KUALA LUMPUR 29 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan cadangan DAP supaya kerajaan Selangor memansuhkan pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu merupakan satu lagi usaha untuk menolak kepentingan orang Melayu di negara ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam entri terbaru dalam blog Rembau.net hari ini kesal dengan saranan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
‘‘Statistik pada 2007 menunjukkan pemilikan bangunan oleh orang Melayu masih rendah iaitu cuma 15.7 peratus dan hartanah komersial pula hanya sekitar 29.2 peratus.
“Bagi kompleks perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis perindustrian dan ini menggambarkan ketidakseimbangan yang ketara.
‘‘Saya kesal dengan saranan Tony kerana beliau langsung tidak mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul ketidakseimbangan yang berlaku ini, jika sekalipun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus yang diberikan,” katanya.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, hujah Tony bahawa hartanah yang dibeli dengan harga diskaun itu akan dijual semula oleh broker atau orang tengah dengan harga yang lebih mahal tidak boleh diterima.
“Alasan itu tidak boleh diterima kerana jika pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan tersebut dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun bumiputera ini,” katanya.
Sehubungan itu, Khairy menyifatkan saranan Tony itu turut menggambarkan prinsip sebenar DAP yang tidak ikhlas untuk membantu orang Melayu walaupun tidak henti-henti menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum,” katanya.
Menurut Khairy, walaupun orang Melayu perlu bersaing secara terbuka berdasarkan merit, namun kerajaan perlu membantu bumiputera yang benar-benar layak sama ada dari segi keperluan atau merit.
No comments:
Post a Comment