Saturday, June 12, 2010

PAS letak calon bukan Islam

SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyerahkan telefon GSM Mobile al-Quran kepada Nik  Aziz pada Muktamar PAS di Kota Bharu, semalam.
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyerahkan telefon GSM Mobile al-Quran kepada Nik Aziz pada Muktamar PAS di Kota Bharu, semalam.


Parti kenakan syarat bertanding Pilihan Raya Umum Ke-13

KOTA BHARU: PAS membenarkan calon bukan Islam yang bertanding atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti menggunakan simbol parti itu tetapi bersyarat, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, perkara ini sudah dipersetujui Majlis Syura Ulama PAS berdasarkan kepada konsep kerjasama antara komponen dalam pakatan pembangkang, selain ada calon bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
Katanya, calon bukan Islam yang akan diberi peluang itu nanti mesti memenuhi kriteria termasuk menerima konsep perjuangan PAS, bermoral tinggi, berakhlak baik serta setia dengan perjuangan PAS.

"Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan membenarkan simbol parti ini digunakan untuk calon bukan Islam yang akan dilantik pada pilihan raya umum akan datang dan ini dibuat berpandukan konsep kerjasama kita (PAS) dalam pakatan pembangkang.

"Keutamaan akan diberikan kepada DHPP kerana sudah tentu ada calon bukan Islam dalamnya dan kita meluluskan untuk mereka menggunakan simbol parti (PAS)," katanya selepas menyampaikan ucapan dasar serta merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-56, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini, semalam.

Turut hadir dalam perasmian itu ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Tindakan PAS membenarkan calon bukan ahli parti itu menggunakan simbolnya bukan perkara baru kerana pada Pilihan Raya Umum 2008, Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas, dibenarkan menggunakan lambang parti itu ketika bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas.

Mengulas risiko calon bukan Islam bertindak melompat parti, Abdul Hadi berkata, untuk mengelak kejadian itu berlaku, PAS akan mengenakan syarat kepada mereka untuk berikrar tidak melakukan perbuatan terbabit kerana mereka yang bermoral tidak akan lompat parti.

"Sebagai jaminan, kita akan buat ikrar. Kita percaya kalau mereka bermoral, sudah tidak akan melanggar ikrar ini (melompat parti)," katanya yang mengakui PAS membuat persefahaman dengan rakan dalam pakatan pembangkang bagi memastikan pertandingan dua penjuru dengan BN pada pilihan raya umum kelak.

No comments:

Post a Comment