Tuesday, June 1, 2010

Penduduk 4 kampung minta lampu isyarat



JEMPOL 31 Mei - Simpang empat Air Hitam, Jalan Bahau Kemayan dekat sini kini hanya menunggu mangsa seterusnya selepas begitu banyak kemalangan yang berpunca daripada ketiadaan lampu isyarat.
Rungutan demi rungutan kedengaran daripada penduduk empat kawasan termasuk dua buah kampung yang sentiasa dibelenggu kebimbangan kerana simpang berkenaan telah meragut nyawa keluarga mereka sendiri.
Empat kampung dan kawasan terbabit adalah Kampung Busat, Kampung Baru Air Hitam, Taman Seri Air Hitam dan penduduk Felda Lui Barat.
Salah seorang penduduk, Azmi Ismail, 40, memberitahu, simpang itu kerap kali kemalangan kerana ia merupakan laluan utama kenderaan berat.
''Baru-baru ini, seorang penduduk kawasan ini mengalami kecacatan akibat dirempuh oleh lori yang tidak berhenti di simpang berkenaan.
''Saya memohon supaya agensi berkaitan supaya segera memasang ampu isyarat bagi mengelakkan lebih banyak nyawa hilang akibat menggunakan laluan ini," katanya lagi.
Mohd. Mustaqim Mohd. Zaki, 42, pula berkata, persimpangan empat tersebut merupakan jalan utama bagi pelajar untuk ke sekolah.
''Waktu pagi merupakan waktu puncak penggunaan persimpangan tersebut dan sering kali berlaku kemalangan di jalan ini.
''Ada yang mati, mengalami kecacatan kekal dan kehilangan harta benda akibat jalan ini tiada lampu isyarat," jelasnya.
Zulkarnain Hisham, 42, berkata, sekitar kawasan itu kini kini semakin sibuk dengan pembukaan taman perumahan baru dan pembinaan pejabat-pejabat berdekatan simpang berkenaan.
''Akibat pembangunan itu, jalan berkenaan menjadi semakin sibuk dan sesak, selain digunakan untuk ke Pahang," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment