PUTRAJAYA: “Saya marah kerana Israel menggunakan senjata api untuk menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Semenanjung Gaza.
“Walaupun kami menjangkakan halangan daripada tentera Israel, tetapi memang tidak menyangka mereka (tentera Israel) menggunakan peluru hidup dan kekerasan seperti ini bagi menghalang usaha penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, semalam. Beliau diminta mengulas serangan tentera Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, kelmarin. Perdana Global Peace Organization (PGPO) dinaungi Dr Mahathir menghantar tiga kapal, dua penumpang dan satu kapal kargo bagi menyertai konvoi ‘Flotilla Pembebasan’ untuk menghantar bantuan kemanusiaan termasuk perubatan dan bahan binaan kepada penduduk Gaza bagi membina rumah mereka. Bagaimanapun, kapal berkenaan dua hari lewat dan belum sampai ke kawasan yang dituju, malah meminta mereka meneruskan perjalanan untuk misi penghantaran dan berpatah balik jika dihalang Israel. Tentera Israel bertindak menyerang kapal Turki ‘Mavi Marmara’ yang dilaporkan turut dinaiki wartawan dan jurugambar stesen televisyen Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, dan Shamsul Kamal Latip, 38.
Berdasarkan laporan Al-Jazeera, kira-kira 15 aktivis maut, manakala ramai cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki itu yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza. Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tiga kapal tajaan PGPO meneruskan pelayaran ke Gaza dan meminta mereka berpatah balik jika mendapat halangan tentera Israel.
“Misi bantuan PGPO itu diketuai Matthias Chang, selain dua lagi wakil PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu. Mereka menaiki kapal kargo yang membawa bantuan perubatan untuk penduduk Gaza.
“Turut serta dalam misi yang turut mendapat tajaan daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wartawan dan jurugambar TV3 iaitu Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kapal PGPO memiliki laluan alternatif bagi menjayakan penghantaran itu, Dr Mahathir berkata, laluan digunakan sekarang adalah tunggal digunakan aktivis kemanusiaan bagi menghantar bantuan kepada penduduk di Gaza dan kapal yang berlabuh tidak berada di perairan antara bangsa.
Justeru, beliau menuntut masyarakat antara bangsa mengambil tindakan tegas terhadap tindakan Israel yang melakukan serangan terhadap kapal terbabit.
Menurutnya, apa yang pasti, tindakan itu sememangnya tidak wajar kerana kapal itu jelas berada di perairan antara bangsa dan penumpangnya adalah aktivis pelbagai negara tidak memiliki sebarang senjata tajam, seperti yang sering didakwa Israel.
Secara sinis, Dr Mahathir berharap pihak yang mendakwa penjuang hak asasi manusia tampil memperjuangkan nasib dihadapi penduduk Gaza yang dinafikan hak memperoleh bantuan kemanusiaan
No comments:
Post a Comment