Friday, July 30, 2010

DAP perlu lebih realistik


PETALING JAYA 29 Julai - DAP perlu bersikap lebih realistik apabila mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah di negeri itu.
Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung berkata, pihak berkenaan juga perlu mengetahui fakta dan statistik yang tepat sebelum membuat kenyataan seperti itu.
"Kita tidak boleh terus berkata diskaun bumiputera itu perlu dimansuhkan bagi memberi keadilan kepada semua orang.
"Kita perlu realistik kerana masih ramai bumiputera perlukan dasar itu untuk memiliki rumah sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Hartanah dan Perumahan Kebangsaan ke-13 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mengulas cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua itu yang turut mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan lebih baik kepada ekonomi negeri itu.
Chee Heung berkata, MCA sebenarnya sudah berbincang bagi mencari mekanisme yang lebih baik bagi membantu bukan saja bumiputera malah semua rakyat di negara ini untuk memiliki rumah dan hartanah sendiri.
"Sebenarnya MCA sudah bincang sebelum Tony mencadangkan demikian lagi. Kita sedang mengumpulkan fakta dan statistik yang tepat sebab kita tidak boleh menganggap semua rakyat berkemampuan beli hartanah.
"Mungkin salah satu idea adalah untuk tidak menawarkan diskaun kepada bumiputera yang kaya dan memberikannya kepada yang tidak mampu saja," katanya.
Menurutnya, usaha mengumpulkan data mengenai situasi pengguna dalam sektor hartanah terutama mendapatkan pandangan daripada golongan bumiputera sendiri mengenai bagaimana kerajaan boleh membantu mereka.

No comments:

Post a Comment