Saturday, June 12, 2010

MPSPK roboh lima gerai haram



LIMA gerai yang dibina di bahu jalan dirobohkan di Taman Kempas, Sungai Petani, semalam.


SUNGAI PETANI 11 Jun - Sebanyak lima buah gerai tanpa lesen yang dibina di bahu jalan di Taman Kempas di sini dirobohkan dalam operasi di sekitar bandar ini hari ini.
Dalam operasi tersebut, gerai yang dimiliki oleh lima pemilik dirobohkan anggota Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) berikutan kedegilan mereka berpindah ke kawasan yang dibenarkan.
Operasi yang bermula pada pukul 10 pagi itu disertai oleh 40 orang pegawai penguat kuasa dan 10 polis dengan dibantu oleh sebuah jentolak dan dua lori untuk mengangkut barang yang disita oleh MPSPK.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa MPSPK, Anil Arif berkata, tindakan merobohkan gerai terbabit terpaksa dilakukan kerana peniaga-peniaga berkenaan masih berdegil walaupun telah diberi beberapa notis sejak dua minggu lalu.
"Sebelum ini kita sudah keluarkan notis, malangnya, ada di antara mereka tidak mengendahkan arahan dikeluarkan itu.
"Jadi, kami tiada pilihan selain daripada merobohkan gerai terbabit bagi memastikan undang-undang dipatuhi," katanya di sini.
Tambah Anil, tindakan berkenaan juga terpaksa diambil ekoran banyak aduan yang dikemukakan penduduk berhubung kewujudan gerai di bahu jalan.
"Ia telah menimbulkan kesesakan dan membahayakan penjual dan pembeli sendiri," jelasnya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan terus membuat pemantauan di kawasan terbabit bagi mengelakkan gerai haram beroperasi semula.
Sementara itu, seorang pemilik gerai, Mohd. Noor Osman, 60, dari Kampung Belukar mendakwa, dia kerugian lebih RM3,000 bila gerai makanannya dirobohkan MPSPK.
Katanya, dia tidak mempunyai pilihan menjalankan perniagaan di situ memandangkan kadar sewa di tempat lain adalah tinggi.
"Saya mengumpul modal hasil daripada sebahagian duit persaraan saya sebagai kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Namun, tempat mencari nafkah untuk keluarga kini musnah setelah diroboh pihak berkuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment