KUALA LUMPUR 29 Julai - Penggunaan bahan benzene dalam minyak petrol RON95 bukan penyebab kebakaran kenderaan dan petrol jenis itu juga tidak memberi kesan negatif berbanding RON97.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, minyak petrol RON95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO2M yang mana ia mengurangkan pencemaran udara akibat pelepasan sulfur.
"Dahulu, kita gunakan minyak berplumbum tetapi kemudian dihentikan kerana plumbum didapati boleh menyebabkan kanser (karsinogenik) dan mencemar alam.
"Kemudian kita gunakan minyak RON92 yang menggantikan plumbum dengan heptana (octane booster) tetapi didapati kurang memberi kuasa. Kini kita menggunakan RON95 dan RON97 yang bezanya cuma kandungan heptana sahaja.
"Angka 95 dan 97 itu cuma menunjukkan peratusan campuran oktana (95 peratus) dan heptana (lima peratus). Dakwaan benzene yang menjadi komponen heptana (lima peratus) sebagai punca kebakaran juga tidak benar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ahmad Husin yang mahukan penjelasan mengenai dakwaan penggunaan benzene terlalu tinggi menjadi punca kebakaran kenderaan dalam kemalangan pada sidang Dewan Negara hari ini.
No comments:
Post a Comment