Sunday, June 27, 2010

Perkahwinan kali ketiga



Desas-desus mengenai status perkahwinan penyanyi Aishah kini terjawab apabila penyanyi itu tampil membuat pengakuan sudah menamatkan zaman solonya bersama seorang duda Faizal Sazali Zulkifli pada 30 April lalu. 

Walaupun pada mulanya enggan bercerita mengenai perkahwinannya itu, namun penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini akur apabila gambarnya bersama suami tersebar di Internet. Gambar yang diletakkan di laman facebook Aishah menjadi tanda tanya ramai pihak terutama peminatnya ingin mengetahui status sebenar penyanyi itu. 

“Benar saya sudah pun kahwin dengan seorang duda yang ada enam orang anak. Tapi perkahwinan ini hanya diketahui oleh keluarga dan orang terdekat sahaja. Kami berkahwin di Narathiwat, Thailand. Keputusan bernikah di Thailand adalah kerana pada waktu itu suami saya masih belum mendapat surat perceraian dengan isterinya secara rasmi. 

“Bukan mahu terburu-buru tetapi perkara baik seperti ini seharusnya tidak dilengahkan dan kami ingin mengelakkan diri daripada maksiat dan fitnah orang,” katanya yang akan mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Agama Kuala Lumpur. 

Bercerita mengenai saat perkenalan dengan suaminya itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 45, tidak menyangka lelaki yang dikenalinya melalui laman sembang di Internet akan menjadi suaminya. 

“Kami kenal tidak lama, lebih kurang seminggu sahaja. Kami selalu berchatting. Tak sangka perkenalan singkat ini akan membawa kami ke gerbang perkahwinan. Sudah sepuluh tahun hati saya tertutup untuk berkahwin lagi, tetapi kali ini berbeza sedikit. 

“Saya rasakan bahawa inilah jodoh dan hati mula terbuka untuk menerima seseorang dalam hidup saya. Kami serasi dan kerana itu kami ambil keputusan untuk berkahwin,” katanya yang bersyukur dikurniakan suami yang memahami dirinya. 

Menurutnya, anak-anaknya turut gembira menerima kehadiran ayah baru dalam hidup mereka yang boleh menjaga dan membimbing ke jalan yang diredhai. 

“Saya bersyukur kerana anak-anak saya memahami hasrat ini dan tumpang gembira di samping mempunyai ayah baru. Sememangnya saya memang mencari orang yang boleh membimbing kami sekeluarga ke jalan yang diredhai di samping memberi kebahagiaan yang dicari selama ini,” katanya yang sedang menyiapkan album yang memuatkan koleksi zikir dan doa serta melahirkan single berjudul Anak.

No comments:

Post a Comment