23/06/2010 7:40pm
KOTA BHARU – Kementerian Pelajaran menggalakkan semua sekolah yang memiliki sumber kewangan memasang CCTV dalam usaha membendung masalah disiplin termasuk gejala sosial dan samseng di sekolah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pemasangan CCTV mampu membantu membendung masalah disiplin di kalangan pelajar sewaktu mereka berada di sekolah.
“Jika sesebuah sekolah itu memiliki sumber kewangan, tiada halangan untuk mereka memasang CCTV dan kita menggalakkan usaha itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Ke-49 di sini hari ini, yang dihadiri 600 pengetua dari seluruh negara.
Beliau berkata, bagaimanapun kementerian tidak menyediakan peruntukan khusus untuk tujuan itu.
"Sebagaimana kita tahu CCTV ini mahal. Kawasan sekolah besar dan tidak boleh ada satu CCTV sahaja.
“Saya difahamkan ada beberapa sekolah yang buat CCTV ini atas perbelanjaan dan peruntukan sekolah itu sendiri,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment