Makmal khas disyor khusus tangani gejala buang bayi
29/07/2010 9:43pm
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Sebuah makmal perlu diwujudkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menangani isu pembuangan bayi dengan lebih berkesan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada gejala pembuangan bayi dalam negara, dan yang merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
Katanya, perkara itu dibangkitkan pada satu mesyuarat hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, wakil Pejabat Peguam Negara, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kementerian.
Bercakap pada satu persidangan media selepas mesyuarat itu, Jamil Khir berkata perkara itu perlu bagi membolehkan isu pembuangan bayi ditangani secara bersama, dan bukan hanya dibebankan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Isu ini seolah-olah terbeban kepada wanita, dan kementerian ini dilihat seolah-olah bertanggungjawab penuh, sedangkan isu itu lahir daripada dua pihak, lelaki dan perempuan. Kes ini serius, penyelesaian juga mesti serius,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment