Sunday, June 27, 2010

Kes remaja hamil serius


15/7
Semua pihak digesa atasi masalah
MUAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan isu remaja bawah umur hamil luar nikah sebagai membimbangkan dan mahu semua pihak terutama institusi keluarga, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti memainkan peranan penting bagi menangani isu itu.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kerajaan saja tidak dapat mengatasi masalah itu jika keluarga tidak mengawasi anak mereka.
Isu ini membimbangkan dan kita minta ibu bapa tidak lepas tangan kerana usaha kerajaan saja tak cukup. Sebab itu institusi keluarga adalah segala-galanya dan jika ibu bapa jaga anak, barulah kita dapat mengatasi isu sosial, katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Muar, di sini semalam.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil berat isu berkaitan remaja bawah umur dan mereka yang bermasalah diberikan bantuan termasuk tempat perlindungan.
Beliau berkata, kini JKM mempunyai sebuah rumah kebajikan khas di Perak sebagai perlindungan untuk remaja 18 tahun ke bawah termasuk membantu mereka yang melahirkan anak.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, berkata kegagalan mempertahankan keutuhan sistem kekeluargaan menjadi faktor utama gejala sosial semakin meningkat.
Katanya, sistem itu semakin terhakis apabila hanya membabitkan ibu, bapa dan anak, tidak lagi seperti dulu apabila datuk, nenek dan adik beradik turut menjadi penyokong utama dalam institusi kekeluargaan.
Sumber : Bharian.com.my

No comments:

Post a Comment