaga keselamatan negara. 

“Ketua Setiausaha (Kementerian Pengajian Tinggi) akan menerajui penubuhan jawatankuasa ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mendedahkan gerakan JI di negara ini sudah mengambil sekurang-kurangnya 30 pelajar IPT dan remaja tempatan untuk menyertai kumpulan itu. 
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Tan Sri Dr Nik Mustapha R Abdullah yang turut hadir pada sesi taklimat itu, berkata pihak universiti turut membawa pengarah keselamatan dalam kampus untuk menghadiri sesi taklimat berkenaan. 

“Pegawai keselamatan di kampus perlu peka dengan berperanan umpama `mata dan telinga’ untuk mengesan kewujudan gerakan itu, termasuk dalam bentuk ceramah atau usrah. 

“Dalam pada itu, pelajar yang mempunyai maklumat juga boleh menyalurkannya kepada pihak universiti untuk disiasat, termasuk menentukan kesahihan dengan kerjasama polis dan JAKIM. Identiti pelajar berkenaan akan dilindungi,” katanya. 

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, pula berkata pihaknya akan memperketat pemantauan serta bekerjasama memberi input berkaitan kepada jawatankuasa berkenaan dari semasa ke semasa. 

Sementara itu, Kementerian Pertahanan melalui Pegawai Perisikan Tentera (MIO) sedang melakukan pemantauan rapi di seluruh negara bagi membantu polis menangani ancaman JI. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berkongsi maklumat dengan anggota risikan polis dan agensi penguat kuasa lain bagi mengesan aktiviti pihak tertentu yang mengancam keselamatan negara. 

“Segala maklumat yang ada (oleh MIO) dikongsi bersama polis sebelum kita menyalurkannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut. 

“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan ekstremis dan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan polis dan agensi penguat kuasa lain untuk memastikan keamanan negara terjamin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ATM di sini, semalam. 

No comments:

Post a Comment