Friday, July 30, 2010

Kadar jenayah negara turun 14.2%


KOTA BHARU 29 Julai - Inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah berjaya menurunkan 14.2 peratus kadar jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia turut menurunkan 36.6 peratus kadar jenayah jalanan untuk tempoh yang sama berbanding tahun lalu.
Katanya, kerajaan berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan percaya jika trend sama dikekalkan, ia bukan sekadar laporan tetapi jaminan keselamatan kepada rakyat di negara ini.
"Kadar jenayah jalanan menurun 36.6 peratus atau 7,073 kes kepada 12,273 kes pada tahun ini. Jenayah keseluruhan menurun 14.2 peratus atau 14,634 kes kepada 88,785 kes tahun ini.
"Ini dicapai hasil pengemblengan semua pihak yang berfikir di luar kotak. Saya cukup puas hati kerana pencapaian ini memberi jaminan kepada orang ramai bahawa diri mereka selamat," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Masyarakat di pekarangan Pelangi Mall di sini hari ini.
Hampir 2,000 pegawai, kakitangan polis dan masyarakat setempat hadir memberi sokongan dan beramah mesra dengan Hishammuddin yang mengambil kesempatan untuk menemui rakyat secara terbuka.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada 33 pesara polis serta melancarkan bit Polis Pelangi Mall dan papan iklan PDRM membanteras jenayah jalanan di sini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kejayaan itu hasil pelbagai program khas oleh kementerian di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah khususnya melalui fasa pencegahan dan penguatkuasaan.

No comments:

Post a Comment