ALOR SETAR 26 Jun – Kerana kesempitan hidup sebuah keluarga di Kampung Tok Sabil, Mukim Tajar di sini terpaksa tinggal di sebuah rumah pusaka usang yang hanya menunggu masa untuk roboh.
Abdul Wahab Ahmad, 46, yang mengambil upah membuat sawah berkata, dia tidak mampu untuk meneruskan kerja-kerja membuat rumah baru yang telah tergendala empat tahun lalu di kawasan sama kerana kekurangan wang.
“Sejak setahun lalu, setiap malam, saya akan tinggal di sebuah lagi rumah yang terletak di belakang rumah pusaka ini kerana bimbang lantai akan roboh.
“Saya tidak mampu untuk bina rumah baru kerana tidak cukup duit dan upah membuat sawah hanya cukup untuk membeli barangan keperluan harian kami sekeluarga sahaja,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, turut tinggal di rumah itu ialah isterinya, Zainab Ahmad, 46, serta dua anaknya, Mohd. Nasir, 22, dan Nur Fazilah, 16, dan dia bimbang mengenai keselamatan mereka apabila tinggal di rumah pusaka yang usang itu.
“Pendapatan saya tidak menentu kira-kira RM400 sebulan dan saya hanya mengharapkan anak sulung saya, Mohd. Nasir untuk membantu keluarga.
“Anak sulung telah bekerja di sebuah kilang di Pokok Sena dan kami mengharapkan dia untuk membeli barang-barang makanan,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO bahagian Alor Setar, Ir. Mohd. Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, pihaknya akan membawa kes tersebut ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan bantuan.
“Kita juga akan cuba dapatkan bantuan untuk mendirikan rumah melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) bagi membolehkan mereka sekeluarga hidup lebih selesa,” katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment