Tuesday, August 10, 2010

Tempoh jelas saman ekor dikaji





KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kementerian Dalam Negeri sedang mengkaji semula tempoh yang bersesuaian bagi pesalah trafik menjelaskan notis saman ekor bagi memastikan undang-undang jalan raya terus dipatuhi semua pihak.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu pihaknya juga sedang meneliti dua aspek penting berkaitan saman ekor iaitu jumlah kompaun yang tidak boleh dikurangkan dan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka tidak bersalah dalam hal saman ekor.
"Aspek-aspek ini penting dan inilah masa yang sesuai untuk mengkajinya. Mesej kita ialah untuk tidak memberi ruang selama-lamanya kepada orang yang melanggar undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penambahan Ahli dan Majlis Jelajah Ikatan Relawan Rakyat (Rela) 1Malaysia 2010 di Pasar Seni di sini hari ini.
Hari ini sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan sebanyak 10 juta notis saman ekor bernilai berbilion ringgit diabaikan oleh para pesalah trafik di negara ini.
Laporan itu menyebut, ada di antara pesalah trafik yang mengabaikan saman ekor tersebut terdiri daripada golongan VIP termasuk bergelar Datuk.
Hishammuddin memberitahu, pihaknya kini sedang memperhalusi semua kekangan yang wujud bagi pesalah trafik menjelaskan saman ekor masing-masing.
"Kita juga memberi masa kepada para pesalah trafik supaya mereka faham mengenai perkara ini (saman ekor)," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, katanya, Rela berjaya menambah 60,000 keahlian baru sepanjang 13 hari program Konvoi Jelajah Merdeka Rela 1Malaysia yang berakhir di Putrajaya hari ini.
"Ini satu perkembangan positif dan ia menjurus kepada sasaran meningkatkan ahli Rela menjadi 2.5 juta orang pada masa hadapan," jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengulas tindakan keluarga peguam Datuk V.K. Lingam semalam, mengenai pemberian insentif RM50,000 kepada sesiapa yang membantu polis sehingga berjaya menahan suspek kes pembunuhan V. Rajendram, 52.
Katanya, tawaran sebegitu adalah dibolehkan asalkan ia memelihara dan mencapai objektif untuk mencari keadilan.
"Sesiapa yang mahu menawarkan sebarang insentif demi mencapai keadilan, kami (kerajaan) tiada bantahan.
Pada 3 Ogos lalu, Rajendram yang merupakan adik bongsu Lingam dipukul sehingga mati oleh tiga lelaki yang dikenali di Bandar Tasik Puteri, Serdang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa yang merupakan penjaga kuil Jalan Puteri, Puchong di sini pada mulanya dikatakan bertengkar dengan ketiga-tiga suspek sebelum tercetus pergaduhan.
Hishammuddin menambah, kerajaan akan mengkaji persepsi masyarakat mengenai tawaran keluarga Lingam itu sebelum membuat sebarang ketetapan baru pada masa hadapan.
"Kerajaan kini melihat kepada landskap yang luas dalam hal mencari kebenaran dan keadilan dan kita tidak takut untuk melakukan sebarang perubahan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment