Friday, July 30, 2010

Nasib Yusuf sekeluarga terbela


Yusuf Wahab bersama isteri, Butima Jalim dan anak-anak berehat di rumah kolongnya di Kampung Pauh, Badang, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 29 Julai – Kisah sedih penghuni ‘reban ayam’ yang mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berakhir tidak lama lagi apabila rumah baru mereka dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfiri.
Yusuf Wahab, 35, dari Kampung Pauh, Badang, dekat sini bersama isteri, Butima Jalim, 36, dan tiga anaknya bakal memiliki rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM33,000 tidak jauh dari tapak berhampiran rumah lamanya.
Yusuf yang ditemui Utusan Malaysia semasa kerja pembersihan tapak itu hari ini berkata, dengan terdirinya rumah itu nanti, dia berharap anak-anaknya berpeluang membesar secara normal seperti kanak-kanak sebaya mereka.
Dua daripada anaknya, Nor Atikah, 6, dan Muhamad Haikal, 5, sudah bersekolah di Tadika Kemas Sri Pauh dekat sini manakala seorang lagi anak lelaki bongsunya, Muhammad Aiman, berusia tiga tahun.
“Anak-anak saya akan dapat bermain dan belajar dengan lebih baik dan tidak berasa panas seperti keadaan di bawah rumah dulu.
“Walaupun bukan niat saya untuk menyusahkan sesiapa, saya amat berterima kasih kepada semua yang memberi perhatian dengan masalah yang kami hadapi selama ini.
“Saya anggap ini satu rezeki dan rahmat kerana ramai lagi sebenarnya yang mengalami nasib lebih teruk daripada saya sekeluarga,” katanya.
Kisah keluarga itu mendapat perhatian secara meluas apabila Shahrizat turun sendiri melawat mereka awal bulan ini.
Semasa lawatannya itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO begitu terkejut dengan suasana yang dilihatnya sehingga menyatakan tidak menyangka adegan seperti dalam filem P. Ramlee itu dapat dilihat dengan mata kepala sendiri.
Yusuf yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, memilih untuk tinggal di kolong bawah rumah pusaka arwah ayah tirinya itu setelah adik perempuannya yang mendapat hak rumah tersebut pulang ke Kelantan.
Dia yang pernah bekerja di Kuala Lumpur sebagai pengawal keselamatan sebelum ini, kembali tinggal bersama ibunya, Saudah Awang, 66, di kampung itu pada 2005 selepas kelahiran anak pertamanya.
“Rumah asal ini pun sudah banyak dimakan anai-anai dan tidak berapa kukuh, jadi daripada saya menyusahkan adik dan ibu, lebih baik kami turun ke bawah.
“Lagipun anak-anak saya ini lebih bebas untuk berlari ke sana ke mari,” katanya yang mendapat pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan hasil usahanya memelihara burung dan ayam secara sambilan untuk dijual selain sekali sekala mendapat upah memandu lori,” katanya.

No comments:

Post a Comment