TENGAH hari itu, seusai menu kegemaran keluarganya, masak lemak cili api daging panggang dihidang di atas meja, Kamisah Mohd. Din, 50, cepat-cepat mengangkat kain jemuran yang disidainya pagi tadi.
Tanpa membuang masa, kain baju dilipat dan disusun di rak-rak baju milik suami dan anak-anaknya. Sambil menunggu masuknya waktu solat Zuhur, Kamisah sekali lagi menjengah ke dapur, melihat andai ada tugasnya yang belum selesai.
“Saya biasanya keluar membawa teksi selepas waktu Zuhur dan balik sebelum malam. Bukan apa, saya lebih suka melakukan sendiri kerja-kerja rumah lebih-lebih lagi memasak,” ujar pemandu teksi sepenuh masa ini.
Pengalaman Kamisah bukan sedikit di atas jalan raya. Sepanjang 23 tahun dia membawa teksi, banyak momen pahit dan manis yang pernah diharunginya.
Dengan usia yang hampir menginjak separuh abad, wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tidak berdepan sebarang masalah untuk memandu di tengah kesibukan bandar Seremban biarpun sesetengah penumpang meragui kecekapannya.
MUSALMAH merupakan antara tiga pemandu teksi wanita yang beroperasi di sekitar Putrajaya dan Sepang.
Tidak yakin
Ia nampak mudah, namun untuk memasuki kerjaya yang hampir 99 peratus dimonopoli oleh golongan lelaki, Kamisah dikenali sebagai antara wanita yang berani membuktikan golongan wanita bergelar ibu juga mampu menggalas tugas sebagai pemandu teksi dan kereta sewa.
“Saya tidak melihat kerjaya ini sesuai untuk kaum lelaki sahaja, sebaliknya wantita juga boleh menjadi pemandu teksi, malah saya percaya mereka lebih berhemah di atas di jalan raya.
“Tidak dinafikan ramai yang tidak yakin dengan kemampuan saya memandu teksi, lebih-lebih lagi penumpang muda.
“Tetapi selepas melihat kecekapan saya memandu, ramai penumpang selesa dengan cara pemanduan saya,” jelasnya yang juga isteri kepada seorang pemandu teksi.
Setelah lebih dua dekad membantu suaminya memandu teksi dan kereta sewa, Kamisah bersyukur kerana dikurniakan keberanian untuk terus memandu hingga ke hari ini.
“Sebelum ini saya hanya melakukannya secara sambilan. Setahun selepas saya menerima Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lesen Teksi dan Kereta Sewa, barulah saya jadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.
“Walaupun pendapatan tidak menentu, sekurang-kurangnya hasil daripada membawa teksi ini dapat juga membantu meringankan beban suami membesarkan lapan orang anak kami,” tuturnya yang senang tersenyum sendiri apabila melihat ketabahan dirinya yang mampu melakukan apa jua kerja halal demi meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.
Bagi rakan seperjuangan Kamisah, Chiang Quee Lam, 45, kerjaya sebagai pemandu kereta sewa di sekitar Rembau, Negeri Sembilan banyak memberi pengalaman baru dalam hidupnya walaupun pada awal pembabitannya dalam bidang ini dia sukar menepis perasaan malu.
KEMUNCULAN pemandu teksi wanita memberi pilihan kepada penumpang daripada kaum Hawa untuk lebih selesa menaiki teksi.
Malu
“Dulu saya malu kerana rata-rata pemandu kereta sewa adalah lelaki, namun selepas 23 tahun memandu, sekarang saya cukup selesa.
“Ia pekerjaan yang sangat menggembirakan kerana setiap hari saya boleh melihat pelbagai ragam penumpang,” katanya.
Bersetuju dengan pendapat yang mengatakan pemandu teksi dan kereta sewa adalah duta kecil negara, Quee Lam mengakui dia sentiasa mahukan penumpang selesa menaiki kereta sewa yang dipandunya.
“Orang kata kalau kita ramah, rezeki kita murah. Hati saya cukup senang jika dapat melayan pelanggan dengan baik dan boleh menghantar mereka ke destinasi yang dituju dengan selamat.
“Jika dulu saya anggap kerja ini semata-mata untuk cari wang, tetapi setelah sekian lama, saya tidak lagi berfikiran begitu.
“Saya menganggap kerja ini sebagai khidmat dan sumbangan saya kepada orang ramai. Saya gembira apabila pemanduan saya dapat membantu orang lain,” ujarnya yang turut mengakui memilih pelanggan demi keselamatannya.
Taktik melihat gerak tubuh dan ekspresi muka pelanggan sedikit sebanyak dapat membantu pemandu teksi wanita daripada menjadi mangsa jenayah samun, cabul, rogol dan sebagainya.
“Saya sentiasa berwaspada dengan pelanggan terutama lelaki. Bukan mahu bersangka buruk, tetapi lebih baik jika kita berhati-hati sebelum terkena.
“Sebagai pemandu yang memberi perkhidmatan, kadangkala keramahan kita disalahertikan dan ada pelanggan yang cuba mengambil kesempatan,” kata Musalmah Mustafa, 36.
Hampir tiga tahun membawa teksi di sekitar Putrajaya dan Sepang, dia pernah hampir diraba oleh seorang penumpang lelaki.
“Seorang penumpang warga asing pernah menaiki teksi saya dan ketika itu dia duduk di bahagian penumpang hadapan.
QUEE LAM kini cukup selesa memandu teksi miliknya di sekitar pekan Rembau.
Kena pegang
“Tidak mahu dikatakan sombong, saya memberikan nombor telefon bimbit supaya mudah jika dia mahu memanggil teksi saya. Kebiasaannya memang saya memberi nombor telefon jika ada penumpang yang minta.
“Sebelum tiba di destinasi, dia mula mengubah cara duduk untuk kelihatan lebih rapat dan memegang tangan saya. Saya tepis dan memberi amaran kepadanya.
“Selepas itu, saya kerap menerima panggilan daripada lelaki tersebut meminta untuk dihantar ke mana-mana. Saya enggan.
“Jika dia telefon ke syarikat saya pun, dia mahu saya sahaja yang mengambilnya. Saya tidak layan, takut kejadian yang sama berulang,” katanya.
Selain Musalmah, ramai lagi pemandu teksi wanita terdedah kepada situasi mencemaskan seperti itu.
Malah, apa yang lebih mengecewakan, ada segelintir penumpang yang sanggup melakukan lebih daripada itu seperti mencabul dan samun.
kredit : kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment