Tuesday, August 10, 2010

17 jalan sakaratul maut di Johor diberi tumpuan sempena hari raya

JOHOR BAHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor akan menumpukan pemantauan ke atas 17 batang jalan merbahaya atau yang diistilah sebagai "jalan sakaratul maut" menerusi Ops Sikap sempena perayaan Aidilfitri kali ini.
"Antara jalan sakaratul maut itu ialah di KM 9 hingga KM 11 Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam, KM 4-KM 17 Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi, KM 6-KM 31 Lebuhraya Pasir Gudang dan KM 2 Jalan Bakri dari Muar ke Yong Peng," kata Pengarah JPJ Johor, Rosli Ramli.
Operasi keselamatan jalan raya itu adalah selama dua minggu yang dijangka bermula 5 September yang akan disertai 198 anggota dan pegawai yang dibahagikan kepada 47 kumpulan mengikut lokasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod polis, sebanyak 23,825 kes kemalangan dilaporkan di seluruh Johor sejak Januari hingga Mei tahun ini yang membabitkan 408 kematian dengan kebanyakannya berlaku di jalan-jalan sakaratul maut berkenaan.

Rondaan 24 jam akan turut dilakukan di kawasan berbahaya itu selain mengadakan sekatan jalan raya, katanya.

Menurut Rosli, pihaknya akan menumpukan kepada tujuh kesalahan utama dalam operasi itu yang dikenal pasti sebagai punca kemalangan iaitu memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memandu dalam keadaan berbahaya, menggunakan laluan kecemasan, memotong barisan ketika memandu dan mengikuti kenderaan lain dengan terlalu rapat.-Bernama

No comments:

Post a Comment